Penumpang-penumpang di dalam tren tersebut turut berdiri tegak kira-kira dua minit bagi meraikan ulang tahun bersejarah negara dengan menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku.

Gema nyanyian tersebut turut dirasai oleh masyarakat dan kakitangan anak syarikat Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) iaitu Rapid Bus Sdn. Bhd. termasuk di Pulau Pinang, Perak dan Pahang serta Rapid Ferry Sdn. Bhd. (Rapid Ferry) pada Program Mudah Tapi Indah raikan Merdeka pada 31 Ogos lalu.

Sambutan yang bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih itu dianjurkan oleh Prasarana buat julung-julung kalinya sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Menurut Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain, idea menyanyikan lagu kebangsaan di dalam tren, bas dan feri dicetuskan oleh kakitangannya daripada Pusat Kecemerlangan Prasarana iaitu Zaki Mohamed.

Ideal

“Saya percaya program itu ideal untuk Prasarana berkongsi erti kemerdekaan dengan rakyat Malaysia dan menghargai bumi bertuah ini.

“Ia merupakan sebuah detik yang mudah tetapi indah. Kita berharap, ia berjaya membakar semangat rakyat Malaysia supaya terus bersatu padu dan saling menyayangi antara satu sama lain,” katanya pada sidang akhbar di stesen LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Beliau yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana berkata, program berkenaan menepati identiti Prasarana sebagai penyedia perkhidmatan pengangkutan awam untuk semua.

“Hal ini selaras dengan visi Prasarana iaitu untuk menyediakan sambungan dan mobiliti untuk semua.

“Merdeka bagi kita adalah apabila rakyat Malaysia bebas memilih mod perkhidmatan pengangkutan awam yang bersepadu supaya kehidupan serta urusan seharian mereka berjalan lancar dan teratur,” jelasnya.

Tambahnya lagi, sistem pengangkutan awam yang cekap, selamat dan menepati masa adalah bagaikan pembuluh darah bagi pertumbuhan negara.

“Prasarana akan terus memacu agenda transformasi pengangkutan negara untuk rakyat Malaysia.

Rasis

“Saya percaya rangkaian pengangkutan awam adalah platform yang amat ideal untuk menyemarakkan semangat patriotisme kerana digunakan segenap lapisan masyarakat,” jelasnya.

Sementara itu, seorang pengguna, Munirah Huda Muhammad, 18, berkata, dia berasa bangga menjadi anak Malaysia.

“Hari Kebangsaan merupakan tanda kita bebas daripada penjajahan.

“Saya berharap, kita dapat menjadi pewaris negara lebih baik pada masa hadapan tanpa bersikap rasis kerana Malaysia ini milik kita bersama,” ujarnya.

Turut mempunyai berpendapat sama, Yap Kar Seng, 23, yang berkata, perpaduan amat penting dalam masyarakat majmuk di negara ini.

“Kita perlu menghargai kesusahan tokoh-tokoh kemerdekaan yang telah berjuang demi membebaskan negara tercinta.

“Jadi, kita perlu berfikir secara rasional agar kehidupan yang harmoni dan bersatu padu ini dapat dikekalkan,” katanya.