“Berat la...adik ambil buah durian yang ringan saja ya,” kata seorang peserta yang menyertai pertandingan Larian Durian yang diadakan di Bangi Golf Resort (BGR), Selangor pada 14 Julai lalu.

Noor Marzatul Aini Md. Ladin, 21, berkata, dia menyahut cabaran bagi membawa buah durian sambil berlari sejauh 4 kilometer.

“Saya pertama kali menyertai larian seumpama ini dengan memakai pakaian maskot tupai tanah (chipmunk) datang seawal pukul 6.30 pagi.

“Larian ini agak mencabar meskipun jarak lariannya dekat kerana keadaan bentuk muka bumi BGR yang tidak rata dan berbukit,” jelasnya.

Tambahnya, berlari naik turun bukit kecil memang betul-mencabar dan melelahkan.

“Syukurlah kerana cuaca pada hari ini redup.

“Oleh kerana itu, akhirnya larian durian telah bertukar menjadi berjalan sambil membawa durian,” ujarnya.

Seorang lagi peserta, Mohd. Azran Khan, 26, berkata, dia menampilkan keunikan apabila membawa durian seperti membawa obor apabila meletakkan durian di dalam bekas khas yang lengkap dengan sebatang kayu.

“Saya juga berlari bersama burung nuri yang dibawa khusus untuk larian durian kali ini.

Kreativiti

“Memang sukar berlari dengan berat durian dan membawa burung nuri bersama tetapi saya amat berpuas hati kerana dapat menamatkan larian ini,” tuturnya.

Dalam pada itu, Pengarah Larian Durian BGR, Raja Zefri Raja Zahabuddin berkata, acara larian yang dianjurkan oleh BGR sempena Festival Durian 2019 telah memasuki kali kedua penganjurannya pada tahun ini.

“Larian ini bertujuan melihat kreativiti para peserta membawa buah durian sambil berlari.

“Kami memilih durian kerana ia Raja Buah dan amat sesuai untuk pertandingan ini,” katanya.

Menurutnya, sambutan amat menggalakkan apabila seramai 600 peserta menyertainya pada tahun ini.

“Kami juga menyasarkan 3,000 peserta pada penganjuran tahun depan. Acara tahunan ini dirancang untuk diadakan di seluruh negara,” ujarnya.

Raja Zefri mengulas lanjut, dia juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Syarikat Dulai Fruit Enterprise yang telah menaja lebih daripada 700 biji durian untuk peserta dan hadiah utama pada kali ini.

“Selain aktiviti larian ini, kita juga mengadakan kejohanan dunia durian edisi Malaysia, pasar tani, seminar dan simposium, larian durian dan konsert Raja Buah.

“Misalnya, pada kejohanan dunia durian edisi Malaysia nanti kami ingin membekalkan Musang King, Duri Hitam dan D24,” jelasnya.