Hari itu dia membawa lapan orang ‘tetamu’ dari Kuala Lumpur untuk meneroka keindahan struktur beberapa buah gua yang terdapat di Merapoh, Lipis, Pahang.

Sabri bimbang kalau-kalau tetamunya itu tidak dapat mengekori jika dia berjalan terlalu laju kerana mereka dilihat begitu teruja merakam gambar sebagai kenangan. Sambil melayan gelagat pengunjung kota yang memintanya merakamkan gambar, dia sempat memberi penerangan ringkas mengenai nama dan keunikan Gua Hantu Menari.

“Kebanyakan nama gua yang berada di sekitar kawasan Merapoh ini diberi berdasarkan struktur, keunikan dan tarikh gua itu dijumpai.

“Nama Gua Hantu Menari diberi kerana cahaya yang masuk ke dalam gua dan terkena air sungai membentuk imej seakan-akan lembaga putih menari.

“Gua-gua lain seperti Gua Tahi Bintang dinamakan berdasarkan dinding gua yang menyerupai gugusan tahi bintang yang jatuh dari angkasa. Gua Seribu Cerita pula mendapat nama kerana lukisan purba yang terdapat di dalam gua itu,” katanya ketika ditemui di Merapoh baru-baru ini.

Menurut anak jati Pahang itu, setakat ini dia dan penduduk tempatan dengan dibantu oleh aktivis alam sekitar, Laili Basir berjaya meneroka sebanyak 174 gua batu kapur di kawasan sekitar Merapoh.

“Dianggarkan terdapat lebih 500 gua di sekitar kawasan Merapoh tetapi akibat kekurangan dana, pencarian gua terpaksa dihentikan.

“Walaupun kita telah berjaya menemui 174 gua, tetapi hanya 12 yang dibuka untuk lawatan pelancong atas faktor keselamatan serta memulihara kecantikan gua.

“Jika kita buka terlalu banyak gua, tidak semua boleh dilawati kerana kekangan masa. Lebih baik fokus kepada gua-gua tertentu sahaja,” katanya.

Antara gua yang dibuka untuk lawatan pengunjung ialah Gua Hari Malaysia, Gua Seribu Cerita, Gua Hantu Menari, Gua Jinjang Pelamin, Gua Katak, Gua Tahi Bintang dan Gua Hanuman.

Pelancong

Perjalanan ke Merapoh dari Kuala Lumpur dengan kereta hanya mengambil masa sekitar empat jam, manakala dari Kuantan hanya tiga jam.

Pelancong dari luar boleh datang ke Merapoh dengan menaiki bas atau kereta api yang akan berhenti di Stesen Kereta Api Merapoh selain menggunakan kenderaan sendiri.

Ujar Sabri, Merapoh pernah menimbulkan polemik dalam kalangan penduduk tempatan apabila kerajaan negeri bercadang mahu membina kilang simen pada tahun 2007.

Bagaimanapun, cadangan itu dibatalkan enam tahun kemudian apabila mendapat bantahan daripada penduduk yang bimbang ia akan memusnahkan khazanah alam semula jadi berusia lebih 300 juta tahun itu.

“Isu Merapoh mencapai kemuncak apabila kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang telah meneroka kawasan hutan di Gua Hari Malaysia bagi membuka ladang kelapa sawit pada November lalu.

“Aktiviti pembukaan ladang kelapa sawit yang merangkumi kawasan seluas 668.8 hektar di sekitar Gua Hari Malaysia telah berjalan dan dianggarkan lebih 200 hektar hutan telah dimusnahkan.

“Ia merupakan satu tamparan buat penduduk kerana ia dilakukan secara mengejut oleh kerajaan negeri Pahang. Kami hanya menyedari ketika membawa pelancong untuk masuk ke Gua Hari Malaysia,” jelas Sabri.

Dalam pada itu, Pengarah Merapoh Adventure Travel & Tours Sdn. Bhd., Khairun Nizam Abdul Rashid berkata, pelancong dari dalam dan luar negara datang ke Merapoh kerana mereka gemarkan aktiviti lasak mendaki gunung dan meneroka gua batu kapur.

