Dibuka sejak tahun 2001, Dive Buddy menawarkan pelbagai produk berasaskan skuba sama ada kursus, kelengkapan dan pakej menyelam.

Menariknya, Dive Buddy menawarkan kursus skuba dengan proses pembelajaran diadakan di dalam kolam renang.

Situasi ini bukan sahaja memudahkan peserta tetapi ia juga dapat menjimatkan kos berbanding pembelajaran di laut.

Pengasas Dive Buddy, Bahaman Hashim berkata, pihaknya menawarkan pakej pembelajaran skuba yang cukup mudah dan ringkas.

Sijil yang diberikan kepada para peserta juga diiktiraf oleh Persatuan Profesional Jurulatih Selam Skuba (PADI).

“Di sini, kami menawarkan empat pakej skuba iaitu pengalaman skuba, kursus skuba dalam air, kursus go pro dan tidak balas pertama ketika kecemasan.

“Pakej skuba ini boleh diperoleh dalam masa kurang tiga bulan dengan harga serendah RM1,000,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Dive Buddy turut menawarkan pakej skuba yang komprehensif kepada penggemar aktiviti ekstrem itu.

Menurut Bahaman, pakej skuba itu melibatkan beberapa lokasi menyelam popular seperti Pulau Perhentian di Terengganu; Pulau Mabul (Sabah) dan Pulau Tioman (Pahang).

“Kami mengadakan pakej menyelam ini bagi memberi peluang kepada para peserta Dive Buddy merasai peluang menyelam di laut terbuka.

“Pakej yang ditawarkan ini cukup berpatutan iaitu serendah RM300 kerana kami telah menjalinkan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan skuba di tempat-tempat ini,” katanya.

Kelas renang

Bermula pada tahun lalu, Dive Baddy memperkenalkan pula kelas renang kepada semua peringkat umur.

Menariknya, kelas renang yang diketengahkan oleh Dive Buddy mengikut sukatan yang telah ditetapkan oleh PADI.

Sementara itu, Pengurus Dive Buddy, Fadhila Roslei, 30, berkata, pihaknya juga telah memperkenalkan kedai skuba secara atas talian sejak tahun lalu.

Dia memberitahu, orang ramai boleh mendapatkan kelengkapan skuba dengan melayari laman web, www.divebuddy.my.

“Ini merupakan satu inisiatif kami untuk memberi perkhidmatan yang pelbagai kepada para pelanggan,” jelasnya.

Selain itu, Dive Buddy tidak melupakan aspek alam sekitar dengan melakukan pelbagai program bersifat tanggungjawab sosial korporat.

Dive Master, Nabila Talib, 28, berkata, langkah itu bertujuan untuk memberikan pendidikan kepada para penyelam mengenai kepentingan memelihara dasar laut.

“Kami menganjurkan program pemeliharaan laut pada bulan September setiap tahun. Ia merupakan sebahagian daripada Projek Aware yang diadakan di seluruh dunia.

“Kami juga merancang untuk mengadakan program anak angkat terumbu karang. Ia diharap dapat membantu hidupan ini terus bercambah,” katanya.