Malah, ada yang sanggup mengambil risiko ditimpa kecederaan semata-mata kerana cinta yang kuat terhadap sukan ekstrem itu.

Bagi Ghalib Mohamad Azimi, 19, risiko kecederaan itu tidak menghalang dia dan 58 peserta lain untuk menyertai Kejohanan Memanjat Tembok Tiruan Terbuka Kebangsaan 2018 yang diadakan di Putrajaya Challenge Park (PCP), Presint 5, Putrajaya baru-baru ini.

Katanya, memanjat tembok tiruan adalah sukan yang istimewa berbanding acara lain kerana ia mempunyai elemen cabaran yang mampu menguji tahap keupayaan peserta.

Ghalib memberitahu, seseorang itu perlu bersaing dengan pihak lawan untuk mencari kemenangan dalam sukan lain.

Namun, kita mencabar diri sendiri untuk menang dalam acara memanjat tembok tiruan.

“Ini adalah aktiviti yang saya akan lakukan jika ada masa terluang. Malah, saya anggap ia sebagai salah satu daripada latihan tambahan untuk mahir dalam sukan ini.

“Kebetulan pertandingan ini diadakan di peringkat kebangsaan. Jadi, saya rasa tidak salah untuk mencuba nasib kerana ia juga adalah sebahagian daripada diri saya,” kongsinya ketika ditemui Kosmo! di PCP, Presint 5, Putrajaya baru-baru ini.

Tambah remaja yang berasal dari Muar, Johor itu, dia melakukan aktiviti itu sebanyak tiga kali dalam seminggu.

Katanya, dia perlu mengutip sebanyak mungkin pengalaman kerana ia amat berguna terutamanya apabila menghadapi sesuatu kejohanan.

“Penting untuk saya mengenali dan merasai setiap bentuk batu tembok tiruan yang ada jika mahu mendapatkan keputusan yang baik.

“Lagi kerap kita melakukan aktiviti ini, ia akan memberi kelebihan untuk membantu saya memanjat dengan lebih baik,” ujarnya yang telah menyertai pelbagai pertandingan di peringkat antarabangsa sejak empat tahun lalu.

Sementara itu, salah seorang peserta wanita, Aina Azrin Mohd. Zulkifli, 28, menyifatkan, sukan memanjat tembok tiruan umpama permainan puzzle yang perlu diselesaikan dalam masa yang ditetapkan.

Selain itu, Aina Azrin memberitahu, tidak hanya kekuatan tangan diperlukan tetapi bahagian utama dalam pergerakan badan juga memainkan peranan penting bagi memastikan pendaki dapat mengawal kestabilan badan untuk sampai ke penghujung tembok tiruan itu.

“Saya bermula dalam sukan memanjat tembok tiruan ini sejak tahun 2012. Antara lokasi latihan tumpuan ialah di PCP, Extreme Park Shah Alam, Selangor, Camp5 1 Utama dan Boulder Venture Subang.

“Sukan ini bukan saja seronok tetapi memberi saya banyak ruang untuk mencabar kemampuan diri hing­ga ke peringkat lebih tinggi.

“Pada masa sama, kita akan lebih yakin kepada diri sendiri dan cenderung berfikir dengan pantas,” katanya yang juga bertugas sebagai pengaturcaraan komputer di sebuah syarikat penerbangan swasta.

Sukan Olimpik

Menurut anak ketiga daripada empat adik-beradik itu, aktiviti memanjat tembok tiruan sebenarnya sudah diiktiraf untuk dipertandingkan pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Katanya, ia tergolong dalam satu daripada sukan baharu berpotensi tinggi sehinggakan sebelum ini ramai atlet Malaysia yang berjaya menempatkan diri di peringkat dunia.

“Pendaki bukan hanya perlu melawan rasa gayat tetapi harus mengenal pasti bentuk batu tiruan yang dipasang kerana mempunyai nama tertentu seperti crimper, jug, slopper, edge dan pinch.

“Kebiasaannya dalam kalangan pendaki baharu, mereka akan diperkenalkan dengan laluan tertentu untuk mendaki mengikut warna batu yang sudah siap dipasang.

“Di sinilah pendaki perlu mempunyai kemahiran untuk mendaki,” ujarnya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Persekutuan Mendaki Malaysia (PMM), Mohd. Akbal Amin, memberitahu, bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), pihaknya diberi tanggungjawab untuk mengendali pertandingan yang berlangsung selama tiga hari itu.

Katanya, kejohanan itu turut diadakan untuk mencari pelapis dan memilih atlet terbaik sukan memanjat tembok tiruan bagi menghadapi temasya Sukan Asia 2018 pada bulan Ogos tahun ini.

“Terdapat tiga kategori yang dipertandingkan termasuklah bouldering, lead climbing dan speed. Kesemua markah dalam kategori ini pula akan digabungkan dalam satu acara.

“Hal ini adalah untuk membiasakan format baharu yang diperkenalkan bagi acara itu pada Sukan Asia 2018 baru-baru ini,” ujarnya.

Tambah Mohd. Akbal, PCP dipilih sebagai lokasi pertandingan kerana ia merupakan pusat latihan memanjat tembok terbesar di Asia Tenggara.

Ia mempunyai keluasan 195 meter persegi dan dilengkapi pelbagai tahap kesukaran pendakian.

Teknikal

“PCP mempunyai tembok berketinggian sehingga 20 meter atau bersamaan dengan bangunan lima tingkat yang membolehkan pendaki melakukan pelbagai disiplin atau cabaran laluan untuk memanjat.

“Oleh itu, ia amat sesuai untuk menguji penguasaan teknikal memanjat peserta.

“Contohnya dalam kategori bouldering, tahap kemampuan peserta akan diuji untuk memegang pelbagai jenis batu yang terdapat pada tembok tiruan ini,” jelasnya.

Selain itu, Mohd. Akbal mengakui, aktiviti memanjat tembok tiruan juga bukanlah satu sukan yang mahal kerana orang ramai boleh membeli kelengkapan berkenaan dengan harga mampu milik serta ia boleh digunakan untuk satu tempoh yang lama.

“Beberapa keperluan asas diperlukan untuk melakukan aktiviti ini seperti kasut khas untuk mendaki, abah-abah, tali dan serbuk kapur.

“Bagi atlet pula, terdapat kemudahan untuk menjalankan latihan di sini yang boleh dikatakan lengkap. Cuma, sebagai atlet adakalanya mereka memerlukan cabaran laluan atau batu yang lebih mencabar untuk menghadapi kejohanan.

“Oleh itu, bagi peserta yang terpilih ke temasya Sukan Asia 2018, saya berharap mereka akan memberi komitmen sepenuhnya bersama PMM dan MSN dalam pelbagai latihan yang bakal kami adakan untuk memantapkan kemahiran mereka,” ujarnya.

Seramai 59 peserta dari seluruh negara mencuba nasib pada Kejohanan Memanjat Tembok Tiruan Terbuka Kebangsaan 
2018 untuk menjadi atlet pada temasya ke Sukan Asia 2018.