Begitupun, sesetengah pihak mengimpikan tempat penginapan berbentuk hotel yang berdekatan dengan kemudahan awam, pusat beli-belah dan tempat-tempat menarik.

Justeru, tidak hairanlah jika Hotel Sunway Pyramid yang terletak di Persiaran Lagoon, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor menjadi salah satu lokasi tarikan pelancong.

Walaupun terletak di pinggir pusat bandar raya Kuala Lumpur, Hotel Sunway Pyramid amat popular dan terbaik sebagai tempat penginapan mahupun percutian yang serba lengkap termasuk kemudahan pusat membeli-belah, hiburan serta rekreasi dalam satu tempat.

Hotel itu dibuka semula pada 3 November tahun lalu selepas ditutup hampir lapan bulan.

Kini, ia menggabungkan rekaan dan dekorasi penuh glamor, sekali gus mencerminkan kemewahan warna yang menyegarkan dengan hiasan dalaman kontemporari serta perabot ergonomik yang bergaya.

Beralih ke ruang penginapan, Hotel Sunway Pyramid memiliki 564 unit bilik yang menampilkan lima kategori iaitu Deluxe Room, Deluxe Park View Room, Deluxe Executive Room, Family Room dan Family Suite.

Naik taraf

Para tetamu akan merasai pengalaman penginapan yang dinaik taraf di bilik Deluxe Room termasuk bilik dan suite keluarga yang dibina khas.

Terdapat 21 bilik dan suite keluarga yang direka untuk menampung peningkatan dalam kalangan pengunjung berkeluarga besar serta pelancong dari dalam dan luar negara.

Deluxe Park View Room pula menawarkan pemandangan taman tema Sunway Lagoon yang menakjubkan manakala bilik Deluxe Executive direka untuk tetamu yang mencari ruang tambahan.

Direka oleh Sunway Design Sdn. Bhd., setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan seperti peningkatan teknologi dengan Wi-Fi percuma dan akses internet jalur lebar berwayar, pencahayaan pintar, pengecas USB di sebelah tempat tidur, televisyen pintar LED 42 inci, ruang kerja yang fleksibel, pancuran mandian tekanan tinggi dan beberapa kemudahan lain yang dipertingkatkan.

Dalam pada itu, tetamu juga mempunyai akses penuh ke kemudahan rekreasi yang terletak di Sunway Resort Hotel & Spa. Ia termasuk kemudahan seperti kolam renang dengan air terjun, pusat kecergasan dan gimnasium serta Mandara Spa.

Menariknya, Mandara Spa yang diilhamkan dari Bali, Indonesia itu adalah untuk meningkatkan pengalaman masa lapang kepada para tetamu.

Selain itu, ia turut menjanjikan pengalaman rawatan lengkap dan sempurna bagi anda yang ingin merehatkan tubuh badan kerana terdapat pelbagai jenis rawatan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki yang disediakan.

Tidak lengkap penginapan di Hotel Sunway Pyramid jika tetamu tidak ke Sunway Lagoon yang hanya beberapa langkah dari bangunan hotel.

Tetamu boleh meluangkan masa berkualiti bersama ahli keluarga, sambil berkongsi kenangan indah di taman tema itu. Pelbagai permainan dan hiburan disediakan sama ada di dalam air mahupun di darat.

Bersebelahan dengan hotel pula terletaknya Sunway Pyramid iaitu pusat beli-belah yang popular dan serba lengkap untuk anda berbelanja, berhibur serta menjamu selera.

Secara keseluruhan, Hotel Sunway Pyramid merupakan sebuah hotel yang lengkap dengan kemudahan, selain lokasi strategik di Lembah Klang.