Ia dibina menggunakan batu lembut di kawasan perkampungan tersebut yang dianggarkan berusia lebih 10,000 tahun.

Diiktiraf sebagai salah satu tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), perkampungan Maymand dikatakan telah didiami secara berterusan lebih daripada 2,000 tahun dan menjadikan ia sebagai salah satu desa yang paling tua di Iran yang masih wujud.

Lokasinya yang terletak di antara lembah kawasan pergunungan kering di tengah Iran menyebabkan perkampungan Maymand mengalami musim panas yang sangat panas dan musim sejuk yang sangat sejuk.

Untuk menyesuaikan diri dengan keadaan itu, penduduk kampung akan berpindah rumah mengikut musim.

Ketika musim panas dan awal musim gugur, mereka akan tinggal di rumah atap jerami yang membantu mereka melindungi diri daripada cuaca panas yang melampau.

Apabila tiba musim sejuk dan angin kencang mereka akan tinggal berpindah ke bahagian rumah di bawah tanah.

Sebanyak 400 rumah gua telah dibangunkan lebih 10,000 tahun lalu dan kini dianggarkan sebanyak 90 rumah sahaja yang masih utuh berdiri.

Rumah-rumah gua ini mempunyai sehingga tujuh bilik dan masing-masing berketinggian kira-kira dua meter panjang dan 20 meter lebar. Saiznya berbeza mengikut gua.

Penduduk kampung tersebut juga telah mengubah suai rumah gua mereka seiring dengan gaya hidup masa kini.

Kesemua rumah mempunyai kuasa elektrik yang membolehkan mereka untuk meletakkan peti sejuk dan televisyen.

Bagaimanapun, kediaman mereka tiada kemudahan air paip dan sistem pengudaraan rumah agak minimum.

Lapisan gelap yang menutupi beberapa bahagian dinding rumah terhasil daripada jelaga api yang mereka gunakan untuk memasak dan memanaskan ruangan dalaman.

Perkampungan tersebut pernah menjadi tempat tinggal bagi pengikut agama mistik kuno Zoroastrianisme ketika zaman pemerintahan kerajaan Parsi.

Sisa peninggalan agama itu di Maymand masih ada sehingga kini seperti Kichen Dobandi iaitu sebuah gua yang dikatakan pernah menjadi sebuah kuil pada zaman tersebut.

Agama Islam

Kuil tersebut kini telah menjadi sebuah muzium kecil.

Pada abad ketujuh, agama Islam mengambil alih kepercayaan Zoroastrianisme dan menjadi agama rasmi di Maymand.

Sejak itu beberapa rumah di dalam gua tersebut telah dijadikan masjid.

Majoriti penduduk di perkampungan itu menjadikan penternakan sebagai mata pencarian mereka.

Mereka akan membawa haiwan ternakan untuk meragut rumput di kawasan gunung.

Selain itu, penduduk turut menanam dan mengumpul tanaman-tanaman yang boleh digunakan untuk tujuan perubatan.

Tidak hairanlah, penduduk di situ mempunyai kesihatan yang baik dan panjang umur.

Walaupun begitu, perkampungan tersebut turut mengalami pengurangan penduduk.

Ia disebabkan, ramai penduduk yang memilih untuk menetap di bandar terutamanya pada musim sejuk. Mereka hanya pulang semula pada musim panas.

Sehingga kini hanya terdapat sekitar 150 orang yang tinggal di perkampungan tersebut.

Pengurangan penduduk di telah memberi ancaman kepada kelangsungan kehidupan di Maymand.

Pada tahun 2001, Organisasi Pelancongan, Kraf tangan dan Warisan Budaya Iran telah berusaha mempromosikan kawasan itu kepada orang luar.

Sejak daripada itu, perkampungan tersebut telah menerima pelawat dan banyak rumah gua menjadi tempat penginapan untuk pelancong bagi merasai cara hidup yang telah bertahan selama ribuan tahun.