Jelas beliau, penerokaan hutan yang berhampiran lokasi tumpuan pelancong menjejaskan sektor ekopelancongan di Merapoh kerana ia bergantung sepenuhnya kepada keindahan hutan dan gua-gua batu kapur.

Kesan

Kebanyakan pelancong ke Merapoh datang dari luar negara iaitu dari Perancis, Belanda, Jerman, Croatia dan Switzerland. Mereka begitu teruja melihat keindahan hutan dan gua batu kapur yang ada di sana.

“Tetapi akibat pembalakan, suasana hijau itu sudah bertukar dan banyak anak sungai ditutupi oleh jalan balak. Suasana hijau yang diharapkan oleh pengunjung tidak seperti yang digambarkan.

“Saya sendiri terima kesan apabila beberapa kumpulan pelancong dari luar negara telah membatalkan percutian mereka di Merapoh kerana dapat tahu mengenai kemusnahan hutan di situ,” ujarnya dalam nada kecewa.

Menurut seorang penduduk tempatan, Zulkapli Sudin, 51, keindahan alam semula jadi di Merapoh perlu dipertahankan kerana ia membuka peluang pekerjaan kepada penduduk yang sebelum ini hanya bekerja sebagai petani dan mengambil upah kerja kampung.

Jelas beliau, jika dahulu ramai golongan muda berhijrah ke bandar untuk bekerja, tetapi penemuan ratusan gua batu kapur memberi sinar baharu kepada penduduk Merapoh.

“Dahulu ekopelancongan di Merapoh hanya bergantung kepada Taman Negara Sungai Relau yang menjadi pintu masuk untuk mendaki Gunung Tahan.

“Melalui eksplorasi gua yang dibangunkan penduduk, ia telah membantu merancakkan ekonomi penduduk. Kedai-kedai di Merapoh kembali meriah dengan kehadiran pelancong dan tanah yang terbiar dibangunkan untuk dibina rumah penginapan,” katanya.

Kos sara hidup

Tambah Zulkapli, dengan kewujudan eksplorasi gua dan pakej pendakian Gunung Tahan, pendapatan penduduk kampung telah bertambah sekitar RM1,200 sebulan.

“Jika hendak dibandingkan hidup di bandar dengan bekerja kilang yang pendapatannya tidak sampai RM1,500 sebulan, lebih baik hidup di kampung kerana kos sara hidup rendah.

“Selain meneruskan pekerjaan harian seperti bertani, menoreh getah dan mengambil upah kerja kampung, pendapatan daripada aktiviti ekopelancongan adalah satu rahmat buat kami,” tutur Zulkapli dengan wajah ceria.

Dalam pada itu, bekas Penghulu Merapoh, Wan Amiruddin Wan Ibrahim berharap kerajaan negeri membantu penduduk tempatan dalam mempromosi Merapoh sebagai salah satu destinasi ekopelancongan di Malaysia.

“Merapoh bukan sahaja memiliki keindahan gua-gua batu kapur sahaja, tetapi ia turut mempunyai Taman Negara Sungai Relau yang merupakan laluan ke Gunung Tahan.

“Ketika ini saya lihat penduduk sahaja yang berusaha untuk membangunkan ekopelancongan di Merapoh. Usaha itu berhasil dan perlu bantuan sewajarnya daripada kerajaan,” tegas Wan Amiruddin.

Beliau percaya penduduk di Merapoh tidak menolak kemajuan, tetapi mahu setiap pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat kepada penduduk dan alam sekitar.

“Kami menolak pembinaan kilang simen kerana khuatir peluang pekerjaan nanti akan dimonopoli oleh orang luar selain isu kesihatan penduduk dan menjejaskan alam sekitar,” tambahnya.

Keindahan alam semula jadi di Merapoh dekat Lipis, Pahang berjaya menarik 80 peratus pelancong asing. Aktiviti itu secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.