Pameran yang berlangsung setiap hari bermula 16 November hingga pertengahan Mac tahun hadapan itu diinspirasikan daripada filem Harry Potter dan Fantastic Beasts.

Menurut agensi berita CNN, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi telah membina replika lokasi di dalam novel dan buku animasi kedua-dua filem berkenaan agar penumpang merasai pengalaman unik dan sukar dilupakan.

Seorang pengunjung Malaysia yang mendapat taraf pemastautin tetap Singapura, Rafhanah Mohtar, 27, berkata, pameran Harry Potter dan Fantastic Beast yang diadakan di lapangan terbang tersebut sesuai untuk dijadikan lokasi merakam gambar.

“Dekorasi berkonsepkan alam ghaib di terminal perlepasan sangat menarik dan cantik.

“Saya berasa seolah-olah berada di lokasi sebenar seperti di dalam filem,” katanya yang berasal dari Pahang dan hampir dua tahun menetap Singapura.

Lapangan Terbang Antarabangsa Changi yang mengendalikan 62.2 juta penumpang pada 2017 telah menerima pengiktirafan sebagai lapangan terbang terbaik dunia selama enam tahun berturut-turut oleh anugerah Skytrax yang berprestij bagi kategori lapangan terbang Asia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lapangan Changi, Lee Seow Hiang, anugerah itu mendorong pihaknya memberikan pengalaman terbaik kepada penumpang.

“Anugerah tersebut telah mendorong kami memberikan kemudahan terbaik kepada semua penumpang yang membuat perjalanan menggunakan Lapangan Terbang Changi.

Replika kedai

“Lapangan terbang ini dijangka lebih menarik apabila terminal baharu dibuka pada tahun 2019,” ujarnya.

Replika Perkampungan Hogsmeade boleh dikunjungi di dewan perlepasan Terminal 3 serta ia dihias dengan salji dan berlatarbelakangkan istana Hogwarts.

Terdapat juga replika kedai yang paling terkenal dalam filem berkenaan seperti Zonko’s Joke Shop, Kedai Teh Madam Puddifoot, Owl Post dan Sweet Honeydukes.

Replika pasar raya Diagon Alley pula antara lokasi alam ghaib filem Harry Potter yang boleh diterokai pengunjung selain sekolah magis Hogwarts School of Witchcraft dan Wizardry di terminal sama.

Pengunjung juga boleh berpakaian sebagai ahli sihir di kios Jubah Madam Malkin dan berpeluang merakam gambar GIF di depan cermin ajaib.

Sementara itu, mereka yang ingin merasai kemahiran magis pula boleh mencuba aktiviti seperti menunggang penyapu terbang dan membaling bola Quaffle ke dalam satu siri gelung untuk mendapatkan mata.

Di stesen aktiviti lain pula, pelawat boleh bermain dengan Niffler gergasi sama seperti di dalam siri filem Beasts Fantastic: The Crimes of Grindelwald.

The Whomping Willow, sebuah replika pokok ajaib pula telah dibina di dewan perlepasan Terminal 2, manakala Menagerie Newt Scamander boleh didapati di Terminal 1.