Selepas itu kita pasti akan berasa lebih bermotivasi dan memperoleh semangat baharu walaupun bercuti di tengah bandar.

Sesetengah pihak mengimpikan tempat penginapan berbentuk hotel yang berdekatan dengan kemudahan awam, pusat beli-belah dan tempat-tempat menarik.

Justeru, tidak hairanlah jika Hotel Sunway Clio yang terletak di Persiaran Lagoon, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor menjadi salah satu lokasi tarikan pelancong.

Walaupun terletak di pinggir pusat bandar raya Kuala Lumpur, Hotel Sunway Clio amat popular dan menjadi pilihan terbaik kerana dilengkapi dengan pusat beli-belah, hiburan serta rekreasi dalam satu tempat.

Kini, ia menggabungkan rekaan dan dekorasi penuh glamor, sekali gus mencerminkan kemewahan warna yang menyegarkan dengan hiasan dalaman kontemporari serta perabot ergonomik yang bergaya.

Pengarah Kumpulan Jenama Pemasaran dan Komunikasi Hotel Sunway Clio, Farizal Jaafar berkata, hotel itu dilancarkan secara rasmi pada 19 Februari 2016 dan bertaraf empat bintang.

“Hotel 26 tingkat ini mempunyai 401 bilik dengan menampilkan dua pilihan jenis bilik yang bervariasi seperti Deluxe Plus yang berkeluasan 29 meter persegi dan Deluxe Plus Executive (32 meter persegi).

“Para tetamu juga diberi pilihan sama ada mahukan pemandangan berlatarbelakangkan taman tema ikonik, Sunway Lagoon ataupun sekitar Bandar Sunway,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Direka oleh Sunway Design Sdn. Bhd., setiap bilik juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas termasuk Wi-Fi percuma, akses internet jalur lebar berwayar, pencahayaan pintar, pengecas USB dan televisyen pintar LED 42 inci dengan saluran berita, sukan serta filem yang terbaharu.

Selain itu, terdapat juga peti keselamatan elektronik di dalam almari, peti sejuk mini berserta penyediaan kopi dan teh. Turut tersedia, ruang kerja yang fleksibel dan pancuran mandian tekanan tinggi.

Tambah Farizal, Hotel Sunway Clio menyediakan keseimbangan antara kerja dan berhibur.

Akses penuh

Para tetamu juga mempunyai akses penuh ke ruangan mesyuarat dan acara yang terdapat di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid dan Sunway Resort Hotel & Spa yang terkenal dengan kemudahan lima bintang.

“Hotel ini mempunyai bilik mesyuarat lengkap dengan pelbagai kemudahan yang mampu menempatkan 20 hingga 160 orang pada satu-satu masa, pusat kecergasan dan kolam renang.

“Selain itu, di tingkat 8 hotel ini terdapat Kafe West yang merupakan restoran makanan hotel sepanjang hari untuk para tetamu membuat pesanan menu secara terus dari dalam bilik atau makan di restoran ini,” ujarnya.

Bagi yang menggemari perkhidmatan spa, mungkin boleh mencubanya di Mandara Spa.

Ini kerana ia diilhamkan dari Bali, Indonesia bagi meningkatkan pengalaman masa lapang kepada para tetamu.

Dalam pada itu, ia turut menjanjikan pengalaman rawatan lengkap dan sempurna bagi anda yang ingin merehatkan tubuh badan kerana terdapat pelbagai jenis rawatan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki yang disediakan.

Seterusnya, bersebelahan dengan Hotel Sunway Clio merupakan Sunway Pyramid iaitu pusat beli-belah yang popular dan serba lengkap untuk para tetamu berbelanja, berhibur serta menjamu selera.

Bersebelahan dengan lobi utama hotel pula adalah Starbucks. Para tetamu akan dihidangkan dengan aroma kopi yang baru dibakar sebaik sahaja kaki mereka melangkah ke lobi hotel.

Beberapa jenama lain yang terdapat di sekitarnya ialah Impresseoul, The Parenthood dan perniagaan konsep runcit menarik yang lebih daripada 170 pelbagai kedai makanan serta minuman.

Secara keseluruhan, menginap di hotel ini memberi pengalaman yang memuaskan kepada sesiapa sahaja sama ada dari sektor korporat, pelancong tempatan mahupun luar negara.