Ada antara mereka yang suka, tidak kurang juga yang benci apabila bercuti di negara Kepulauan Pasifik itu.

Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk datang sendiri ke negara yang terletak di antara New Zealand dan Amerika Syarikat itu.

Sebab utama saya berkunjung ke Fiji adalah kerana ramai yang jatuh cinta dengan negara itu. Malah, tiada sebab yang betul-betul kukuh bahawa Fiji tidak sesuai untuk dilawati.

Tarikan utama pelancong di negara itu sudah pasti aktiviti menjelajah pulau-pulau di sekitarnya.

Saya menjejakkan kaki di Fiji buat pertama kali selepas mendarat di Nadi iaitu pulau terbesar di negara tersebut.

Rancangan pertama saya adalah bertemu dengan beberapa rakan dari England yang pernah saya kenali di Pantai Timur Australia.

Saya tiba di Fiji lewat sehari berbanding rakan-rakan lain. Ia merupakan satu kebetulan selepas mengetahui mereka sedang bercuti di Fiji.

Ia sangat baik kerana saya tidak perlu menghabiskan masa mentelaah buku panduan, menawar harga atau mencari pilihan tempat lawatan yang terbaik.

Rakan-rakan saya telah menempah segala-galanya dengan hanya menyerahkan wang dolar Fiji.

Penjelajahan kami bermula pada keesokan harinya dengan menaiki bot. Selepas beberapa minit di atas bot, sudah tergambar keindahan Fiji. Saya amat menyukainya.

Bersnorkel

Destinasi persinggahan pertama kami adalah di Likuliku Bay, Pulau Waya. Ketibaan kami disambut dengan alunan muzik tradisional Fiji.

Menariknya, muzik itu dimainkan secara langsung di tepi pantai. Kami memilih untuk menginap di Resort Octopus yang merupakan destinasi popular dalam kalangan pasangan berbulan madu dan pengembara.

Walaupun harganya agak mahal berbanding resort lain, ia sangat berbaloi. Tambahan pula, harganya termasuk makanan dan minuman kami.

Pada saya, ia cukup selesa untuk tinggal selama seminggu, malah sebulan.

Di sana, anda boleh menikmati salah satu pantai paling popular di dunia, bersnorkel di sekitar teluk, berbaring dalam kolam renang dan bermain bola tampar bersama kakitangan resort.

Anda juga boleh melakukan aktiviti kayak, perlumbaan ketam, menikmati muzik secara langsung atau menari dalam disko.

Perkara paling menarik bagi saya ialah melawat Kampung Nalauwaki. Kedatangan kami disambut dengan senyuman oleh penduduk tempatan.

Senyuman itu menandakan kedatangan kami sangat dialu-alukan. Di sana, kami berpeluang merasai Kava iaitu minuman tradisional Fiji yang diperbuat daripada pokok lada serta konotasi ritual.

Selepas seharian menjelajah, kami memilih untuk merasai urutan tempatan sambil menikmati pemandangan laut yang indah.

Perhentian kami seterusnya adalah Pulau Bounty yang terkenal dengan penggambaran drama Celebrity Love Island.

Terdapat beberapa lokasi bersnorkel yang hebat di Pulau itu termasuk rizab marin seluas 48 ekar. Pada saya, ia merupakan tempat wajib yang perlu dilawati para pelancong.

Pada sesetengah musim, anda berpeluang memberi makan kepada anak penyu dan melihat ia dilepaskan kembali ke laut.

Di sana, kami memilih untuk bermalam di bilik bajet yang mungkin tidak digemari oleh sesetengah pelancong di Fiji.

Namun, terdapat pelbagai pilihan penginapan di Pulau Bounty yang bersesuaian dengan keperluan anda.

Selepas semalaman di Pulau Bounty, kami berangkat ke Pulau Mana. Aktiviti paling menarik di pulau itu adalah melakukan aktiviti unggun api sambil mendengar cerita-cerita menarik.

Ia mungkin pulau paling mesra pelancong, namun deretan resort eksklusif menjejaskan pandangan awal pelancong terhadap pulau itu.

Pulau Mana juga menawarkan pengalaman bersnorkel yang hebat. Jika bernasib baik, anda berpeluang melihat ikan jerung berenang di terumbu karang.

Malah, saya sendiri dapat berenang bersama jerung. Walaupun agak mendebarkan, ia suatu pengalaman yang unik.

Akhir sekali, kami singgah di Pulau Beachcomber yang terkenal dengan jolokan pulau parti dalam kalangan pelancong Barat.

Matahari terbenam

Kawasan penginapan pulau itu sangat besar dengan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk bar.

Kami menghabiskan masa dengan beristirehat di tepi pantai sambil menikmati panorama matahari terbenam.

Secara keseluruhannya, pulau-pulau di Fiji menawarkan pemandangan sangat mengasyikkan. Sudah pasti, saya akan kembali ke sini untuk menjelajah beberapa buah pulau lagi.

Menghabiskan masa seminggu dengan dikelilingi air laut yang membiru serta pantai memutih merupakan impian buat semua pengembara.

Paling penting, kos penginapan dan pengangkutan di Fiji cukup berpatutan sekiranya anda berkunjung secara berkumpulan.

Nasihat saya, jangan sesekali percaya dengan cakap-cakap orang terhadap sesebuah negara. Sebaliknya, pergi dan lihatlah sendiri.