Dengan ayunan ekor yang pantas, adakalanya remaja-remaja itu timbul di permukaan untuk mendapatkan udara bagi menyambung semula aksi mereka.

Aksi ‘duyung jelmaan’ yang menghiburkan itu lantas mendapat tepukan gemuruh daripada penonton yang menyaksikan persembahan tersebut.

Salah seorang penonton, Hanan Hayati Mohd., 17, berkata, dia tidak pernah menyaksikan persembahan ikan duyung.

“Saya difahamkan, persembahan ini hanya pratonton bersempena cuti sekolah akan datang.

“Saya sering mendengar orang ramai boleh belajar berenang seperti ikan duyung tetapi tidak pernah menyaksikan aksi itu secara dekat,” katanya ketika ditemui Horizon baru-baru ini.

Tambahnya, kehadiran ikan duyung seperti itu pasti akan merancakkan lagi kunjungan orang ramai ke taman tema tersebut sempena cuti sekolah ini.

“Saya mempunyai beberapa orang rakan yang gemar menyaksikan cerita tentang ikan duyung. Jika mereka tahu tentang program ini, sudah pasti rakan-rakan akan turut datang ke sini.

“Tambahan pula, kanak-kanak menggemarinya kerana ikan duyung dikenali sebagai makhluk yang cantik, baik dan mesra,” ujarnya.

Diadakan bersempena musim cuti sekolah, para pengunjung akan dihiburkan dengan program Mermaids Alive yang berlangsung 23 hingga 31 Mac ini.

Selain beramah-ramah, pengunjung yang mahir berenang berpeluang berenang bersama ikan-ikan duyung cantik dan sedia melayani.

Menurut Pengurus Besar Sunway Lagoon, Sean Choo, trend yang diilhamkan daripada ikan duyung seperti gaya rambut, makanan dan hiasan semakin popular.

“Trend itu pula menunjukkan sokongan yang sangat tinggi terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja perempuan malah, sejak kecil lagi kita sudah biasa mendengar cerita berkaitan hidupan tersebut.

“Disebabkan itu, pada musim cuti kali ini kami membawa tarikan tersebut bagi memeriahkan lagi aktiviti sedia ada,” katanya pada majlis pratonton Mermaids Alive di Sunway Lagoon baru-baru ini.

Selain menyaksikan persembahan, pengunjung berpeluang merasai pengalaman menjadi seekor ikan duyung.

Kakitangan bertugas bukan sahaja akan membantu memakaikan set ekor ikan duyung tetapi juga akan menghias serta menyolek wajah pengunjung seperti duyung.

Teknik bernafas

Bagi pengunjung kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun pula, mereka boleh mempelajari teknik bernafas di dalam air sambil dilengkapi peralatan menyelam skuba.

Dalam pada itu, pengunjung juga berpeluang bertemu dan bergambar bersama watak-watak lain seperti Spongebob Squarepants, Patrick Starfish beserta Captain Jack Sparrow dan rakan-rakan.

Selain itu, para pengunjung boleh mendapatkan cenderahati serta menikmati ais krim bertema ikan duyung.

Sementara itu, seorang peserta yang mempersembahkan aksi ikan duyung, Chan Yushi, 32, berkata, untuk melakukan aksi berenang seperti ikan duyung bukannya mudah.

Latihan berjam-jam diperlukan untuk memastikan seorang itu mahir berenang seperti ikan duyung.

“Perkara pertama yang wajib ada ialah seseorang itu perlu pandai berenang dan menguasai beberapa teknik renang yang berbeza.

“Teknik renang biasa tidak boleh digunakan kerana semasa memakai kostum tersebut, kaki akan dirapatkan dan perlu bergerak bersama,” katanya yang berpengalaman selama empat tahun dalam persembahan ikan duyung.

Ujarnya, teknik berenang ikan duyung juga memerlukan seseorang itu mempunyai stamina yang tinggi.

“Dengan beban kostum dan teknik berenang yang digunakan, ia agak sukar bagi mereka yang tidak mahir.

“Pada masa sama, sebarang kesilapan yang berlaku ketika persembahan perlu diatasi sebaik mungkin supaya tidak nampak panik di mata penonton,” ujarnya.