Terkenal dengan gelaran Pulau Mutiara, negeri itu mempunyai pelbagai lokasi menarik yang boleh dikunjungi.

Antara lokasi pilihan pelancong di negeri itu termasuklah Batu Ferringhi yang terletak kira-kira 12 kilometer dari pusat bandar George Town.

Percutian di Batu Ferringhi tidak lengkap sekiranya pengunjung tidak mengambil peluang untuk bermalam di situ.

Pelbagai hotel dan resort menarik boleh didapati di Batu Ferringhi. DoubleTree Resort by Hilton Penang ialah salah satu resort terbaharu yang boleh dijadikan pilihan pengunjung.

Baru-baru ini, lebih 30 pengamal media dijemput untuk merasai pengalaman menginap di resort itu yang baru dibuka Januari lalu.

“Ia satu tempat penginapan yang sempurna bagi pengunjung yang datang bercuti ke Batu Ferringhi.

“Saya benar-benar rasa selesa menginap di resort ini. Pelbagai kemudahan terdapat di sini dan ia menawarkan kemudahan penginapan yang mengagumkan,” kata Muhammad Zaidi Che Hamid, 27, yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor.

Muhammad Zaidi berpendapat, lokasi resort tersebut juga strategik kerana terletak berdepan dengan pantai Batu Ferringhi.

“Bagi saya suasana di resort ini amat mendamaikan. Pengunjung boleh menghabiskan masa mereka di pantai yang terletak bertentangan dengan resort ini,” ujarnya.

Biskut coklat

Tanpa perlu keluar dari bilik yang dihuni, pengunjung-pengunjung boleh menikmati keindahan dan kedamaian panorama pantai Batu Ferringhi hanya melalui jendela bilik.

Melangkah masuk ke resort tersebut, setiap pengunjung yang hadir untuk menginap di situ akan disambut mesra di kaunter pendaftaran dengan pemberian biskut coklat sebagai tanda pihak pengurusan meraikan kedatangan tetamu.

Saat melintasi kaunter pertanyaan, para pengunjung pasti akan terpaku dengan dekorasi ruang lobi dengan susun atur kerusi, meja, almari dan perhiasan yang menarik dan tampak eksklusif.

Sementara itu, Pengurus Besar DoubleTree Resort by Hilton Penang, Linda Giebing berkata, resort tersebut menawarkan penginapan yang bersesuaian dengan kepelbagaian lapisan pengunjung.

Jelasnya, resort tersebut menawarkan bilik untuk percutian solo mahupun bersama keluarga.

“Di sini kami mempunyai sebanyak 316 bilik yang terbahagi kepada empat kategori iaitu Guestroom, Deluxe, Family dan Suite.

“Untuk bilik Suite, ia mempunyai balkoni yang membolehkan pengunjung menghayati panorama laut yang terbuka luas,” katanya.

Menurutnya, kesemua bilik di resort tersebut dilengkapi pendingin hawa, katil bersaiz king atau queen, peti sejuk dan televisyen bersaiz 40 inci.

Resort itu turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan sewajarnya menjadi pilihan bagi mereka yang ingin keluar daripada keriuhan bandar untuk bersantai bersama keluarga atau rakan-rakan.

Tambahnya, antara kemudahan lain yang terdapat di situ termasuklah gimnasium dan spa.

“Bagi pengunjung yang ingin memanjakan diri mereka dengan urutan, kami turut menyediakan kemudahan spa yang menawarkan urutan tradisional.

“Sentuhan jari-jemari serta haruman minyak aromaterapi yang digunakan pasti membuatkan badan kembali segar,” ujar Giebing.

Patung beruang

Selain itu, bagi mereka yang menginap di resort tersebut secara berkeluarga, tidak lengkap percutian jika tidak bersantai bersama anak-anak di kolam renang.

Kolam renang seluas 350 meter persegi itu sesuai untuk kanak-kanak kerana kedalamannya tidak begitu dalam di samping ia dilengkapi pantai tiruan.

Bersebelahan kolam tersebut pula, terdapat taman tema air mini yang sesuai untuk si kecil bermain air.

Sesuatu yang menjadi kelainan juga ialah resort tersebut mempunyai Muzium TeddyVille yang menempatkan pelbagai jenis patung beruang.

Di muzium itu terdapat patung beruang berusia puluhan tahun yang masih disimpan dan ia dihasilkan dengan menggunakan jahitan tangan.

Terletak di bahagian lobi resort tersebut, Muzium TeddyVille boleh dianggap sebagai lokasi yang wajib dikunjungi para pengunjung di dalam resort itu.

Pengunjung juga bahkan boleh membeli cenderamata di muzium tersebut.

Linda menjelaskan, resort berkenaan juga berada tidak jauh dari tempat-tempat menarik lain yang terdapat di Pulau Pinang.

Antara tempat menarik berdekatan dengan resort tersebut termasuklah pasar malam Batu Ferringhi, taman rama-rama dan taman tema Espace Adventure.

Sajian

Mengenai makanan pula, DoubleTree Resort by Hilton Penang menawarkan pelbagai juadah menarik kepada para pelanggannya yang merangkumi pilihan masakan Melayu, Cina, India dan Peranakan.

Kesemua juadah itu boleh didapati di Restoran Makan Kitchen yang terletak di tingkat bawah resort tersebut.

Seorang pengunjung, Stephanie De Souza, 22, berpendapat, resort tersebut tampak mewah dan begitu eksklusif.

Tuturnya, walaupun ia kelihatan eksklusif, resort tersebut begitu mesra pengunjung.

“Kemudahan di resort ini serba lengkap dan layanan daripada pekerja-pekerjanya juga mesra sekali.

“Bagi pengunjung yang ingin mencari ketenangan dan berehat bersama keluarga atau rakan-rakan, resort ini wajar dijadikan salah satu pilihan terbaik.

“Sajian makanan yang ditawarkan di resort ini juga menepati cita rasa saya,” katanya.

nLokasi: 56 Jalan Low Yat, 11100 Batu Ferringhi, 
Pulau Pinang

Terbina di Batu Ferringhi, Pulau Pinang, DoubleTree Resort by Hilton Penang menawarkan suasana percutian yang unik dan eksklusif kepada para pengunjung.