Pasar di bawah seliaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang itu telah beroperasi sekitar dua dekad lalu dan merupakan salah satu tarikan utama di Pulau Pinang.

Di situ terdapat aneka barang lama dan antik seperti barangan elektrik, perhiasan, mainan serta pakaian.

Ia merupakan pasar karat yang terbesar di Pulau Pinang, lantas menjadikannya buah mulut para pelancong dari dalam dan luar negara malah tersenarai sebagai tempat wajib dilawati.

Pada peringkat awal pembukaan pasar tersebut hanya terdapat sekitar 20 orang peniaga dan kini lebih 50 orang yang mencari rezeki dengan menjual pelbagai barangan lama serta antik.

Di samping itu, berdekatan dengan pasar karat tersebut terdapat pasar yang menjual aneka barangan lain seperti baju, makanan dan aksesori sehingga menambahkan lagi kemeriahan suasana di situ.

Menurut salah seorang peniaga, Yaacob Abdul Hamid, 53, pasar tersebut menjadi tempat tumpuan pencinta barangan antik dari Malaysia, Singapura dan Thailand.

“Barangan lama dan antik ini mempunyai tarikan tersendiri maka, tidak hairanlah ada yang sanggup datang ke sini seawal pukul 6 pagi untuk mendapatkan item terbaik.

“Pada hari Sabtu dan Ahad pasar ini sangat padat dengan orang ramai yang ingin mendapatkan barangan idaman,” katanya ketika ditemui Horizon di pasar tersebut baru-baru ini.

Yaacob yang telah berniaga di pasar itu sejak 10 tahun lalu, menjual pelbagai barang lama dan antik seperti kasut, baju, cincin, jam tangan dan barangan elektrik yang dikumpul di sekitar Pulau Pinang.

Walaupun barangan itu sudah berusia lama dan kelihatan lusuh tetapi masih mempunyai nilai yang tinggi.

Cerita bapa kepada lima orang cahaya mata itu, dia pernah menjual seutas jam tangan antik yang mencecah RM5,000.

Sementara itu, salah seorang pengunjung setia Pasar Karat Lorong Kulit Flea Market, Ema Yusof, 30, memberitahu, dia dan suami akan datang ke situ setiap hujung minggu bagi mendapatkan pelbagai barang sama ada alat ganti motosikal, perhiasan dan peralatan dapur.

“Sejak tujuh tahun lalu, sudah menjadi rutin saya dan suami untuk mendapatkan barangan di sini sama ada pada hari Sabtu atau Ahad.

“Saya sangat suka membeli barangan di pasar ini kerana mempunyai banyak pilihan malah harganya juga sangat murah iaitu serendah RM20 berbanding membeli secara online yang mencecah ratusan ringgit,” ujar suri rumah itu.

Sehubungan itu, ia tidak menghalang Ema dan suami untuk datang ke pasar tersebut walaupun tinggal di Kulim, Kedah yang memakan masa sekitar 30 hingga 45 minit.

Tambah anak ketiga daripada lima beradik itu, peniaga-peniaga di situ juga sangat mesra dan mudah dalam urusan tawar-menawar.

Sukar ditemui

Lebih menambat hati wanita itu, barangan yang dijual masih dalam keadaan elok walaupun sudah lama.

“Salah satu sebab saya menyukai barangan lama ini kerana tahan lasak dan sukar untuk rosak.

“Selain itu, kami suka mengumpul barangan lama dan antik,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung, Ridzuan Yap, 43, berkata, sudah menjadi rutinnya setiap minggu untuk singgah ke pasar tersebut.

“Saya akan berjalan di sepanjang gerai-gerai yang menjual barangan tersebut untuk mencari item unik dan sukar ditemui.

“Setiap kali datang, tempat ini menghidangkan pelbagai barang antik yang menarik dan tidak dijangka,” tutur anak kelahiran Johor itu.

Tambahnya antara barangan yang unik seperti lukisan kaligrafi Cina berusia ratusan tahun, tembikar, pinggan, mangkuk lama serta pelbagai jam antik.

Ridzuan berkata, dek kerana mahukan yang terbaik, pengumpul barangan antik akan datang seawal mungkin kerana siapa cepat dia akan dapat.