Walaupun aktiviti yang memerlukan dia terdedah lama di bawah panas matahari bukanlah pilihannya, namun dia teruja mahu meneroka keindahan hutan paya bakau di Sungai Sepang Besar sepanjang kira-kira 17 kilometer tersebut.

Sebaik tiba di Jeti Nelayan Sungai Sepang Besar di Bagan Lalang, Sepang, sebuah bot telah sedia untuk membawa pengunjung meneroka sungai yang kaya dengan flora dan fauna berkenaan.

Deretan pokok-pokok bakau menghijau dapat dilihat di kiri kanan sungai dan langit yang cerah sekali sekala dihias dengan kehadiran beberapa jenis burung yang terbang bebas.

Di beberapa bot kecil kelihatan nelayan sedang asyik memancing ikan dan ada yang berjaya menaikkan udang.

Setelah hampir setengah jam perjalanan, pemandu bot menghampiri kawasan daratan dan memberi peluang kepada pengunjung menanam anak pokok bakau di tebing sungai.

“Menaiki bot dan menyelusuri sungai sebegini adalah pengalaman pertama saya. Tidak sangka banyak spesies flora dan fauna boleh dilihat di sepanjang sungai ini.

“Percutian singkat ini sangat bermakna kepada saya kerana bukan sahaja dapat lari daripada kesibukan kota malah dapat pengetahuan tentang ekosistem di sini,” kata Noor Shalahin ketika ditemui Kosmo! di Bagan Lalang, Sepang, Selangor baru-baru ini.

Kata Noor Shalahin yang berkunjung ke Bagan Lalang bersama suaminya, jarak perjalanan yang memakan masa pemanduan 1 jam 15 minit dari Kuala Lumpur sangat berbaloi apabila berpeluang melihat pokok bakau dengan lebih dekat dan merasai pengalaman menanam tumbuhan tersebut.

“Melihat secara dekat nelayan menaikkan hasil laut seperti udang dan ikan dari jaring juga merupakan pengalaman pertama saya,” tutur ibu kepda tiga orang cahaya mata berasal dari Kuala Lumpur itu sambil tersenyum.

Wajib dicuba

Ujarnya yang pernah berkunjung ke Phuket, Thailand dan Indonesia, kebiasaannya dia lebih gemar bercuti melihat budaya masyarakat setempat berbanding melakukan aktiviti luar.

Jadi pengalaman menyelurusi sungai tersebut sesuatu yang luar biasa dan wajib dicuba oleh mereka yang mahu melarikan diri daripada kesibukan kota pada hujung minggu.

Menurut pemandu pelancong Resort Avani Sepang GoldCoast, [email protected], pengunjung berpeluang merasai pengalaman menyelusuri Sungai Sepang yang bersempadan dengan Negeri Sembilan menerusi pakej Menyusuri Sungai Bakau.

“Sepanjang pengembaraan yang mengambil masa kira-kira dua jam itu, pengunjung berpeluang mengenali dengan lebih dekat spesies pokok bakau kurap dan bakau minyak yang tumbuh di sepanjang sungai.

“Bukan itu sahaja, pengunjung juga berpeluang melihat haiwan yang tinggal di muara sungai termasuk tiga spesies monyet, memerang, ketam berwarna-warni, mengkarung, biawak, ikan belacak dan memerang,” jelasnya.

Tambahnya, burung-burung seperti helang merah, raja udang, murai, merbah dan layang-layang pula terbang bebas pada awal pagi dan senja.

Ketika musim migrasi burung pula, burung bagau dapat dilihat di sepanjang sungai tersebut.

Cari lokan

Kebiasaannya, pelancong juga akan dibawa merasai pengalaman mencari lokan di kawasan paya bakau.

“Mengutip lokan bukanlah suatu yang mudah kerana haiwan bercengkerang itu biasanya hidup terbenam dalam lumpur.

“Jadi pastinya pengalaman tersebut sukar diperoleh di tempat lain,” ujar lelaki yang berasal dari Sabah tersebut.

Uniknya, pelancong akan melepasi Jeti Penampang Belakang Pekan Sungai Pelek yang bersempadan Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Jeti berkenaan menyediakan perkhidmatan mengangkut motosikal dengan caj RM1 bagi sebuah kenderaan untuk menyeberangi sungai.

“Penduduk setempat boleh menjimatkan masa dengan menyeberang sungai berkenaan berbanding perjalanan darat yang memakan masa hampir 40 minit,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Redzwan berkata, pengembaraan di sepanjang Sungai Sepang bukan sahaja mendedahkan pengunjung kepada ekosistem alam malah berpeluang melihat kehidupan masyarakat setempat.

Selain daripada menyelusuri Sungai Sepang Besar, pelancong juga berpeluang mengelilingi kampung menaiki basikal (bicycle trekking tour @ kampung), melakukan aktiviti sukan pantai (Aqua-X Water Sport) dan bermain layang-layang di Pantai Smiley, Bagan Lalang.

Pada waktu malam pula, pengunjung berpeluang melihat pertunjukan api di pantai sama.

Pembangunan

Sementara itu, Naib Presiden Sepang GoldCoast, Steven Yap berkata, pelancongan ekologi atau ekopelancongan yang ditawarkan Sepang GoldCoast ialah aktiviti yang melibatkan lawatan ke tempat-tempat yang mempunyai keindahan alam semula jadi.

“Pelancong dari dalam dan luar negara berpeluang merasai pengalaman menarik menerusi pakej yang ditawarkan.

“Justeru, pembangunan di sini hanya melibatkan sebahagian kecil kawasan Sepang dan kita masih mengekalkan ekosistem dan penempatan penduduk setempat,” ujarnya.

Selain mempromosi Sepang sebagai kawasan pelancongan, ia secara tidak langsung menyumbang kepada pendapatan penduduk setempat.

“Sepang GoldCoast merupakan sebuah pemaju hartanah ekopelancongan yang telah melaksanakan dan mengambil bahagian dalam aktiviti ekopelancongan melibatkan pembangunan yang meminimumkan kesan kepada alam sekitar serta memberi manfaat kewangan dan peluang perniagaan kepada masyarakat setempat.

“Sebanyak 80 peratus pengambilan pekerja di Resort Avani Sepang GoldCoast adalah dalam kalangan penduduk tempatan termasuk Orang Asli,” katanya.