Ia juga terkenal di seluruh dunia gara-gara dasar apartheid yang pernah mendiskriminasi penduduk asli berkulit hitam dengan komuniti penjajah berkulit putih.

Namun, itu semua kisah lama. Afrika Selatan berjaya bangkit dan boleh dianggap sebagai salah sebuah negara paling maju serta pesat membangun di benua Afrika.

Negara itu juga mempunyai cuaca empat musim yang menyenangkan. Oleh kerana kedudukannya di hemisfera selatan Bumi, ia mempunyai sistem cuaca yang mirip dengan Australia dan New Zealand iaitu musim sejuk berlaku pada pertengahan tahun dan musim panas pada penghujung tahun.

Pengunjung yang melawat Afrika Selatan untuk kali pertama boleh memulakan lawatan di kota Johannesburg. Ia merupakan bandar terbesar dan salah satu daripada enam ibu kota negara tersebut.

Di situ, anda disarankan untuk menyingkap sejarah perjalanan penduduk tempatan dalam mencapai demokrasi di Constitution Hill.

Ia merupakan bekas penjara dan tugu ketenteraan yang kini berfungsi sebagai sebuah muzium yang menceritakan tentang masa silam. Ia juga menempatkan mahkamah perlembagaan yang memperjuangkan hak penduduk tempatan.

Bagi memudahkan aktiviti harian, naik sahaja bas persiaran Hop On Hop Off yang akan membawa anda mengelilingi kota Johannesburg.

Tokoh dunia

Salah satu destinasi yang harus disinggahi adalah Carlton Centre iaitu sebuah bangunan pencakar langit yang menawarkan pemandangan indah bandar Johannesburg dari ketinggian sekitar 223 meter.

Teruskan perjalanan ke Muzium Apartheid yang menceritakan segala kisah pahit penduduk asal Afrika Selatan selain perjuangan tokoh dunia Nelson Mandela.

Untuk mengetahui lebih banyak tentang ikon kebebasan itu, singgahlah ke kawasan Soweto yang juga merupakan daerah popular Afrika Selatan.

Daerah itu merupakan kawasan tempat tinggal kebanyakan penduduk kulit hitam. Di lokasi itu juga terletaknya Muzium Mandela atau lebih dikenali sebagai Mandela House.

Ia pernah menjadi tempat tinggal Mandela dari tahun 1946 hingga 1962.

Tidak jauh dari lokasi itu terletak sebuah restoran popular yang diberi nama Sakhumzi yang menghidangkan pelbagai juadah tempatan yang enak.

Malah, berkat jumlah penduduk beragama Islam yang agak ramai di Afrika Selatan, daging yang digunakan adalah halal seperti kebanyakan daging yang dijual di restoran dan pusat membeli-belah di seluruh Afrika Selatan.

Ini memudahkan pengunjung Muslim untuk mencari makanan yang halal tanpa was-was. Di kawasan Soweto juga terletaknya Orlando Towers yang kini menjadi tempat untuk aktiviti lompatan bungee.

Bagi mendapatkan sedikit maklumat tentang seni serta budaya, jangan lupa ke daerah Maboneng. Kawasan itu kaya dengan pelbagai kedai serta kafe yang dipelopori oleh para seniman muda yang mula mencipta nama di Afrika Selatan. Pelbagai fesyen dan karya seni dapat anda dilihat serta dibeli di sini.

Selesai bersiar-siar di Johannesburg, panjangkan langkah ke Pretoria, ibu kota pentadbiran Afrika Selatan yang hanya terletak sekitar 30 minit dari pusat bandar Johannesburg dengan menaiki kereta.

Di Pretoria, pengunjung boleh melihat deretan patung-patung gangsa pejuang yang pernah menyumbang kepada pembebasan diskriminasi serta kemerdekaan Afrika Selatan di Long March to Freedom National Heritage Monument.

Ini termasuklah patung Mahatma Gandhi dan Mandela.

Tidak ketinggalan adalah Freedom Park yang merupakan tapak bersejarah dan kini berfungsi sebagai tugu peringatan mereka yang tewas ketika berjuang untuk Afrika Selatan.

Tidak jauh dari situ juga adalah monumen Voortrekker, sebuah tugu yang dibina untuk memperingati komuniti petani kulit putih yang berhijrah dari Eropah (khasnya dari Belanda) dan meninggalkan Cape Colony (Tanjung Harapan) sekitar awal tahun 1800-an.

Ia banyak menceritakan tentang pertemuan pertama pendatang kulit putih dengan penduduk asli Afrika Selatan.

Satu lagi tempat yang harus dikunjungi adalah kawasan Union Buildings yang merupakan pusat pentadbiran seperti Putrajaya di Malaysia. Di sinilah terletaknya patung gergasi Mandela yang merupakan lambang utama penduduk Afrika Selatan.

Kereta api mewah

Di sekelilingnya adalah kawasan taman indah yang turut dijadikan sebagai tempat rekreasi dan riadah penduduk yang mahu bersenam atau berkelah.

Dari Pretoria, tidak lengkap rasanya jika anda tidak ke Cape Town sebuah bandar raya yang sangat popular di Afrika Selatan.

Terdapat pelbagai cara untuk ke sana dari Pretoria atau Johannesburg. Namun, satu pengalaman yang wajar dicuba sekiranya berkemampuan adalah dengan menaiki kereta api mewah Rovos Rail yang memakan masa selama dua malam dari stesen khas mereka di Pretoria.

Ia benar-benar satu pengalaman yang unik kerana tamu kereta api dilayan dengan begitu istimewa.

Selain tempat penginapan yang luas, makanan yang enak dan minuman serta hidangan percuma sepanjang perjalanan, tetamu juga berpeluang melawat beberapa kota lain yang disinggahi Rovos Rail seperti Kimberley yang terkenal dengan perlombongan berlian dan sebuah kota lama yang unik bernama Matjiesfontein.

Di Cape Town pula pastikan anda singgah ke kawasan dermaga Victoria dan Alfred (V&A Waterfront) yang terkenal dengan pelbagai tarikan dan pemandangan indah.

Di lokasi itu anda boleh menaiki bas pelancong Hop On Hop Off sekali lagi untuk melawat sekitar Cape Town. Jangan lepaskan peluang mengunjungi Table Mountain untuk menikmati panorama indah dari atas gunung dengan menaiki kereta kabel.

Lawati juga rumah berwarna-warni di Bo Kaap yang merupakan kawasan perumahan penduduk Melayu Muslim Afrika Selatan yang sering menjadi tarikan pelancong asing.

Tidak ketinggalan, adalah persiaran bot mengelilingi perairan dermaga V&A yang memberi peluang kepada pengunjung menyaksikan anjing laut yang bermain sepanjang hari.