Antara tapak-tapak bersejarah dan menarik di sekitar kawasan tersebut adalah bandar purba Teotihuacan yang ditubuhkan sebelum penyebaran agama Kristian dan beberapa tapak bersejarah lain seperti Chichen Itza, Tulum dan Templo Mayor.

Ia juga telah dibina sejak berabad lalunya iaitu sebelum era penaklukan Sepanyol pada sekitar awal tahun 1500.

Saya ingin menasihatkan kepada para pengunjung yang hendak melakukan aktiviti kembara ini supaya mengupah pemandu pelancong yang berkebolehan untuk bertutur dalam bahasa Inggeris bagi memudahkan perjalanan tersebut.

Kembara ini telah dimulakan dari bandar raya Mexico menuju ke Templo Mayor yang iaitu merupakan piramid yang telah mengalami kemusnahan suatu ketika dahulu dan dibina kembali oleh Sepanyol pada 500 tahun lalu.

Jika dilihat, ia tidak berbentuk seperti piramid dan lebih kepada runtuhan piramid yang asal. Menariknya, seorang jurutera elektrik telah menemui artifak sejarah berupa batu bulat melambangkan dewi Aztec, Coyolxauhqui itu pada tahun 1978.

Kunjungan di kawasan tersebut juga dapat memuaskan hati para pengunjung yang datang kerana mereka turut berpeluang untuk menyaksikan artifak bersejarah berkenaan dan artifak-artifak lainnya di dalam muzium yang turut dibina berdekatan dengan tapak bersejarah itu.

Antara salah satu artifak yang kelihatan menarik ialah batu yang memiliki ukiran berbentuk ular. Kerja-kerja penggalian yang dilakukan secara berterusan juga dapat dilihat di kawasan tapak bersejarah tersebut.

Kembara diteruskan lagi dengan menuju ke Teotihuacan yang telah ditubuhkan pada abad kedua Sebelum Masihi pada era Mesoamerika dan dilihat tetap mampu bertahan hingga kini.

Perjalanan menuju ke tapak bersejarah yang memakan masa selama sejam dari bandar raya Mexico itu menampilkan sebanyak 2,000 struktur binaan yang dipercayai pernah menempatkan sekitar 100,000 ke 200,000 penduduk.

Pyramid of the Sun memiliki tahap ketinggian mencapai sehingga 65 meter dan turut dihubungkan ke arah Pyramid of the Moon melalui Avenue of the Dead. Kerja-kerja penggalian juga tetap dilakukan secara berterusan di kawasan yang menghimpunkan banyak tapak arkeologi itu.

Tidak seperti di kawasan piramid lain, para pengunjung turut berpeluang untuk mendaki kedua-dua piramid yang terdapat di Teotihuacan itu.

Begitupun, aktiviti mendaki piramid ini bukan merupakan perkara yang mudah. Aktiviti mendaki Pyramid of the Moon lebih mencabar memandangkan keadaannya yang agak curam dan berbahaya berbanding Pyramid of the Sun.

Panorama indah

Pengunjung yang berjaya mendaki kedua-dua piramid itu pasti berasa puas hati kerana berpeluang melihat panorama yang sangat indah. Setelah penat mendaki, para pengunjung boleh merehatkan diri dan menikmati hidangan di Restoran La Gruta.

Seterusnya, dari bandar raya Mexico, saya mengambil penerbangan menuju ke Yucatan untuk melawat Tulum. Setibanya di Yucatan, saya merentasi kawasan Cancun, Merida, Chichen Itza sebelum tiba di Tulum.

Di sepanjang perjalanan, saya terpesona dengan panorama yang memperlihatkan deretan tapak piramid. Namun, runtuhan Tulum di Quintana Roo yang terletak pada tebing luas yang menghala ke arah lawatan membuatkan saya berasa terpegun.

Hakikatnya, bandar raya lama itu pernah menjadi pusat penangkapan ikan, perdagangan dan penyebaran agama. Ribuan masyarakat Mayan pernah menetap di kawasan tersebut pada tahun 975 hingga kedatangan Sepanyol.

Kini, ia seolah-olah menjadi habitat kepada banyak iguana gergasi yang cukup selesa untuk memanaskan diri di atas lantai batu dan runtuhan bangunan yang pernah menjadi lokasi penempatan masyarakat Mayan.

Salah satu tumpuan di kawasan itu adalah El Castillo yang merupakan piramid utama, namun malangnya aktiviti penerokaan tersebut telah dibataskan.

Dari Tulum, kemudiannya saya merentasi hutan Yucatan ke Chichen Itza yang merupakan bandar raya Mayan yang cukup berkembang maju selama berabad-abad sebelum terjadinya penaklukan Sepanyol.

Rentetan dari penaklukan tersebut telah membuatkan kawasan tersebut menjadi terbiar dan seolah-olah hilang diliputi hutan. Kini, tapak bersejarah yang ditemui pada abad ke-19 itu menerima kunjungan seramai dua juta orang setiap tahun.

Selain itu, banyak kawasan letak kereta disediakan, sekali gus memberi keselesaan kepada para pengunjung. Binaan piramid itu sangat menarik apabila turut diperindahkan dengan suasana hutan yang menghijau.

Bersebelahan dengan piramid tersebut terdapat gelanggang bola yang pernah menjadi lokasi permainan bola keranjang.

Gema

Antara tapak bersejarah yang berada berdekatan dengan kawasan berkenaan ialah Temple of the Warriors dan El Caracol, namun kunjungannya untuk ke sana terbatas bagi mengelakkan sebarang aktiviti vandalisme.

Menariknya, kunjungan ke beberapa kawasan seperti kaki piramid Chichen yang dikenali sebagai El Castillo dan gelanggang bola dikenali sebagai el Juego de Pelota itu turut menampilkan bunyi akustik menarik melalui bunyi gema tepukan dan bisikan.

Malah ukiran batu dan patung di kawasan itu juga kelihatan cukup menarik walaupun ada yang menggambarkan unsur keganasan seperti percikan darah.

Antara tapak bersejarah lain ialah runtuhan Coba yang terletak di antara Valladolid dan Tulum, gua-gua Grutas de Loltun di rantau Ruta Puuc, piramid-piramid Monte Alban di Oaxaca dan piramid berbentuk bulat, Cuicuilco di bandar raya Mexico.

Secara keseluruhan, kembara ini merupakan aktiviti yang cukup menyeronokkan kerana saya berpeluang untuk menyaksikan keindahan peninggalan sejarah pada era Mayan.