Cuaca pada petang Khamis itu sedikit dingin dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.

Kurang sejam lagi matahari akan terbenam.

Pengunjung yang ingin merasai pengalaman belayar menaiki kapal layar mewah tersebut dikehendaki memakai jaket keselamatan.

Gelas dan set kulteri tersusun kemas di atas meja di ruang dek di dalam kapal layar berkenaan.

Selepas mendengar taklimat keselamatan yang dipaparkan pada skrin televisyen dalam dek, pengangkutan air tersebut mula bergerak meninggalkan pelabuhan.

Menurut wanita itu, menaiki kapal layar di negara yang terkenal dengan artis K-Pop tersebut adalah pengalaman pertamanya dan sesuatu yang menyeronokkan.

“Menaiki pengangkutan air termasuk pelbagai jenis bot bukan suatu yang luar biasa bagi saya.

“Di India, saya pernah menaiki sejenis perahu kayu dikenali sebagai Shikara ketika menyelusuri Tasik Dal, Kashmir.

“Saya juga pernah menaiki bot semasa mengunjungi Sri Lanka, Australia dan Chicago, Amerika Syarikat,” dia menjelaskan dengan ramah ketika berbual dengan wakil Kosmo! di Pulau Jeju baru-baru ini.

Wanita tersebut mengakui dia sangat teruja berpeluang menaiki kapal layar berkenaan dan telah merakamkan banyak gambar untuk dijadikan kenang-kenangan.

Ridhi yang pertama kali berkunjung ke republik itu dan berada selama lima hari juga berkata, kapal layar Shangri-La V luas dan selesa selain sangat sesuai untuk melakukan aktiviti bersama rakan-rakan.

“Lebih menarik, pengunjung berpeluang menyaksikan panorama matahari terbenam di tengah laut dan ia sangat mengagumkan,” tambah wanita tersebut.

Perjalanan yang memakan masa selama sejam itu memberi peluang kepada pengunjung dari dalam mahupun luar negara menyelusuri pantai Seogwipo Jungmun di Pulau Jeju.

Semasa berlayar, pengunjung pastinya mengagumi pemandangan Cerun Jusangjeolli yang terbentuk akibat formasi gunung berapi.

Selain menikmati keindahan pulau berkenaan sambil minum dan menjamu selera makanan ringan, pengunjung juga mencuba memancing ikan menggunakan joran-joran yang telah disediakan di bahagian kiri dan kanan kapal berkenaan.

Sementara itu, pemandu pelancong agensi pelancongan Appletree yang beribu pejabat di Seoul, Korea Selatan, Sophia Jiyoung Choi berkata, pengembaraan menaiki kapal layar mewah adalah salah satu daripada tarikan menarik di bandar Seogwipo, selatan Pulau Jeju.

Keindahan alam

“Seogwipo ialah bandar kedua terbesar di Pulau Jeju yang terletak di pantai gunung berapi.

“Pengembaraan menaiki kapal layar yang elegan memberi peluang kepada pelancong menyaksikan pemandangan marina dan pantai yang indah di sekitar pantai selatan pulau ini,” ujar wanita berusia 36 tahun tersebut.

Pulau Jeju boleh dikunjungi melalui penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju yang terletak di bahagian utara pulau.

“Penerbangan dari Seoul biasanya mengambil masa satu jam manakala ia memakan masa kurang dari satu jam melalui pantai selatan bandar Busan,” tambah Sophia yang sudah berpengalaman selama enam tahun berkhidmat sebagai pemandu pelancong.

Ujar Sophia, Pulau Jeju terkenal dengan keindahan alam semula jadi.

Selain Seogwipo, kawasan Seopjikoji menyajikan pemandangan yang indah di sepanjang pesisir pantai.

“Seopjikoji merupakan teluk yang terletak di sebelah timur Pulau Jeju, berhampiran dengan Seongsan Ilchulbong dan Pulau Udo.

“Berbeza dengan kawasan teluk lain di Pulau Jeju, Seopjikoji terbentuk daripada debu gunung berapi berwarna merah yang dipanggil songyi,” tutur Sophia yang fasih berbahasa Inggeris.

Seopjikoji juga antara lokasi kegemaran bagi penggambaran drama dan filem Korea.

Pengunjung boleh ke Air Terjun Jeongbang yang mengalir terus ke laut.

Buah limau

Air Terjun Jeongbang yang merupakan salah satu daripada empat lokasi air terjun terkenal sekitar Pulau Jeju mempunyai ketinggian sekitar 23 meter dan lebar kira-kira 10 meter.

Selain berkunjung ke lokasi yang menyajikan panorama indah, Pulau Jeju juga terkenal dengan hasil tanaman buah limau dan teh hijau.

“Ladang-ladang buah limaunya yang mempunyai rasa manis mudah dilihat di sekitar pulau ini.

“Teh hijau O’sulluk adalah jenama teh terkenal dari Pulau Jeju dan ladang teh berkenaan terletak di Seongwang,” jelasnya.

Muzium teh Osulloc pula terletak hanya bersebelahan dengan ladang terbabit. Ia adalah muzium pertama di Korea khusus untuk teh dan dibuka dapa September 2001.

“Muzium tersebut juga adalah tarikan paling popular di Pulau Jeju dan telah dikunjungi lebih 1.5 juta pengunjung setiap tahun kerana mempunyai sumbangan kepada pembangunan pelancongan melibatkan teh hijau Jeju,” ulasnya.

Dalam pada itu, seorang pengacara televisyen Channel W dari Malaysia, Syasya Jamal, 23, yang mengunjungi Pulau Jeju kerana mengikuti lawatan media anjuran syarikat barangan keperluan rumah, LG Electronics memberitahu, pemandangan di Pulau Jeju sangat cantik untuk dirakam gambar dan dikongsikan di laman media sosial seperti Instagram.

“Setiap gambar yang dirakam berlatar belakang keindahan semula jadi sungguh mempesonakan.

“Saya tidak lepaskan peluang untuk merakamkan banyak gambar di setiap lokasi yang dikunjungi,” ujar anak kelahiran Johor Bahru, Johor yang pertama kali mengunjungi negara berkenaan.