Meskipun dianggap sebagai ekstrem dan memerlukan kekuatan stamina luar biasa, ia tidak menghalang Rudy Hasnan, 28, daripada menjalani aktiviti itu bersama rakan-rakannya.

Pengalaman yang dikutip ketika mendaki banyak mengajar dia mengawal sikap ego, kepercayaan, kerjasama, ketahanan dan kesabaran.

Mengimbau penglibatan dalam aktiviti pendakian gunung, anak kelahiran Pasir Gudang, Johor itu bermula dengan mengikuti beberapa orang rakannya mendaki Gunung Banyon di Trenggalek, Jawa Timur, Indonesia pada Jun 2016.

“Gunung yang terkenal dengan jolokan negeri atas awan setinggi 1,175 meter dari aras laut itu menyediakan pemandangan yang luar biasa. Awan terbentang luas menutupi segala pemandangan di bawah.

“Ketika itu, saya sangat teruja kerana berasa seolah-olah berjalan di atas awan. Kemudian, timbul rasa minat untuk mendaki gunung-gunung lain bagi meneroka keindahan alam semula jadi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Rudy berkata, dia akan memohon kebenaran mendaki daripada Jabatan Perhutanan Negeri dan memaklumkan kepada balai polis terdekat bagi memenuhi prosedur yang telah ditetapkan.

“Kita perlu mendapatkan kebenaran dan memaklumkan kepada mereka terlebih dahulu sebelum menjalani aktiviti itu. Kebiasaannya, semua urusan ini dijalankan oleh ketua kumpulan yang menguruskan aktiviti pendakian,” katanya.

Sehingga kini, Rudy berjaya mendaki kira-kira 15 gunung termasuk Gunung Datuk di Rembau, Negeri Sembilan; Gunung Muntahak (Kota Tinggi, Johor); Gunung Irau (Cameron Highlands, Pahang); Gunung Belumut (Kluang, Johor); Gunung Angsi (Kuala Pilah, Negeri Sembilan) dan Gunung Kenderung, Gerik, Perak.

Bagi Rudy, tempoh untuk sampai ke puncak bagi sesuatu pendakian bergantung kepada beberapa faktor termasuk ketinggian gunung, jarak laluan, tahap kepayahan trek serta stamina pendaki.

Justeru, pendaki perlu membuat persediaan yang rapi bagi memastikan mereka berjaya sampai ke puncak gunung.

“Seseorang pendaki perlu bersedia daripada segi fizikal dan mental sekiranya mahu mendaki gunung yang tinggi dengan melakukan senaman secara berterusan bagi meningkatkan stamina seperti berjoging, naik turun tangga, dan regangan.

“Selain itu, peralatan yang sesuai, selesa dan mencukupi amat diperlukan. Cuba cari peralatan yang ringan atau bersaiz kompak untuk mengelakkan anda daripada membawa bebanan yang berat.

“Belajar membaca laluan atau petunjuk jalan yang ditunjukkan melalui penanda, takik atau batu sepanjang laluan.

“Pada masa sama, jika pergi secara berkumpulan, buat persediaan untuk diri sendiri seperti makanan tambahan, alat pertolongan cemas atau ubat-ubatan,” katanya.

Pengalaman

Bagi seorang lagi pendaki, Erma Hamira Abdul Ghafar, 26, penglibatan dalam aktiviti mendaki gunung banyak mengajar dia untuk lebih menghargai alam semula jadi.

“Kita akan melihat pelbagai keindahan alam semula jadi sepanjang perjalanan. Lebih indah apabila dapat menyaksikan matahari terbenam dari puncak gunung.

“Malah, kita akan belajar untuk hidup lebih berdikari menggunakan sumber alam yang sedia ada ketika berada di dalam hutan. Kita akan lebih menghargai hidup dengan menerima segala keterbatasan yang ada,” ujar anak ketiga daripada lima orang adik-beradik itu.

Erma Hamira menambah, melalui aktiviti pendakian, dia dapat menambah kenalan dan merapatkan hubungan kekeluargaan.

