Biasanya, kawasan yang dikelilingi bangunan pentadbiran kerajaan itu diterangi oleh cahaya lampu jalan dan lampu tumpu.

Sebaliknya, pada hari itu ia bertukar gelap gelita dan hanya diterangi oleh lampu telefon pintar.

Tepat pukul 8.45 malam, cahaya lampu gergasi dengan pelbagai variasi warna dan bentuk dipancarkan ke arah bangunan Istana Kehakiman.

Cahaya yang dikenali sebagai pemetaan bercahaya 3 dimensi (3D) itu menjadi lebih menarik apabila diiringi oleh alunan muzik rancak.

Persembahan yang berlangsung selama 20 minit setiap sesi itu berjaya mencuri tumpuan orang ramai yang memenuhi kawasan tersebut.

Itulah sebahagian daripada kemeriahan yang dapat dirasai oleh para pengunjung Festival Light & Motion Putrajaya (Lampu) 2017.

Salah seorang pengunjung, Muhammad Hafizuddin Nizam, 23, berkata, dia berasa sangat bertuah kerana menjadi salah seorang daripada jutaan pengunjung festival berkenaan.

Remaja berkaca mata itu memberitahu, festival Lampu memberi peluang kepadanya menikmati keindahan cahaya lampu dalam pelbagai variasi.

“Walaupun menetap di sini (Putrajaya), tetapi ini adalah kunjungan pertama saya ke Lampu.

“Ternyata, ia sangat menarik terutamanya dari aspek kepelbagaian tarikan seperti taman tulip dan binaan bercahaya,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Muhammad Hafizuddin yang juga penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor itu ternyata teruja melihat imej yang diketengahkan dalam pemetaan bercahaya 3D.

Dia memberitahu, hasil daripada pengamatannya, imej yang diketengahkan berkisar mengenai sejarah pembangunan negara.

“Pada saya, pemetaan cahaya 3D ini bukan sekadar pameran cahaya, malah imej-imej yang diketengahkan juga mempunyai kisah dan jalan ceritanya tersendiri.

Bandar bercahaya

“Antara imej yang saya lihat tadi termasuklah pembangunan di negara ini, pahlawan lampau dan keindahan bumi Malaysia,” katanya yang berkunjung ke Lampu 2017 bersama empat rakannya.

Festival yang berlangsung selama empat hari bermula 28 Disember lalu itu dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan.

Ketua Penolong Pengarah PPj, Mohd. Hafiz Khalek berkata, Lampu 2017 merupakan penganjuran kali kelima oleh pihaknya.

Jelasnya, objektif utama penganjurannya adalah untuk mempromosikan dan menonjolkan Putrajaya sebagai bandar bercahaya.

“Festival ini menjadikan Putrajaya sebagai bandar pertama di Malaysia yang menerapkan elemen pencahayaan bersistematik dan dinamik.

“Pada tahun ini, seramai 1.3 juta pengunjung memeriahkan festival Lampu 2017,” katanya.

Putrajaya juga merupakan satu-satunya bandar yang mempunyai Pelan Induk Pencahayaan dan tergolong daripada 76 bandar di dunia yang menjadi ahli Lighting Urban Community International (LUCI).

Antara bandar raya lain yang menganggotai LUCI ialah Lyon, Perancis, Sydney (Australia), Amsterdam (Belanda) dan Singapura.

Menurut Mohd. Hafiz, Lampu 2017 membawa kelainan dengan menampilkan penggunaan teknik, teknologi visual dan audio terkini.

Tarikan baharu

Tambahnya, pihaknya juga menggunakan teknologi pencahayaan resolusi tinggi dalam pemetaan bercahaya 3D di fasad bangunan Istana Kehakiman.

“Ini merupakan satu-satunya pemetaan bercahaya yang dipantulkan ke bangunan mempunyai struktur kompleks.

“Pada tahun ini, imej-imej yang dipantulkan bertemakan Ekspresi Negaraku, Ekspresi Malaysia dan Alam Semula Jadi,” terangnya.

Antara tarikan baharu yang diperkenalkan di Lampu 2017 ialah The Kindle Garden dengan tema taman fantasi di Laman Kiblat Walk.

Selain itu, segmen The Levitating Street& The 3D Street Art memaparkan dekorasi lampu gantung dan lukisan 3D di atas lantai, manakala The Vibrant Street dengan reka bentuk struktur cahaya unik dan kesan bayang-bayang.

“Kami turut mengekalkan komponen The Lighting Effect dengan biasan pelbagai rona lampu bangunan di sepanjang Persiaran Perdana, Presint 3 dan sebahagian Presint 2.

Bagi kemudahan para pengunjung, PPj turut menyediakan ruangan makanan oleh The Glorious Food Truck dan The Vendor serta perkhidmatan bas secara percuma.

Pada malam ambang tahun baharu 2018, para pengunjung dihiburkan dengan persembahan pertunjukan bunga api dan bunga api digital.

Mohd. Hafiz menjelaskan, Putrajaya merupakan satu-satu tempat yang menawarkan pertunjukan bunga api digital di negara ini.

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Siti Nurdiah Ahmad 18, berkata, dia memilih untuk menyambut tahun baharu di Putrajaya kerana kepelbagaian aktiviti di situ.

Jelas gadis berasal dari Dengkil, Selangor itu selain penataan cahaya, Putrajaya memberi peluang kepadanya menikmati persembahan muzik dan wayang kulit serta wayang pacak.

“Ini pertama kali saya sambut tahun baharu di Putrajaya selepas mengetahui keseronokan daripada imej dalam laman sosial.

“Sebelum tibanya pukul 12 malam, dia sempat menonton wayang kulit selain menikmati juadah yang dibeli daripada penjual trak makanan,” katanya.

Pekerja swasta itu menambahnya, suasana di situ bertambah meriah dengan ratusan ribu orang yang menunggu dan mengira detik tibanya tahun 2018.

Seramai 1.3 juta orang memenuhi Jalan Persiaran Perdana, Putrajaya sempena Festival Light & Motion Putrajaya dan Ambang Tahun Baharu.