Kelihatan dari jauh dua karakter kartun itu sedang bergambar dengan peminatnya yang sudah sedia beratur menunggu giliran.

Tanpa berfikir panjang, langkah Kashika bersama dua orang lagi rakannya itu terus dihalakan ke arah karakter tersebut.

‘‘Saya sememangnya meminati watak Mickey dan Minnie. Boleh dikatakan semua kanak-kanak di dunia mengenali mereka.

‘‘Saya meminatinya bukan sahaja kerana wataknya yang comel, malah siri kartunnya yang bersahaja dan kelakar. Siapa sahaja pasti akan tertawa semasa menontonnya,” katanya dengan wajah ceria ketika ditemui Horizon di pusat beli-belah itu baru-baru ini.

Selepas berada berdekatan dengan karakter kartun tersebut, barulah dia menyedari bahawa di ruang Centre Court pusat beli-belah tersebut sedang berlangsungnya program karnival Mickey and The Roadster Racers’ Super Charged anjuran The Walt Disney Company (Disney).

‘‘Saya rasakan bahawa hari ini adalah hari bertuah kerana dapat berjumpa Mickey dan Minnie secara dekat, malah turut dapat bergambar bersama mereka.

‘‘Selain bergambar, terdapat juga aktiviti lain yang dapat dilakukan di sini. Aktiviti kesukaan saya ialah melukis kereta. Saya melukis sebuah kereta lumba untuk diimbas dan kemudiannya dipaparkan secara visual di skrin,’’ katanya yang berasal dari Melaka.

Diasaskan pada 1923, Disney telah mencipta ratusan watak kartun popular dan antara yang paling menyerlah ialah Mickey dan pasangannya Minnie serta rakan-rakannya yang lain seperti Donald Duck, Daisy Duck dan Goofy.

Eksklusif

Menurut satu kenyataan daripada pihak Disney, kehadiran Mickey dan Minnie melalui program Mickey and The Roadster Racers’ Super Charged Carnival tersebut adalah bersempena penyiaran episod baharu siri animasi tersebut bagi saluran Disney Junior (Astro 613) di televisyen.

‘‘Di samping memperkenalkan episod baharu tersebut, kami mahu mengembalikan semula nostalgia indah zaman kanak-kanak.

“Ia bukan saja menjadi tarikan untuk keluarga dan kanak-kanak, malah buat mereka yang berjiwa muda untuk mengimbau kenangan lalu, pada masa sama mencipta pengalaman baharu,” katanya.

Antara aktiviti tarikan yang ditawarkan kepada pengunjung ialah mewarna topi berbentuk telinga Mickey dan permainan susun atur lego. Turut menjadi tumpuan ialah melukis kereta lumba sebelum dilakukan imbasan dan dipaparkan secara ilustrasi tiga dimensi (3D).

Kemudian, pengunjung akan melihat aksi kenderaan 3D hasil lukisan masing-masing berlumba pada skrin digital interaktif yang dipaparkan.

Selain itu, aktiviti eksklusif yang sudah pastinya menjadi kegemaran ramai di situ ialah sesi bergambar bersama Mickey dan Minnie yang hanya akan membuat penampilan pada masa tertentu sahaja.

Memandangkan program itu merupakan eksklusif daripada Disney, ia hanya berlangsung selama enam hari bermula 8 hingga 13 Januari lalu.

Selain daripada aktiviti-aktiviti tersebut, pengunjung juga berpeluang untuk mendapatkan cenderamata serta produk-produk hasil keluaran Disney.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Noor Athirah Zukri, 28, berkata, kehadiran watak kartun tersebut telah menggamatkan lagi suasana di pusat beli-belah tersebut.

Kehadirannya ke situ adalah untuk menemani adik lelakinya yang sememangnya sangat meminati kartun Disney.

“Kanak-kanak memang suka menonton kartun di televisyen. Sudah pasti mereka teruja jika dapat menyaksikan watak itu secara lebih dekat.

“Menyedari bahawa adik saya merupakan salah seorang peminat kartun tersebut, saya telah memutuskan untuk membawanya ke sini,” katanya yang menetap di Shah Alam, Selangor.

Tambah Noor Athirah, pada mulanya dia agak keberatan memandangkan lokasi pusat beli-belah tersebut terletak di pusat bandar yang pastinya berdepan dengan kesesakan jalan raya terutama pada hujung minggu.

‘‘Bagaimanapun, saya merasakan kedatangan saya ke sini adalah berbaloi selepas melihat wajah adik yang keriangan,’’ katanya tersenyum.