Sesekali, deria pendengaran disajikan dengan bunyi unggas dan serangga yang saling bersahutan.

Susuk tubuh yang sedang berbaring di atas buaian kain (hammock) bertambah selesa apabila angin semakin kuat.

Keadaan ini membuatkan mata yang segar boleh menjadi layu dan terasa mengantuk.

Itulah nikmat yang dapat dirasai oleh para peserta Selangor Hammock Camp (SHC) 2017 yang berlangsung di Taman Eko Rimba Sungai Sendat, Hulu Selangor.

Program memasuki penganjuran kali kedua itu berjaya menarik seramai 60 orang yang terdiri daripada pengamal media, pengendali media sosial dan kakitangan kerajaan negeri Selangor.

Salah seorang peserta, Farhaanah Mohamed, 25, berpendapat, SHC 2017 adalah sebuah program yang sangat menarik dan ditunggu-tunggunya.

Jelas gadis berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu, program tersebut memberi peluang kepadanya beristirehat dan bermalam dalam buaian.

“Ini kali pertama saya tidur di dalam buai secara beramai-ramai. Ia satu pengalaman yang sangat menarik dan sukar dilupakan.

“Tidur dalam buaian ini memberi ruang kepada saya untuk menikmati keindahan kawasan sekitar. Ia berbeza daripada tidur dalam khemah,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Sepanjang tiga hari dua malam program berlangsung pelbagai aktiviti menarik telah diatur oleh pihak penganjur.

Antara aktiviti yang diadakan termasuklah klinik buaian, perkongsian survival, asas kemahiran tali, ikhtiar hidup (menghidupkan api), masak makanan dalam buluh, fly drop dan barbeku.

Farhaanah yang juga seorang pengendali laman sosial memberitahu, dia berpeluang menimba pelbagai ilmu berkaitan aktiviti luar terutamanya berkaitan buaian.

Manfaat

Katanya, ilmu-ilmu tersebut amat berguna kepadanya pada masa akan datang terutamanya ketika melakukan aktiviti luar.

“Program SHC menarik kerana ia sarat dengan pelbagai aktiviti dan ilmu yang bermanfaat buat para peserta.

“Salah satu aktiviti yang menarik dan mencabar bagi saya ialah fly drop. Peserta perlu bergayut menggunakan tali sebelum turun atau terjun ke dalam air terjun. Namun, ia menyeronokkan,” katanya.

Program SHC pada tahun ini dianjurkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor dengan kerjasama Hammockers Malaysia dan Project Hugs.

Pengasas Hammockers Malaysia, Laili Basir berkata, tujuan utama SHC adalah membudayakan penggunaan buaian dalam kalangan masyarakat.

Katanya, buaian sangat sesuai digunakan sewaktu melakukan aktiviti santai sama ada di dalam hutan, tepi sungai, pantai mahupun di atas gunung.

“Penggunaan buaian telah lama menambat hati penduduk di Eropah, namun kesedaran untuk menggunakannya masih rendah di negara ini.

“Kami berharap, SHC dapat memberi gambaran kepada masyarakat akan keunikan dan keseronokan aktiviti ini,” katanya.

Tambahnya, aktiviti perkhemahan buaian lebih mesra alam berbanding menggunakan khemah kerana impaknya kepada alam sekitar sangat minimum.

Kongsi ilmu

Mengulas mengenai aktiviti-aktiviti sepanjang SHC 2017, Laili memaklumkan, ia dirancang khusus buat para peserta yang kebanyakan adalah penggemar aktiviti luar.

Dia memberitahu, ilmu-ilmu tersebut penting bagi memastikan tidak berlaku sebarang kejadian buruk sewaktu di dalam hutan.

“Aktiviti-aktiviti ini bukan dirancang untuk memenuhi masa lapang sahaja. Sebaliknya, ia menawarkan pelbagai ilmu bermanfaat kepada peserta.

“Kami berharap para peserta dapat menyebarkan dan berkongsi ilmu-ilmu ini dengan orang ramai di luar sana,” katanya.

Dalam program tersebut, para peserta turut memecahkan rekod buaian tertinggi di Selangor iaitu setinggi 30 meter.

Penganjuran program SHC adalah untuk mempromosikan tempat-tempat menarik di sekitar Selangor untuk dikunjungi orang ramai.

Ujar Laili, pada tahun ini, pihaknya memilih Taman Eko Rimba Sungai Sendat sebagai lokasi program.

Panorama

Katanya, kawasan tersebut mempunyai panorama cukup indah selain air sungai yang bersih.

“Sungai Sendat memiliki air terjun yang cantik serta sungai mengalir bersih. Ia juga memiliki banyak pohon yang sesuai untuk aktiviti buaian,” jelasnya.

Keindahan dan kedamaian kawasan sekitar Taman Eko Rimba Sungai Sendat turut mendapat pujian daripada salah seorang peserta Mohamed Faizal Abdul Aziz.

Lelaki berusia 39 tahun itu memaklumkan, jeram di kawasan tersebut bukan saja cantik malah sesuai untuk aktiviti riadah seperti berkelah dan buaian.

“Pertama kali sampai di sini, saya berasa cukup kagum. Sebenarnya, susah untuk jumpa tempat cantik seperti ini di Lembah Klang.

“Saya rasa berbaloi pengorbanan saya balik dari Qatar untuk menyertai program SHC di sini,” katanya yang berkhidmat dalam industri minyak dan gas.

Tambahnya anak kelahiran Melaka itu aktiviti SHC memberi peluang dan platform kepada mereka seisi keluarga beriadah pada hujung minggu.

Jelasnya, sempena program berkenaan dia memilih membawa semua empat anaknya termasuk isteri dan adik iparnya.

“Saya sengaja bawa anak-anak untuk memberi pendedahan kepada mereka mengenai aktiviti buaian sambil melihat keindahan sungai dan pohon,” katanya.

Dia berharap, program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan aktiviti buaian terus mekar di negara ini.

Seramai 60 peserta menyertai Selangor Hammock Camp 2017 yang berlangsung di Taman Eko Rimba Sungai Sendat, Selangor.