Lawatan ke kampung nelayan itu memberi peluang kepada wakil media Malaysia untuk melihat sendiri kerja-kerja memproses ikan senangin masin. Dalam kalangan masyarakat Thailand ikan ini dipanggil ikan kulau.

Mungkin ada yang bertanya apakah yang sedap sangat ikan senangin masin ini? Mengapakah pula ikan yang diproses di bengkel Kampung Tangjung Pauh ini dikategorikan sebagai ikan mahal? 
Harga sekilogram ikan masin senangin ini, mencecah sekitar 1,300 baht hingga 1,500 baht (RM188).

Pembuatan

Apabila melihat sendiri proses menghasilkan yang agak rumit baharu penulis faham kenapa harganya mahal. Bagaimanapun rasanya yang enak sangat berbaloi menikmatinya.

Lebih kurang 40 orang penduduk di sekitar Tangjung Pauh bekerja di bengkel itu. Mereka bukan sahaja menghasilkan ikan masin tetapi juga sebagai pusat pengumpulan hasil tangkapan nelayan sebelum di hantar ke pasar-pasar di sekitar Thailand.

Perkara ini dikongsi Presiden Persatuan Nelayan Pattani, Mohd. Syukri Mat Sani yang juga ketua bahagian komuniti Pattani bersama wakil media.

Proses membuat ikan senangin masin mengambil masa lebih kurang antara sebulan hingga 50 hari sebelum boleh dipasarkan.

Ia bermula dengan membuang sisik dan perut ikan. Ikan senangin segar dibeli daripada nelayan pada harga 130 baht hingga 230 baht satu kilogram (RM29).

Ikan itu kemudiannya dijeruk dengan garam yang dihasilkan sendiri penduduk kampung di Pattani iaitu garam manis selama dua hari untuk ikan saiz besar dan sehari untuk ikan kecil.

Urutan

“Tiada campuran bahan kimia yang digunakan untuk menjerukkan ikan. Hanya menggunakan garam. Selain itu proses yang dilakukan adalah mengikut tata cara yang halal terutama daripada segi kebersihan,” kata Mohd. Syukri sambil menambah setelah dijeruk ikan berkenaan perlu dibersihkan sekali lagi bagi membuang garam sebelum dikeringkan.

Proses mengeringkan ikan pula akan dilakukan selama 25 hingga 45 hari bergantung kepada saiz ikan.

Ikan bersaiz kecil hanya memerlukan 25 hari sementara ikan besar akan mengambil masa tidak kurang 45 hari. Kesemua ikan yang digantung pada besi penyidai tidak boleh dibiarkan terus di bawah cahaya terik matahari bagi memastikan isi ikan tidak terlalu kering.

“Ikan dikeringkan di bawah jaring bagi memastikan cahaya matahari tidak memancar terus kepada ikan selain berfungsi memastikan ikan itu tidak dihinggapi lalat atau serangga.
“Kehadiran angin juga amat diperlukan untuk memastikan ikan dapat dikeringkan secara semula jadi,” katanya.

Selain itu, ia turut membabitkan satu proses unik iaitu ikan senangin masin ini diurut setiap hari bagi menjaga kualitinya.

Tujuan mengurut ini untuk memastikan kandungan garam meresap ke seluruh bahagian ikan itu.

“Jika proses pengeringan 25 hari, maka 25 hari ikan itu akan diurut. Setiap pagi ikan akan diurut di tempat yang disediakan dalam bengkel.

“Kita sentiasa mengingatkan semua pekerja supaya melakukan kerja mereka dengan ikhlas dan sabar untuk mendapatkan kualiti yang terbaik,” katanya yang mampu memasarkan 5,000 ikan masin senangin setahun dengan pulangan kira-kira 3 juta baht (RM380,000).

Pusat pengumpulan hasil laut dan memproses ikan masin di Tangjung Pauh antara lokasi yang diberi fokus di daerah Nong Chik dalam projek pembangunan tiga wilayah ekonomi Selatan Thailand di Pattani.

Projek di bawah Raja Rama ke-9 ini dimulakan sejak Mei tahun lalu yang bertujuan meningkatkan ekonomi nelayan serta penduduk setempat dengan menambah nilai hasil tangkapan.

Menurut Ketua Jajahan Daerah Nong Chik, Ak Yang-apai Na Songkla, ikan senangin masin menjadi pilihan kerana ikan berkenaan banyak didapati di perairan pantai sekitar wilayah Pattani.

Nelayan di kawasan berkenaan akan menjual tangkapan hasil laut mereka di pusat memproses ikan di Tangjung Pauh sebelum diedarkan ke pasar segar sekitar selatan Thailand atau diproses untuk dijadikan ikan masin.

Permintaan tinggi

“Ikan masin senangin yang diproses di sini mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan dan pasarannya semakin meluas meliputi hotel serta restoran mewah terutama di Bangkok.

“Projek ini membantu meningkatkan nilai ikan senangin yang sebelum ini hanya dijual di pasar pada harga murah,” katanya.

Usaha memastikan ekosistem laut terpelihara menjadi keutamaan nelayan di Pattani agar hasil tangkapan ikan senangin dan hasil laut lain sentiasa meningkat setiap tahun.

Menurut Ak Yang-apai Na Songkla, antara usaha yang dilakukan ialah dengan menubuhkan pasukan penjagaan pantai yang menjadi mata dan telinga bagi memantau sebarang kegiatan pencerobohan terutama kemasukan kapal besar yang boleh mengancam sumber laut.

Usaha ini turut melibatkan komuniti setempat sepanjang kawasan pantai di Pattani.

Kata beliau, ikan senangin biasanya hidup di perairan yang tenang dan cetek terutama di kawasan berbatu, berteluk ataupun kuala sungai yang berpasir dan air payau.

Selain memberi fokus kepada pasaran tempatan, pihaknya juga mengalu-alukan pihak yang ingin memasarkan produk ikan senangin di luar negara itu.

“Jika ada pihak di Malaysia yang berminat untuk mengimport ikan masin senangin hasil produk komuniti di Nongchik ini, pihak kami amat mengalu-alukannya,” kata beliau. – Bernama