“Melalui aktiviti ini, kami semua seperti sebuah keluarga kerana segala-galanya dilakukan secara bersama.

“Walaupun setelah selesai aktiviti mendaki, hubungan persahabatan tersebut tetap diteruskan,” jelas anak kelahiran Perak itu.

Erma Hamira berkata, dia juga dapat mempelajari sifat sabar dan bertolak ansur daripada rakan-rakan kumpulan yang menyertai pendakian.

Cabaran

“Sikap seseorang itu dapat dilihat dengan jelas ketika mengikuti aktiviti pendakian. Sebab itu, semangat berpasukan, tolak ansur dan sabar perlu ada dalam diri setiap pendaki.

“Siapa yang sanggup berjalan, mendaki dan membelah hutan dengan berdepan pelbagai rintangan. Adakalanya, ia mengambil masa berhari-hari untuk sampai ke puncak,” ujarnya.

Sementara itu, Tuti Haslinda Hassan, 30, berkata, pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi seseorang pendaki sebelum dapat sampai ke puncak gunung.

“Setiap seseorang pendaki itu memiliki stamina yang berbeza. Laluan yang landai, cerun curam, merentasi sungai, trek bertangga dan trek mendaki menggunakan tali boleh menyebabkan seseorang pendaki itu pengsan sekiranya kekurangan stamina.

“Malah, sekiranya mendaki ketika matahari sudah terbenam, pergerakan mereka menjadi semakin terhad dan perlu bergantung kepada lampu suluh semata-mata.

“Keadaan seperti itu memerlukan kerjasama yang begitu padu daripada setiap ahli kumpulan,” kata anak ketiga daripada lima orang adik-beradik itu.

Selain itu, Tuti Haslinda memberitahu, keadaan trek pendakian turut menjadi halangan dan cabaran kepada pendaki.

“Ada trek yang berlumpur, berpasir, berbatu-batu, berakar pokok dan licin. Ia memberi risiko kepada pendaki sekiranya tidak berhati-hati dan fokus pada pendakian.

Cuaca ketika mendaki juga menjadi salah satu cabaran bagi seseorang pendaki.

“Banyak perkara yang akan berlaku di luar jangkaan ketika mendaki termasuk hujan lebat secara tiba-tiba. Pendaki perlu berhati-hati kerana trek menjadi licin dan berkemungkinan akan ada batu-batu kecil yang jatuh ke bawah mengikut aliran air hujan,” ujar anak jati Johor Bahru itu.

Namun, menurut Tuti Haslinda, semua cabaran tersebut dapat diatasi sekiranya seseorang pendaki itu menguasai ilmu kecemasan.

“Paling penting, mereka perlu mengetahui serba sedikit tentang sistem tubuh badan dan asas-asas rawatan supaya apabila berlaku sesuatu kemalangan, rawatan segera dapat dilakukan.

“Sekiranya kemalangan yang tidak diingini berlaku akibat keadaan cuaca dan sebagainya, ahli kumpulan perlu bekerjasama serta bertindak secara pantas sebelum mendapatkan bantuan luar,” katanya.

Pendaki disaji dengan panorama indah yang memukau, sekali gus menyebabkan mereka tidak serik untuk menakluki gunung lain yang terdapat 
di negara ini.

AKAR dan batang pokok digunakan sebagai tempat memegang ketika mendaki gunung.

TASIK Biru, Kangkar Pulai, menyediakan pemandangan yang sungguh menyamankan dan menenangkan jiwa.

PENDAKI wanita tidak melepaskan peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang memberikan pengalaman luar biasa.

KEINDAHAN alam semula jadi dapat dilihat sepanjang pendakian di Gunung Irau, Cameron Highlands, Pahang.

ULAT gonggok sepanjang lapan inci antara yang ditemui ketika mendaki Gunung Datuk, Negeri Sembilan.

LALUAN trek pendakian yang berliku menjadi cabaran kepada pendaki sebelum dapat sampai ke puncak.