Sejurus melihatnya, dia terus membelek dan mencari di mana lokasi gambar itu diambil apabila teringatkan minat dua orang anaknya terhadap watak kartun tersebut.

Sebaik mengetahui patung tersebut dipamerkan bersempena Pameran Our Sanrio Times di tingkat 5, pusat beli-belah Quill City Mall, Kuala Lumpur, dia terus memaklumkan kepada suami untuk membawa mereka sekeluarga ke sana.

Menurut suri rumah tersebut, Pameran Our Sanrio Times sememangnya menjadi lokasi tepat anak-anaknya bersantai dan berseronok sambil menghabiskan cuti sekolah yang berbaki beberapa minggu sahaja lagi.

“Kita sendiri maklum bahawa kanak-kanak memang suka menonton kartun dan animasi di televisyen, malah sudah pasti mereka akan lebih teruja jika dapat menyaksikan watak itu secara lebih dekat.

“Walaupun perjalanan ke Kuala Lumpur memakan masa kira-kira tiga jam dari rumah kami. Ia sangat memuaskan memandangkan anak-anak sangat gembira dan teruja apabila dapat berkunjung ke pameran ini,” katanya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Jelas Mazalifah, riak wajah kedua-dua anaknya jelas teruja sebaik nampak pintu masuk pameran tersebut terutama salah satu ruang bernama The Plushy World yang dipenuhi dengan ribuan patung-patung di kiri dan kanan dinding.

“Sambil berjalan-berjalan dan mengenal pasti karakter-karakter patung tersebut, mereka turut mengira berapakah jumlah kesemua anak patung yang digantung pada dinding tersebut.

“Karakter yang paling disukai mereka ialah patung Hello Kitty gergasi setinggi 3.5 meter. Boleh dikatakan tingginya hampir tiga kali ganda berbanding mereka,” katanya.

Diasaskan pada tahun 1960, Sanrio telah mencipta lebih 400 watak comel dengan Hello Kitty menjadi watak yang paling menyerlah. Sejak berdekad-dekad lamanya, watak ciptaan Sanrio itu telah memainkan peranan penting dalam zaman pembesaran kanak-kanak di seluruh dunia.

Tarikan baru

Mendapat lesen daripada Sanrio dan dianjurkan oleh Alata Events, Macexpo serta disokong oleh Tourism Malaysia, Hello Kitty dan rakan-rakannya telah datang ke negara ini bermula 24 November lalu sehingga 6 Januari 2019.

Pameran terbesar seumpamanya di Malaysia dan Asia Tenggara itu menampilkan 13 zon bertemakan Sanrio. Ia membolehkan pengunjung melihat secara dekat dan merakam foto 100 daripada 400 watak comel berwarna-warni yang menawarkan pengalaman visual menakjubkan.

Pegawai Perhubungan Awam Our Sanrio Times, Goh Yoke Leng berkata, kesemua barang pameran itu dibawa khas dari Jepun, malah ia merupakan kali pertama 100 watak itu dibawa masuk ke Malaysia serta Asia Tenggara.

“Pameran itu diadakan bagi mengembalikan semula nostalgia indah zaman kanak-kanak.

“Ia bukan saja menjadi tarikan untuk keluarga dan kanak-kanak, malah buat mereka yang berjiwa muda untuk mengimbau kenangan lalu pada masa sama mencipta pengalaman baharu,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tumpuan utama sudah pasti di Perkampungan Sanrio kerana 100 watak daripada keluarga Sanrio akan berkumpul di lokasi itu termasuk kereta api mainan yang sangat nostalgia.

Antara tarikan lain ialah replika dompet syiling Hello Kitty iaitu barangan pertama ciptaan Sanrio yang dipamerkan buat julung-julung kalinya di Malaysia.

Dalam pada itu, lebih 300 edisi terhad dan barangan Sanrio vintaj era 70-an yang jarang ditemui turut dipamerkan.

Selain itu, pengunjung juga boleh mencuba lima permainan menarik yang turut disediakan iaitu Finding Ribbon, Feed ‘D’ Fish, Let Me Roll, Shark Hunting dan Rolling Stone sambil berpeluang memenangi hadiah menarik.

Waktu operasi

Bercerita tentang waktu operasi dan harga tiket, Yoke Leng berkata, pameran tersebut dibuka setiap hari bermula pukul 11 pagi hingga 9 malam dengan harga tiket sebanyak RM33 bagi warganegara Malaysia.

“Bagi warga emas, bayaran hanya dikenakan sebanyak RM20, manakala bukan warganegara dikenakan yuran sebanyak RM60.

“Pengunjung juga boleh membeli cenderahati bercorak watak-watak Sanrio untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan,” katanya.

Tiket boleh didapati secara terus di kaunter pameran atau menerusi laman web, www.ticketcharge.com.my atau hubungi talian 03-9222 8811 untuk maklumat lanjut.

Sementara itu, seorang pengunjung, Choo Wai Kit, 19, berkata, watak Hello Kitty yang diminatinya sejak kecil menjadi penarik kepadanya untuk berkunjung ke pameran tersebut.

Dia yang merupakan penuntut di sebuah kolej swasta menambah, pengunjung bukan sekadar boleh melawat dan melihat watak-watak kartun yang comel tetapi dapat mencuba beberapa aktiviti yang disediakan.

“Antaranya di ruang bernama Drawing Classroom, saya dapat belajar cara untuk melukis watak kegemaran berdasarkan contoh yang disediakan oleh pereka Sanrio.

“Ternyata kunjungan saya ke sini berbaloi kerana berasa puas dapat melihat pelbagai tarikan yang disediakan di sini,” ujarnya ceria.