Tujuan pemuda yang berasal dari Bintulu, Sarawak itu adalah untuk menyertai perarakan papan selaju Jelajah Angka 2018 dari Dataran Merdeka ke Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Ini merupakan pertama kali saya menyertai perarakan papan selaju di Semenanjung Malaysia. Saya sangat teruja kerana turut berarak bersama-sama pemain papan selaju terhebat dunia.

“Program ini merupakan satu peluang keemasan untuk saya melihat skil mereka di depan mata selain mempelajari pelbagai teknik baharu,” kongsinya ketika ditemui Kosmo! di Dataran DBKL baru-baru ini.

Jelajah Angka 2018 merupakan anjuran Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (MESA) dengan kerjasama New Balance Numeric Team untuk memberi pendedahan kepada atlet kebangsaan di samping memupuk minat masyarakat terhadap sukan papan selaju.

Tumpuan

Program yang berlangsung selama tiga hari itu, memulakan jelajah dari Lembah Klang (Taman Papan Selaju Bukit Kiara, Taman Cabaran Putrajaya dan Arena Petaling Jaya); Mydin Meru Ipoh, Perak dan berakhir di Dataran DBKL.

Kehadiran pemain papan selaju terkemuka dunia seperti Arto Saari, Jack Curtin, Davis Torgerson, Margie Didal, Tom Karangelov dan Jasper Dohrs serta atlet-atlet papan selaju membuatkan jelajah itu mendapat tumpuan peminat pelbagai usia dan jantina.

Lebih 100 peminat dan pemain turut menyertai bengkel dan demonstrasi papan selaju di beberapa lokasi jelajah tersebut bermula 23 Mac hingga 25 Mac 2018 lalu.

Mengulas mengenai program Jelajah Angka 2018 itu, legenda papan selaju profesional dari Finland iaitu Saari berkata, ia merupakan pengalaman pertamanya berada di Malaysia.

“Saya tidak mengetahui latar belakang mengenai atlet papan selaju di negara ini, tetapi daripada apa yang saya lihat selama tiga hari, mereka mempunyai skil dan berpotensi tinggi.

“Sekarang sukan papan selaju ini sudah disenaraikan dalam Sukan Olimpik 2020 dan bukan lagi sekadar satu sukan jalanan. Ia akan menjadi salah satu sukan yang mendapat tumpuan.

“Jadi, saya harap penambahbaikan fasiliti dan bakat-bakat baharu perlu dicungkil agar sukan ini membangun di seluruh dunia,” ujarnya.

Perkara berkenaan turut disokong oleh Zainul Mutaqien yang menghargai usaha MESA membawa pemain papan selaju profesional di negara ini.

“Buat masa ini, kami memang tidak sabar untuk beraksi dalam Sukan Asia. Kami sedang gigih berlatih dan menjaga segala aspek pemakanan supaya kesihatan kami berada pada tahap terbaik. Selepas ini, kami juga akan menjalani latihan lebih rapi sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia.

Pendedahan awal

“Di Sukan Asia nanti, kita akan buat sedaya upaya untuk melayakkan diri ke kejohanan sukan yang lebih tinggi. Kami amat berterima kasih kepada MESA kerana memberi pendedahan awal kepada para atlet tempatan menerusi penganjuran Jelajah Angka 2018,” katanya yang mempunyai pengalaman 15 tahun dalam permainan papan selaju.

Sementara itu, ketua jurulatih papan selaju kebangsaan, Mohd. Zamri Ramli, yakin anak-anak buahnya mampu melakar kejutan dan mengharapkan persiapan yang dilakukan ketika ini mampu memberikan impak positif kepada atlet-atlet negara.

“Di MESA, kita memiliki ramai bakat termasuk lapan atlet kebangsaan yang terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita.

“Kita masih di peringkat permulaan memandangkan ia adalah satu sukan yang baru dimasukkan dalam Sukan Olimpik. Ia juga merupakan kali pertama kita boleh keluar beraksi mewakili Malaysia di pentas pertandingan yang besar seperti di Sukan Asia nanti,” katanya.

Tambah Mohd. Zamri lagi, buat masa ini, pihaknya bekerjasama dengan Institut Sukan Negara dan Majlis Sukan Negara untuk menyediakan atlet yang bagus.

Positif

“Kita juga akan berikan pendedahan yang secukupnya kepada atlet dan sedang merancang untuk membawa mereka beraksi di luar negara bagi mendapatkan situasi pertandingan sebenar.

“Dari segi potensi, kita memang mampu memberikan saingan kepada negara lain di Asia cuma Jepun adalah satu pasukan yang memiliki atlet papan selaju yang terlalu bagus. Jadi, di Sukan Asia 2018, kita harapkan mampu menghasilkan sesuatu yang positif,” ujarnya.

Dalam pada itu, atlet papan selaju termuda negara, Ian Nuriman Amri, 11, berkata, melalui program jelajah itu, dia berpeluang menunjukkan skil yang ada dan mempelajari pelbagai teknik baharu daripada pemain papan selaju profesional.

“Peluang sebegini adalah sesuatu yang dinantikan kerana program ini jarang-jarang diadakan. Lagipun halangan yang disediakan oleh pihak penganjur juga menarik, jadi saya dan rakan-rakan dapat mencuba pelbagai skil.

“Saya masih dapat membayangkan sehingga kini, Torgerson ada melakukan skil front side 180 nose grind dan back side 180 out. Ia adalah skil yang begitu sukar dan saya tidak pernah nampak sesiapa melakukan teknik seperti itu di negara ini.

“Jadi, selepas melihatnya secara langsung dalam program ini, saya akan cuba mempelajari sentuhan tersebut untuk menajamkan lagi skil yang dimiliki,” kongsinya yang mula bermain papan selaju seawal usia empat tahun.

Seramai enam pemain papan selaju terkemuka dunia berkongsi pentas bersama beberapa atlet kebangsaan dalam Jelajah Angka 2018 di sekitar Lembah Kelang dan Ipoh, Perak baru-baru ini.