Banjaran gula-gula kapas yang mengiringi penerbangan berganti tompok-tompok hijau pada hamparan jeli biru mula mengisi jangkaan, itukah yang bakal menjadi santapan mata saat tanah Indo-China itu dihadami selama tiga hari empat malam nanti.

Nama Nha Trang barangkali tidaklah sepopular nama Ho Chi Minh City mahupun Hanoi, namun ibu kota wilayah Khanh Hoa yang terletak di pesisir pantai bahagian tengah selatan Vietnam itu sememangnya memiliki keindahan kawasan pantai yang masih terpelihara. Ada nilai autentik bahkan menjadi tumpuan para penggemar aktiviti menyelam.

Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Cam Ranh, suasananya tidak seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) atau KLIA2, memandangkan Nha Trang sendiri masih dalam proses sedang diperbesarkan sebagai lokasi pelancongan unik. Lapangan terbangnya lebih kecil dan bersifat domestik. Selesai urusan menunggu bagasi yang tidak sampai pun 10 minit, dari situ kami mula bergerak ke lokasi pertama untuk hidangan makan tengah hari.

Dibawa ke sebuah pusat peranginan tepi pantai, Fusion Resort yang terletak di bahagian utara Cam Ranh, hanya sekitar 30 minit dari lapangan terbang. Bertemankan bayu laut, sajian pertama yang dijamah di Nha Trang menjadi introduksi terhadap apa yang akan memasuki tekak sepanjang berada di wilayah berkenaan.

Halal

Sementelah Fusion Resort sebuah pusat peranginan bertaraf lima bintang, semestinya apa yang terhidang merupakan yang terbaik buat tetamu yang baru pertama kali berkunjung ke sana seperti penulis.

Jika ke Nha Trang dengan kocek penuh, sebenarnya pelbagai pilihan hotel bertaraf lima bintang seperti Hotel Intercontinental dan Sheraton Hotel boleh menjadi rumah kedua buat semua. Kedudukannya yang dipisahkan jalan raya utama di pusat bandar tersebut membeli peluang kepada pengunjung untuk berjalan tidak sampai seminit untuk memijak bibir ombak.

Bagaimanapun untuk percutian bajet sederhana dan rendah, jamuan serta keseronokan yang terhidang depan mata masih tidak mengecewakan. Sesuatu yang terjamin, sesetengah hotel seperti Sheraton yang menjadi penginapan malam kedua di sana, ia sangat memahami konsep halal. Bukan sekadar ramuan, bahkan mencakupi peralatan memasak khas menu halal mengikut permintaan pengunjung.

Di sekitar pusat bandar pula, hanya dengan berjalan kaki, pelancong yang rajin meneroka suasana baharu akan bertemu banyak penjaja di kaki lima yang menjual pelbagai jenis makanan tempatan. Cuma bagi pelancong Muslim, berhati-hati semasa ingin menjamu selera kerana kebanyakan makanan tempatan di situ tidak dapat dipastikan taraf halalnya.

Ada baiknya bertanya terlebih dahulu, kalau pun bukan daging babi yang dimasukkan sebagai bahan utama, pastikan juga jenis minyak yang digunakan.

Menurut salah seorang pemandu pelancong berasal dari Singapura yang ditemui, Nha Trang masih sebuah kawasan peranginan yang mampu dikunjungi oleh sesiapa. Dalam tempoh lima tahun, ia berpotensi terkenal dengan kelas tersendiri berdasarkan keunikan dan sifat geografi serta pembangunannya pada kadar sederhana.

Salah satu tarikan pelancong di Nha Trang ialah Kompleks Candi Po Nagar Cham. Sekiranya berkesempatan, carilah bahagian tertinggi di kawasan candi berwarna jingga di situ dan hasilnya hampir seluruh isi pusat bandar Nha Trang boleh dilihat dari bola mata anda.

Menurut sejarah, candi tersebut dibina antara abad kelapan dan ke-11 oleh orang Cham yang suatu ketika dahulu pernah menguasai bahagian tengah Vietnam. Orang Cham pada asalnya beragama Hindu dan berbahasa Sanskrit.

Bagaimanapun, pada abad ke-14, kerajaan Champa telah jatuh ke tangan penyerang Viet, yang keturunannya merupakan orang Vietnam pada hari ini. Kebanyakan orang Cham yang kini merupakan etnik minoriti, telah memeluk agama Islam.

Bagaimanapun mereka masih menyembah dewa di Menara Po Nagar Cham semasa perayaan agama tahunan Thap Ba yang diadakan pada akhir bulan April dan awal bulan Mei.

Mitos

Menurut mitos, Po Nagar diambil daripada nama seorang puteri yang ditinggalkan semasa masih bayi di dalam hutan. Dia ditemui dan dijaga oleh sepasang suami isteri. Apabila dewasa, puteri yang lahir bersama kesaktian itu hendak pergi ke China dan berkahwin dengan seorang putera.

Setelah beberapa lama menetap di China, Po Nagar mahu kembali kampung halaman untuk menziarahi orang tuanya. Akibat permintaannya dihalang oleh suami, Po Nagar sekali lagi menggunakan kesaktiannya. Dia menghilang dari China dan kembali hidup untuk berkhidmat kepada keluarga serta masyarakatnya. Apabila meninggal dunia, dia dianggap sebagai dewi. Kemuliaan Dewi Po Nagar di Nha Trang pernah disamakan dengan kisah Puteri Saadong di Kelantan.

Sepanjang lawatan yang dibiayai sepenuhnya oleh Penerbangan Tambang Murah AirAsia itu adalah kesempatan melihat sendiri beberapa resort terpilih seperti L’Alyana dengan jarak sekitar 16 kilometer (km) ke utara dari pusat bandar untuk tiba di jeti Ninh Van Bay. Dari situ, pengunjung harus menaiki bot selama 15 minit untuk tiba di sebuah syurga tersembunyi di sebuah pesisir pantai dan kawasan berteluk yang memukau sesiapa sahaja.

Sesuatu yang istimewa tentang L’Alyana, ia sebuah resort berkonsep tropika dengan reka bentuk vila yang diperbuat daripada kayu. Kebanyakan sayur-sayuran atau herba yang digunakan dalam masakan buat pengunjung juga ditanam di kebun mereka sendiri. Seperkara penting, ia menyediakan menu halal kerana salah seorang pengurusnya merupakan lelaki Melayu yang berasal dari Malaysia.

Sebelum kembali ke Kuala Lumpur setelah empat hari tiga malam pusing keliling hampir semua destinasi wajib dan membawa pulang banyak kenangan, Nha Trang menggamit sebuah kerinduan paling romantik saat kami tiba di Mia Resort. Menawarkan penginapan eksklusif istimewa untuk bulan madu dan percutian bersama keluarga, resort yang dikelilingi pergunungan dan pantai tersebut menawarkan penginapan berbentuk kondominium, vila, suit dan vila lima bilik tidur.