Mata Muhammad Azri Iskandar tertumpu kepada beberapa ekor ikan inggu (clown fish).

Sebagai peminat filem animasi, Finding Nemo terbitan Pixar Animation Studios, dia sangat mengenali haiwan berkenaan.

Muhammad Azri kemudian dipimpin oleh bapanya masuk ke dalam Oceanarium itu. Di dalam pusat tersebut, dia turut melihat ikan spesies blue tang atau nama saintifiknya Paracanthurus hepatus di dalam salah sebuah akuarium di tempat tersebut.

Itulah sebahagian cerita menarik daripada para pengunjung yang pernah melawat ke Oceanarium berkenaan.

Seorang pengunjung, Akhmal Khuzairi, 27, yang datang bersama keluarganya turut teruja dengan keistimewaan ditawarkan oleh pihak Oceanarium.

Katanya, orang ramai dibenarkan memasukkan tangan ke dalam akuarium besar untuk menyentuh ikan.

“Uniknya, air akuarium yang berisi ikan itu tidak melimpah keluar kerana menggunakan konsep imbangan vakum.

“Pengunjung juga boleh berinteraksi dan menyentuh ikan dipamerkan selain memegang beberapa hidupan laut seperti belangkas, tapak sulaiman, landak laut serta ikan yu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pusat tersebut baru-baru ini.

Tambah bapa kepada dua cahaya mata itu, keluarganya turut bergambar dengan hidupan marin seperti kuda laut, ikan inggu dan batu karang.

“Kami juga diberikan kaca mata tiga dimensi (3D) bagi menikmati pengalaman yang lebih menyeronokkan seperti berada di dasar laut,” ujarnya yang juga merupakan anak jati Melaka.

Diimport

Mula dibuka kepada umum pada Disember 2014, Oceanarium memberi peluang pengunjung mengeksplorasi dunia hidupan laut yang menempatkan lebih 1,000 spesies ikan berbeza yang jarang ditemui termasuk batu karang, landak laut, penyu dan obor-obor.

Dibina dengan kos RM5 juta, Oceanarium meliputi keluasan 1,394 meter persegi dengan lebih 90 peratus hidupan lautnya diimport dari luar negara dan 10 peratus lagi didapati di perairan negara.

Dibuka setiap hari dan cuti umum, Oceanarium mampu menerima 500 orang pengunjung dalam satu-satu masa. Malah, seramai 5,000 orang pernah dicatatkan mengunjungi tempat berkenaan dalam tempoh sehari.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Melisa Abdul Ghafar, 32, memberitahu, kesemua ikan dan batu karang yang dipamerkan di dalam pelbagai saiz akuarium menggambarkan seperti suasana sebenar di dalam laut.

Melisa menambah, selain bantuan pencahayaan daripada lampu hiasan, akuarium itu turut dilengkapi hiasan kreatif seperti habitat asal hidupan berkenaan di dalam laut.

Jelasnya lagi, pengunjung turut dibekalkan dengan kertas kuiz untuk memberi kefahaman yang lebih mendalam mengenai habitat hidupan laut.

“Kami mendapat banyak maklumat dan ia boleh dicatat pada kertas kuiz yang disediakan, ia membuatkan kami berasa lebih dekat dengan hidupan laut di sini.

“Jika kami berjaya melengkapkan kertas kuiz ini, pihak Oceanarium akan memberikan hadiah pada akhir lawatan di pintu keluar,” katanya yang berasal dari Subang Jaya, Selangor.

Menurut Pengurus Jualan dan Pemasaran Oceanarium, Agnes Wong, Oceanarium bukan sahaja destinasi yang menyeronokkan, malah memuatkan pelbagai ilmu yang boleh dikongsi kepada anak-anak.

“Di sini mereka boleh melihat pelbagai spesies hidupan laut di samping mengenali nama saintifik serta habitat haiwan tersebut. Untuk ibu bapa, mereka boleh jadikan tempat ini sebagai destinasi bercuti sambil belajar untuk anak-anak,” katanya.

Aktiviti

Selain dapat melihat hidupan laut dengan lebih dekat, Agnes memberitahu, pihaknya juga menawarkan banyak zon aktiviti menarik.

Antaranya, Interactive Touch Pool, Jungle Quest, Sea Shells Museum, River Story, Dangerous Marine Species, Shark Quest, Ocean Journey, Ocean Theatre, Living Fossil, Fun Freakish dan Kampung Penyu.

Agnes memberitahu, orang ramai turut berpeluang mengalami keasyikan sebuah dokumentari filem 3D iaitu perjalanan hidup seekor anak penyu dari sebuah daratan dalam mengharungi kehidupan di lautan luas.

Katanya, filem 3D yang berdurasi 15 minit itu merupakan salah satu program interaktif diwujudkan oleh pihaknya bagi meningkatkan kesedaran orang ramai untuk memulihara penyu yang diancam kepupusan.

“Ramai beranggapan ancaman terhadap penyu adalah perkara kecil berbanding pelbagai isu besar lain yang melingkari kehidupan pada masa kini.

“Mereka boleh melihat penyu terancam secara semula jadi melalui kitaran makanan apabila ia dimakan oleh spesies lain seperti jerung dan helang tetapi tanpa mahu mengakui bahawa manusialah ancaman terbesar terhadap kelangsungan hidupan spesies itu,” ujarnya.

Jelasnya lagi, untuk mendapatkan 100 ekor ibu penyu bermakna sebanyak 100,000 telur harus ditetaskan kerana banyak yang mati ketika usia muda.

“Kami berharap setelah pengunjung menonton filem 3D, sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada mereka, terutamanya dalam kalangan golongan muda dan kanak-kanak,” katanya.

Tambah Agnes, terdapat banyak paparan info, grafik dan video bercirikan 3D bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai serta melihat sendiri kesan imej 3D sepanjang berada di dalamnya yang jelas memberi 
pe­ngalaman baharu dan menyeronokkan.

“Kami juga ada menyediakan 10 tempat Augmented Reality dan beberapa lukisan 3D bercirikan suasana hidupan laut untuk para pengunjung merakam gambar dengan kreatif.

“Mereka boleh mengambil seberapa banyak gambar yang diinginkan dan memuat naik gambar tersebut ke laman sosial seperti Facebook dan Instagram,” tuturnya.

The Shore Oceanarium membawa pengunjung mengeksplorasi dunia hidupan laut yang menempatkan lebih 1,000 spesies ikan berbeza termasuk batu karang, landak laut, penyu dan obor-obor.