Bulan Ramadan dijanjikan Allah dengan pelbagai kelebihan dan ganjaran pahala berganda.

Justeru, pelbagai program dianjurkan umat Islam terutamanya di negara ini untuk merebut keampunan dan rahmat Allah.

Begitu juga, pihak Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur yang tidak ketinggalan dalam mengimarahkan masjid berkenaan dengan pelbagai aktiviti.

“Sejak lima tahun lalu, saya menjadikan aktiviti berbuka puasa dan bertarawih di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad sebagai rutin harian kecuali pada hari cuti.

“Masjid ini dekat dengan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) mudah untuk saya pulang ke rumah selepas bertarawih. Selain Jarak masjid yang berdekatan dengan tempat kerja memudahkan saya ke sana selepas pulang bekerja,” kata Nurul Hidayah Ramli, 30 kepada Kosmo! baru- baru ini.

Anak sulung daripada lima orang adik-beradik itu turut mengikuti ceramah-ceramah agama dan bertadarus di masjid tersebut.

Masjid Jamek Sultan Abdul Samad turut menjadi tumpuan pelancong yang sama-sama mengikuti program berbuka puasa.

Ia diiktiraf sebagai salah sebuah masjid pelancongan di negara ini.

 

Kesyukuran

Ketua Imam Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Yahya Mahyuddin Utoh Said berkata, pihaknya membuat kelainan dengan memberi peluang kepada pelancong untuk berbuka puasa bersama masyarakat tempatan.

“Setiap tahun pihak kami menganjurkan majlis berbuka puasa bersama pelancong dan ia sangat bertepatan dengan tarafnya sebagai salah satu daripada 36 buah masjid pelancongan di negara ini.

“Di samping itu, terdapat pelbagai program yang dirangka untuk mengimarahkan masjid sebagai tanda kesyukuran menyambut kedatangan bulan mulia ini,” tuturnya.

Antara aktiviti harian sepanjang Ramadan di masjid itu ialah berbuka puasa untuk 1,000 orang, solat tarawih, ceramah agama, tadarus al-Quran, qiamullail, program iftar santai dan iktikaf pada 10 malam terakhir Ramadan.

Malah pihak masjid juga mengadakan aktiviti luar seperti sedekahkan bubur lambuk sebanyak 1,000 pek setiap hari dan klinik al-Fatihah.

“Pihak masjid memperuntukkan hampir RM500,000 dana untuk melakukan segala aktiviti sepanjang bulan Ramadan ini,” jelasnya.

Pada 10 malam terakhir, pihak masjid turut menyediakan sahur untuk mereka yang berqiam dan beriktikaf di situ.

 

Sukarelawan

Jelasnya, bulan Ramadan tidak mengurangkan kehadiran pelancong bahkan mencatat peningkatan sebanyak 50 peratus. Masjid yang dibina pada tahun 1909 itu berkeluasan 0.04 hektar. Ia telah diubah suai pada tahun 2013 dan kini boleh memuatkan 1,000 jemaah.

“Ini kerana, kami turut dibantu oleh sukarelawan pemandu pelancong dari Islamic Outreach Abim dan Mosque Tour Guide.

“Mereka berperanan menyampaikan keindahan Islam kepada dunia luar agar lebih memahami dan menolak prasangka negatif terhadap agama ini,” jelasnya.

Pada tahun ini, masjid tersebut mengadakan program istimewa iaitu Santuni Rakan Jalanan yang telah diadakan pada 2 dan 3 Jun lalu.

Santuni Rakan Jalanan adalah program bersahur bersama gelandangan di berdekatan masjid tersebut seperti Jalan Tunku Abdul Rahman, Pudu dan Dataran Merdeka.

“Bermula pukul 4 pagi, pihak masjid dan sukarelawan bergerak mencari gelandangan-gelandangan dan mengajak mereka bersahur dengan makanan yang kami bawa.

“Selama dua hari program itu berlangsung, kami turut mengajak mereka untuk bersama-sama qiamullail,” ujarnya.

Selain itu, Yahya Mahyuddin memberitahu, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad lebih mengetengahkan imam-imam tempatan, tetapi pada hari-hari tertentu terdapat imam-iman dari dari luar negara.

Yahya Mahyuddin menyatakan, imam tempatan turut berkualiti dan bacaan mereka juga sangat sedap.

Ujarnya, sikap masyarakat yang hanya mengunjungi masjid pada bulan Ramadan perlu diubah malah momentum tersebut perlu dikekalkan dan bukannya rancak pada waktu-waktu tertentu sahaja.

“Mengambil pendekatan moto masjid kami iaitu Melestarikan Masjid Ke Arah Umah Syariah. Kami ingin menyuntik semangat kepada masyarakat menyambut bulan puasa dan teruja untuk menggandakan ibadah.

Sementara itu, berkongsi pengalaman manis, Hamoka, 32, berkata, keterujaan melihat orang-orang masjid memberi makanan berbuka puasa dan bubur lambuk membuatkan dirinya terpanggil untuk datang di situ.

“Masjid ini sangat meriah dan padat dengan program sepanjang bulan Ramadan membuatkan saya sangat seronok untuk datang ke sini apatah lagi jaraknya dekat dengan hotel saya.

“Saya sangat teruja dengan layanan pemandu pelancong dan pihak masjid kerana mereka mengajak saya berbuka bersama-sama dengan orang Muslim yang berpuasa. Biarpun pada masa itu saya datang ke masjid untuk menangkap gambar sahaja,” jelas pelancong Jepun itu.

Katanya, suasana pada masa itu merupakan pengalaman pertama buatnya. Hidangan makanan pelbagai dan layanan mesra orang ramai membuatkanya lupa dirinya adalah orang asing.

“Reka bentuk masjid yang indah, selesa dan mempunyai fasiliti lengkap membuatkan saya ingin bertandang ke sini pada lain kali,” jelasnya.

Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur merupakan lokasi tumpuan setiap kali Ramadan bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, malah pelancong asing turut menyertai program di masjid berkenaan.