Pusat bandar yang terletak di tebing Sungai Saigon dan berdekatan dengan delta Sungai Mekong itu mempunyai iklim tropika.

Pada musim sejuk, terdapat hanya sedikit hujan berbanding musim panas.

Penulis berkunjung ke sana pada bulan lalu bersama ummi tercinta.

Perkara utama yang penulis ambil berat ialah mempercepatkan waktu jam kerana di sana lambat satu jam.

Pengalaman penulis sebaik sahaja sampai ke Lapangan Terbang Tan Son Nhat tidak dapat dilupakan.

Apa tidaknya, semasa mahu masuk tandas, penulis dihalang oleh seorang tukang cuci daripada membawa masuk botol air.

Namun, penulis sudah bersedia membawa botol air itu dalam beg sandang kerana sudah mengetahui rata-rata tandas mereka tiada paip air.

Walaupun perkara itu sudah menyakitkan hati penulis, pemandangan cantik di bandar Ho Chi Minh memberi penawar kepada penulis.

Malah bandar raya Ho Chi Minh cukup gah dengan keunikan dan keindahan bangunan era kolonial sehingga menjadi latar belakang kepada novel terkenal, The Quiet American karya Graham Greene.

Bagaimanapun, ia hampir lenyap disebabkan pemodenan apatah lagi status Vietnam kini yang diiktiraf sebagai negara paling pesat membangun di Asia Tenggara.

Dengan kepadatan penduduk hampir 10 juta, satu tarikan buat penulis di bandar raya itu apabila kebanyakan orang menggunakan motosikal berbanding kereta.

Bukan berjumlah 100 atau 1,000 buah, tetapi penulis merasakan jalan raya memang dibanjiri motosikal dan jumlah kereta boleh dibilang dengan jari.

Selain itu, jika anda mahu melintas jalan, anda dinasihati memberanikan diri untuk melintas kerana penunggang motosikal akan memperlahankan kenderaan mereka apabila melihat orang.

Kemalangan

Bagaimanapun, selama empat hari penulis di sini, tidak pula nampak kemalangan berlaku biarpun keadaan trafik begitu sesak.

Berkongsi mengenai pengangkutan e-Hailing iaitu Grab, agak pelik kerana mereka juga menggunakan motosikal selain kereta.

Ketika pertama kali nampak, penulis ketawa tetapi bila difikirkan, ia logik kerana motosikal adalah pengangkutan utama bandar raya ini.

Bercerita mengenai penginapan, penulis memilih untuk tinggal di Hotel Queen Central yang berada 100 meter dari Pasar Ben Thanh.

Di lokasi itu juga terdapat banyak restoran. Masakannya amat sedap, bersih serta halal, sekali gus menyebabkan penulis datang ke situ setiap kali waktu makan. Ia umpama menikmati makanan di negara sendiri.

Sememangnya, kawasan itu menjadi tumpuan kerana harga juga berpatutan selain ramai orang Malaysia tinggal di lokasi tersebut.

Penulis juga sempat merasai kopi Vietnam yang terkenal dengan kepekatan dan aroma yang menusuk ke hidung itu dengan harga RM3 sebungkus.

Pasar Ben Thanh adalah antara tempat yang wajib pergi apabila anda berkunjung ke Ho Chi Minh. Pasar itu amat digemari oleh pelancong.

Tawar-menawar

Ia ibarat syurga bagi yang gemar membeli-belah. Dengan pelbagai jenis barang yang dijual, anda pasti akan rambang mata.

Untuk pengetahuan semua, dari segi komunikasi, peniaga-peniaga di Vietnam memang ada yang boleh berbahasa Melayu dan Inggeris. Urusan jual beli juga boleh menggunakan mata wang ringgit Malaysia.

Perkara itu memudahkan penulis untuk melakukan tawar-menawar semasa urusan jual beli.

Antara barang yang penulis sempat beli adalah baju-T, beg sandang, dompet, seluar dan beg mengembara.

Satu pesanan penulis adalah jika mahu membeli, anda harus tawar-menawar terlebih dahulu sebelum bersetuju dengan harga pembelian kerana ada antara peniaga mengambil kesempatan terhadap pelancong.

Pada sebelah malam pula, penulis sempat menjejak kaki ke pasar malam mereka yang dibuka pada 7 petang hingga 10 malam.

Tidak banyak beza dengan Malaysia dari segi barangan tetapi sikap peniaga memang ramah dan riuh rendah menegur setiap kali pelanggan menghampiri gerai mereka.