Program yang dianjurkan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad dan Kem Bina Negara Kundasang itu melibatkan 24 orang pelajar.

Ekspedisi tersebut turut disertai oleh dua orang murid dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kemabong, Tenom, Sabah dan seorang guru pengiring.

Pengetua Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah, Dr. Adib Kadri berkata, program tersebut merupakan salah satu aktiviti tahunan para pelajarnya.

Katanya, program tersebut memberi peluang kepada para pelajar untuk beriadah dengan mendaki dan menikmati keindahan puncak gunung.

“Kali ini, kami memilih Gunung Kinabalu sebagai destinasi pendakian. Kami juga bekerjasama dengan sekolah tempatan.

“Ia bagi merealisasi impian masyarakat yang tidak berpeluang untuk mendaki Gunung Kinabalu,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Para peserta menginap di Sutera Santuary Lodge di kaki Gunung Kinabalu sebelum pendakian bermula.

Para peserta memulakan pendakian pada awal pagi menuju ke Laban Rata dengan jarak enam kilometer (km)sambil ditemani enam orang malim gunung.

Di sepanjang perjalanan, para peserta berpeluang menyaksikan keindahan alam semula jadi yang masih belum terusik.

Matahari terbit

Lebih menarik apabila jenis flora di sekeliling trek perjalanan berubah apabila pendaki mencapai ketinggian tertentu.

Para peserta berehat seketika di Rumah Rehat Laban Rata sebelum memulakan pendakian pada pukul 2 pagi menuju ke puncak.

Tepat 7.30 pagi akhirnya tiba di puncak Low’s Peak selepas mendaki sejauh 2km.

Salah seorang peserta, Kamariah Abdul Rahman, 20, berkata, dia amat bersyukur kerana berpeluang sampai ke puncak buat pertama kali dalam hidupnya.

Pelajar Fakulti Kejuruteraan itu memaklumkan, dia juga teruja melihat keindahan matahari terbit sewaktu perjalanan ke Low’s Peak.

“Keindahan langit yang bermandi cahaya dan melihat terbitnya matahari di atas paras awan, akan saya ingati sampai bila-bila.

“Kami juga tidak melepaskan peluang mengambil peluang bergambar kenangan bersama pendaki lain di kawasan anjung tinjau berdekatan,” katanya.

Para peserta tidak mengambil masa yang lama di puncak kerana perlu tiba semula ke Laban Rata untuk mengambil barang-barang dan mengosongkan bilik.

Walaupun semua kepenatan, namun para peserta tidak berhenti bercerita mengenai pengalaman masing-masing.