Kecanggihan sistem bas antara bandar membuatkan kos perjalanan semakin murah berbanding sebelum ini, sekali gus memudahkan pergerakan pelancong untuk melawat dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

Kunjungan saya dan rakan-rakan ke Jerman baru-baru ini ternyata menjadi antara percutian yang tidak dapat dilupakan. Kami sangat seronok berkunjung ke negara yang pernah menjadi tapak Perang Dingin lebih lima dekad lalu.

Pada hari pertama, kami sepakat untuk mengunjungi Postdam, sebuah bandar raya yang terletak bersempadan dengan ibu negara Berlin. Ia terletak hanya kira-kira sejam dari pusat Berlin. Menariknya, semua tarikan utama pelancongan mudah diakses dengan pengangkutan awam.

Kami menuju ke Tapak Konferensi Potsdam yang menjadi tempat perundingan menandakan berakhirnya Perang Dunia Kedua dan terletaknya istana-istana Hohenzollern yang mewah.

Tarikan utama yang ada termasuk Istana Sanssouci, bekas kediaman musim panas Raja Frederick the Great yang memerintah Empayar Prusia dari tahun 1740 hingga 1786.

Nama Sanssouci bermaksud tanpa penjagaan. Suasana indah dan damai dapat dilihat dengan adanya sebuah kebun anggur di bahagian hujung istana ditambah pula dengan pemandangan pinggir kota sekitarnya.

Kubu kecil

Bangunan utamanya, Vila Rococo, merupakan sebuah vila yang redup dan cantik. Kami dibawa melawat sekitar kawasan istana termasuk ruang dalaman yang dilihat masih mengekalkan susun atur sebenar. Sebahagian besar perabot asal masih kekal seperti yang diinginkan oleh Raja Prusia.

Kami juga bernasib baik kerana berpeluang untuk berkelah di salah sebuah taman yang terdapat di dalam kawasan istana.

Alang-alang sudah berada di Istana Sanssouci, pastinya pencinta seni bina istana seperti kami tidak melepaskan peluang untuk melawat ke Orangery dan Spielfestung atau dikenali sebagai kubu mainan.

Ia merupakan sebuah kubu kecil yang dilengkapi dengan meriam sebenar dan dibina untuk anak Raja Frederick.

Pada hari berikutnya, kami melawat pula ke Istana Cecilienhof yang juga terletak di Potsdam. Istana besar dengan rekaan gaya Tudor itu satu masa dahulu pernah menjadi saksi peristiwa pembahagian zon kawasan di antara Presiden Amerika Syarikat, Harry Truman; Perdana Menteri Britain, Winston Churchill dan pemimpin Kesatuan Soviet, Joseph Stalin sejurus tamatnya Perang Jerman pada tahun 1945.

Mujurlah kami telah melakukan kajian awal sebelum melancong ke Jerman. Kami membayar tambahan 2 euro (RM9.60) daripada harga biasa untuk mendapatkan tiket pelancongan WelcomeCard Berlin. Ia memberi kemudahan kepada pelancong untuk melawat ke tempat tarikan pelancongan pada kadar istimewa dan menaiki kenderaan awam di Potsdam secara percuma.

Masuk hari ketiga, percutian kami diteruskan pula lebih 200 kilometer menghala ke barat daya menuju ke Leipzig.

Selain menjadi tempat berlakunya peristiwa keruntuhan Tembok Berlin, bandar kebudayaan Leipzig merupakan pusat cetusan revolusi aman Jerman Timur serta tempat tinggal kepada komposer terkenal Baroque iaitu Johann Sebastian Bach.

Perjalanan yang hanya memakan masa selama lebih satu jam dengan menaiki kereta api dari Berlin itu amat berbaloi dirasakan.

Pada keesokan harinya, kami meneruskan pula kembara di bumi yang pernah menjadi tanah pemerintahan Adolf Hitler itu menuju ke Leipzig.

Komuniti artis tempatan yang semakin bertambah telah menyebabkan bandar tersebut dipenuhi bar, kelab tarian dan studio seni sehingga ada sesetengah pihak yang menggelarnya sebagai Berlin baharu atau Hypezig.

Bagi peminat muzik klasik, terdapat Leipziger Notenspur atau terjemahannya Laluan Muzik sepanjang lima kilometer yang menghubungkan lokasi dan titik penting yang berkait dengan sejarah muzik di Leipzig.

Ia termasuk rumah-rumah komposer abad ke-19 yang terkenal iaitu Felix Mendelsohn dan Robert Schumann serta muzium yang dibina khas untuk Bach dan Ludwig Beethoven.