Sememangnya, percutian di luar negara menawarkan pengalaman yang lebih berharga. Ia pasti menjadi pilihan kebanyakan warga tempatan yang teruja untuk menikmati persekitaran baharu di negara lain.

Antara alasan sesetengah pelancong yang memilih untuk berkunjung ke luar negara ialah merasai sendiri pengalaman musim lain selain musim panas sepanjang tahun, memahami budaya dan sekadar mahu menikmati pemandangan alam semula jadi yang indah seperti kabus di sebalik gunung-ganang.

Tidak kira apa jua alasan untuk melancong ke luar negara, soal pemeriksaan kastam dan imigresen di lapangan terbang tidak seharusnya dipandang remeh.

Jika aspek keselamatan ini tidak diselidik terlebih dahulu, kemungkinan besar keterujaan untuk melancong di negara luar akan menjadi mimpi ngeri kerana terlepas pandang pada kesalahan-kesalahan kecil yang tidak diduga.

Justeru, Horizon pada minggu ini ingin berkongsi beberapa tip sebagai panduan pembaca sebelum melangkah ke kaunter pemeriksaan di kastam dan imigresen di lapangan terbang antarabangsa.

Semak kad informasi kastam & imigresen

Sesetengah lapangan terbang antarabangsa akan mengarahkan penumpang untuk mengisi kad informasi yang diberikan semasa di dalam pesawat.

Anda perlu menjawab setiap soalan menggunakan pen bermata bulat berwarna hitam atau biru.

Kad itu perlu diisi bagi memberikan butiran maklumat termasuk alamat penginapan dan nombor telefon antarabangsa kepada pegawai di kaunter kastam serta imigresen sebaik tiba di terminal antarabangsa itu.

Begitu juga dengan pasport dan identiti pengenalan diri yang lain. Pastikan kesemuanya ada bersama anda untuk mengelak daripada berlaku sebarang kemungkinan yang tidak diingini seperti pertukaran identiti dengan individu lain.

Telus ketika disoal pegawai

Pegawai kastam dan imigresen di terminal antarabangsa amat tegas terhadap setiap barang yang dibawa masuk ke negara mereka. Jika anda ada membawa makanan kering seperti mi segera, ubat-ubatan dan susu formula bayi, anda perlu memberitahu pegawai kastam dan imigresen yang bertugas.

Begitu juga dengan uncang minuman seperti teh yang dibeli di dalam pesawat. Anda perlu mengisytihar jika ada baki uncang teh yang tidak digunakan. Jangan sembunyikan daripada mereka kerana jika ditangkap, anda berkemungkinan akan didenda atau terus dihantar pulang.

Jawab soalan dengan baik

Pegawai kastam dan imigresen yang bertugas mungkin akan mengajukan beberapa soalan kepada anda. Jawablah dengan baik semua soalan itu.

Antara soalan yang mungkin ditanya adalah seperti jumlah wang yang dibawa dan saudara mara yang dikenali di sana.

Sekiranya anda bercuti bersama keluarga, kesemua ahli keluarga anda juga perlu berada di kaunter imigresen bersama-sama anda. Pegawai imigresen akan mencatat perkataan berbentuk kod yang hanya difahami mereka berdasarkan kad informasi yang diisi sebelum itu.

Bawa preskripsi ubat dari Malaysia

Penyakit seperti diabetes, asma atau yang memerlukan anda membawa ubat-ubatan secara berterusan pasti akan mengganggu aktiviti pelancongan anda.

Oleh yang demikian, bawa bersama preskripsi ubat yang diperoleh daripada doktor di Malaysia supaya mudah untuk mendapatkannya di farmasi yang berhampiran jika kehabisan bekalan.

Bukan itu sahaja, pegawai kastam dan imigresen yang bertugas juga pasti akan meminta preskripsi surat itu bagi mendapatkan pengesahan. Jika tidak, ubat-ubatan itu akan dibuang ke dalam tong sampah.

Tidak panik berdepan anjing pengesan

Adakalanya, seorang pegawai bersama seekor anjing pengesan akan melalui lorong anda beratur untuk menunggu giliran ke kaunter imigresen.

Tindak tanduk yang menunjukkan cemas dan gelabah akan menarik perhatian anjing itu, sekali gus memberi signal seolah-olah anda sedang melakukan sesuatu kesalahan.

Pastikan ahli keluarga anda, khususnya anak-anak tidak panik bagi mengelakkan sebarang masalah sekiranya didekati anjing pengesan walaupun perkara tersebut jarang berlaku.

Bagaimanapun, kesemua kemungkinan-kemungkinan yang buruk seperti itu seharusnya dielakkan dengan bijak jika ingin menghabiskan percutian di luar negara seperti yang dirancang.