Teater muzikal berkenaan merupakan antara seni pentas akrobatik terbaik di dunia telah dibuka untuk tontonan orang ramai sejak 25 Mei lalu.

Bukan sekadar persembahan antarabangsa, pementasan yang dianggotai oleh pakar lagak ngeri, akrobatik, peluncur ais, silap mata, badut dan penghibur yang memegang pelbagai rekod dunia telah menghasilkan gabungan hiburan sarkas yang cukup unik.

Pementasan oleh penghibur dari 15 negara itu dibuka dengan aksi mencuit hati oleh Oleksii Krasnykh, badut dari Ukraine yang terkenal dengan bakat pantomim dan mimikan bunyi.

Bukan sembarangan badut, Krasnykh merupakan juara Grand Prix Festival Badut Antarabangsa Comediada.

Pentas yang dihidupkan dengan kesan visual berwarna-warni itu kemudiannya dipukau oleh aksi peluncur ais profesional Aleksander Popov dan Elena Efaeva.

Pasangan tersebut juga pernah mewakili Rusia dalam pelbagai kejuaraan luncur ais di peringkat dunia.

“Meluncur di atas permukaan pentas yang diubah untuk sukan ini bukan sesuatu yang mudah tapi dalam Imaginatricks, kami berjaya tampilkan keindahannya,” kata Elena.

Dewan Antarabangsa Genting (GIS) seterusnya dihangatkan dengan akrobatik sukan melalui kelincahan aksi bola keranjang gaya Slum Dunk oleh kumpulan Face Time.

Pasukan dari Hungary ini merupakan pemegang sembilan aksi akrobatik dalam Rekod Dunia Guinness.

Kemuncak tayangan Imaginatricks adalah aksi lagak berani mati oleh 12 anggota pasukan The Gerlings dari Colombia yang pasti membuatkan adrenalin penonton bergelodak.

Persembahan sarkas penuh drama oleh juara Festival Antarabangsa Sarkas Monte Carlo itu mempamerkan pelbagai kemahiran mengimbangi badan di atas tali sambil berlari, berbasikal dan imbangan kerusi.

Debaran

Debaran menyaksikan The Gerlings diakhiri dengan aksi Piramid Manusia dan lagak ngeri di atas Wheels of Suspense.

Persembahan hasil gubahan Abraham Kostanian, koreografer persembahan pentas yang berpengalaman lebih dari 35 tahun di seluruh dunia ini ditayangkan pada pukul 8 malam setiap hari kecuali Ahad pada 4 petang.

Menurut Kostanian, pementasan sarkas muzikal seperti ini biasanya dimainkan di pusat-pusat hiburan terkemuka di Amerika Syarikat dan Eropah.

“Kelainan yang ditawarkan di RWG ini dengan membawakan Imaginatricks merupakan persembahan antara terbaik di dunia setakat ini,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penonton Ang Ching Peng, 25, berkata, dia amat gembira dapat menyaksikan persembahan menarik bertaraf dunia buat pertama kali di RWG.

“Saya dan rakan-rakan amat teruja dengan aksi yang penuh mendebarkan dan bertenaga dipersembahkan kepada penonton yang datang ke sini.

“Terutamanya, gelagat badut yang mencuit hati saya selain aksi lagak ngeri yang begitu mencabar dilakukan dengan baik sekali,” ujarnya.