Begitupun, sesetengah pihak mengimpikan tempat penginapan berbentuk hotel yang berdekatan dengan kemudahan awam, pusat beli-belah dan tempat-tempat menarik.

Justeru, tidak hairanlah jika Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Putra, Chow Kit, Kuala Lumpur menjadi lokasi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Berdasarkan lokasinya yang strategik iaitu bersambung dengan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan berhadapan kompleks beli-belah Sunway Putra Mall, Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur dianggap paling sesuai untuk didiami sekiranya anda ingin meneroka ibu kota metropolitan Kuala Lumpur.

Bersebelahan stesen Transit Aliran Ringan (LRT), PWTC serta stesen bas Hentian Putra, hotel lima bintang itu juga menawarkan pilihan bilik yang terbaik dengan pemandangan terhebat ibu negara.

Menerusi jendela bilik, anda dapat melihat lampu-lampu di Sunway Putra Mall pada waktu malam selain Menara Kuala Lumpur yang tersergam indah.

Selain itu, lokasinya yang hanya 45 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mempunyai akses pengangkutan awam yang serba lengkap menjadikan ia sebagai tempat penginapan paling sesuai bagi individu yang sedang menikmati percutian bersama insan tersayang.

Pakej Ramadan

Pengurus Besar Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, Rashid Gallyot berkata, hotel itu mempunyai 560 bilik antaranya Suite, Club, Deluxe, Premier Suite, Ladies dan Superior.

“Kesemua bilik dan suite hotel itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang terbaik seperti ruangan lebih luas serta katil yang empuk.

“Bagi kategori bilik Club dan Deluxe pula besarnya mirip pangsapuri kerana dilengkapi kemudahan seperti dapur dan ruang tamu besar bagi pelanggan yang ingin tinggal bagi satu tempoh yang lama.

Selain itu, Rashid berkata, bilik-bilik juga dilengkapi dengan pelbagai alatan hiburan untuk menambahkan mood berehat antaranya televisyen LED, WiFi percuma serta peti besi.

“Kemudahan dobi dan penghantaran makanan di dalam bilik termasuk menu untuk sahur pada kali ini pasti akan membuatkan anda berasa selesa seperti berada di rumah sendiri,” ujarnya.

Jelasnya lagi, bagi pelanggan yang inginkan privasi, terdapat bilik khas Club Room yang sangat eksklusif.

Bilik itu mempunyai ruang makan di Club Lounge berbeza dengan para tetamu hotel yang lain.

Selain itu, Rashid menambah, lebih istimewa sempena Ramadan tahun ini ialah Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur menawarkan pakej Ramadan-Raya Spree dengan harga RM250 satu malam berserta sahur untuk pelanggan yang mahu merasai berpuasa di hotel.

Menyentuh tentang makanan pula, Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur menawarkan sajian makanan tradisi dan barat yang pelbagai di Restoran Zende kepada para tetamu.

Sementara itu, Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur juga menawarkan ruang hiburan di Chereza Lounge yang menggabungkan tiga elemen istimewa seperti aktiviti sukan, bar dan hiburan kepada para tetamu.

Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain seperti kolam renang, dewan khas, spa, gimnasium, kebun bunga serta kedai roti.

Secara keseluruhan, menginap di hotel itu memberikan pengalaman yang memuaskan kepada sesiapa sahaja sama ada daripada sektor korporat, pelancong tempatan mahupun luar negara.