Setiap pengunjung yang datang pasti terpesona dengan aura mewah yang ditampilkan hotel itu.

Terletak kira-kira 500 meter dari pusat bandar raya Johor Bahru, ia menjadi lokasi yang sangat menarik untuk pelancong menginap bagi tujuan yang pelbagai.

Lebih menarik, Hotel Amari berhampiran dengan pusat beli-belah City Square dan Komtar JBCC yang menempatkan taman permainan Angry Birds Activity Park.

Walaupun terdapat banyak hotel di bandar raya Johor Bahru, kewujudan Cafe Amaya Food Gallery antara keistimewaan yang dimiliki Hotel Amari.

Pengunjung pasti akan berpuas hati dengan semua makanan yang ditawarkan di kafe itu.

“Saya yakin, pengunjung yang menjamu selera di Cafe Amaya Food Gallery akan berpuas hati kerana masakan-masakan di kafe ini sangat sedap selain menawarkan pelbagai jenis hidangan.

“Meskipun cara penyediaan di kafe ini lebih kepada berkonsepkan tradisional Thai, reka bentuk dan susun atur kerusi masih lagi mementingkan elemen tradisional Melayu,” jelas Penolong Pengurus Jualan Hotel Amari Johor Bahru, Nurul Baiyah Baharom.

Universal

Menurutnya, pengunjung akan dihidangkan dengan makanan istimewa ala Thai pada setiap hari Jumaat dan Sabtu.

“Masakan Thai bersifat universal dan semua orang sukakannya. Keenakan masakan Thai terutamanya tomyam antara yang menjadi tarikan pelanggan.

“Paling menarik, pelanggan dapat melihat sendiri cef-cef memasak menu yang dipilih secara terbuka. Jadi, tiada sebab untuk pengunjung ragu-ragu tentang masakan di hotel kami,” katanya ketika di temui Kosmo! baru-baru ini.

Nurul Baiyah menambah, hotel itu menawarkan penginapan yang sesuai kepada semua lapisan masyarakat kerana ia bertemakan kekeluargaan. Malah, harganya sangat berpatutan.

Dengan jumlah keseluruhan 242 bilik tetamu dan suite, setiap bilik mempunyai reka bentuk yang tersendiri sesuai untuk pengunjung dalam kategori santai, keluarga, mahupun perniagaan.

“Saya yakin pengunjung akan berasa selesa menginap di hotel ini. Pelbagai kemudahan disediakan, sekali gus memberikan satu penginapan yang menakjubkan.

“Contohnya, bilik jenis Deluxe Pool Access sangat hebat. Ini kerana apabila buka sahaja balkoni, pelanggan boleh terus terjun ke dalam kolam renang,” katanya.

Selain itu, terdapat juga bilik Superior King dan Twin; Deluxe King dan Twin; Grand Deluxe King dan Twin; Executive Club King dan Twin; Junior Suite serta One Bedroom Suite.

Katanya, setiap bilik disajikan dengan pemandangan yang menarik. Selain dapat melihat bandar raya Johor Bahru yang diterangi dengan cahaya lampu berwarna-warni, pengunjung juga boleh nampak negara jiran Singapura pada waktu siang.

Bagi pengunjung yang suka memanjakan diri, Hotel Amari turut menyediakan spa yang diberi nama Breeze Spa.

“Selain urutan dan skrub, rawatan wajah, badan serta perkhidmatan dandanan rambut turut disediakan.

“Pengunjung yang berasa bosan menonton televisyen di dalam bilik boleh menyegarkan badan di spa ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nurul Baiyah memberitahu, Breeze Spa dibuka pada setiap hari dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam.

Hotel ini turut menyediakan perpustakaan mini untuk pengunjung yang mempunyai hobi membaca selain satu set meja bermain pool.

Bagi memenuhi keperluan pelanggan, hotel ini turut menyediakan set komputer bagi membolehkan mereka melayari internet atau media sosial.

“Fasiliti lain seperti dewan besar untuk mengadakan pelbagai acara termasuk mesyuarat, seminar mahupun majlis makan malam,” ujarnya.