Ribut salji yang melanda di beberapa kawasan membuatkan jarak pandangan terbatas dan sangat berisiko dilanggar oleh kenderaan lain.

Itulah sebahagian cabaran getir yang terpaksa diharungi oleh Safwan Razak, 35, bersama lima peserta lain sewaktu mengikuti Ekspedisi Throttle Riot Menunggang ke Himalaya (TRHR) 2019.

TRHR merupakan satu ekspedisi menunggang motosikal berkuasa tinggi pergi dan balik dari Srinagar ke Khardung La, India dengan jarak perjalanan sejauh 1,360 kilometer (km).

Rintangan yang dilalui oleh Safwan sama sekali tidak menjadi penghalang kepadanya untuk meneruskan ekspedisi penuh sehingga ke penamat.

“Ini kali pertama saya berpeluang menunggang motosikal di kawasan pergunungan bersalji dan sejuk.

“Menunggang di kawasan pergunungan bersalji penuh dengan pelbagai halangan yang tidak dijangka,” katanya ketika ditemu bual Horizon baru-baru ini.

Sepanjang perjalanan para peserta menunggang motosikal jenis Royal Enfield Himalayan dan Bullet 500 melalui beberapa kawasan seperti Kargil, Leh, Pangong Tso dan Sonmarg.

Setiap hari para peserta ekspedisi TRHR 2019 perlu menunggang motosikal selama lapan jam sebelum tiba ke destinasi-destinasi perhentian.

Safwan yang berasal dari Rawang, Selangor berkata, dia sangat bertuah kerana dapat menunggang motosikal di salah satu laluan tertinggi di dunia.

Dia memberitahu, ekspedisi tersebut juga memberi peluang kepadanya untuk menikmati pemandangan indah pergunungan Himalaya dengan lebih dekat.

“Ekspedisi ini berjaya mengeratkan lagi silaturahim yang sedia terjalin kerana kami sentiasa bersatu dalam menghadapi setiap rintangan,” ujar jurutera Teknologi Maklumat itu.

Ekspedisi berkenaan dianjurkan oleh kelab motosikal berkuasa tinggi yang aktif menganjurkan pelbagai aktiviti menunggang motosikal iaitu Throttle Riot.

Setia kawan

Pengerusi Throttle Riot, Raja Susrina Raja Khalid berkata, program tersebut telah disertai oleh enam orang ahli kumpulan Throttle Riot yang berminat untuk merasai cabaran baharu.

Throttle Riot merupakan sebuah kumpulan motosikal berkuasa tinggi menunggang ke sesuatu destinasi dengan menggalakkan semangat setia kawan dalam kalangan ahli.

Jelasnya, objektif utama program berkenaan adalah untuk merasai pengalaman menunggang motosikal di salah satu laluan motosikal tertinggi di dunia iaitu di Khardung La dan Chang La.

“Pada masa sama, kami berpeluang untuk menunggang motosikal ke kawasan tasik tertinggi di dunia iaitu Tasik Pangong yang terletak pada ketinggian 4,350 meter dari aras laut.

“Kami juga berharap program ini mampu memberi pengalaman kepada peserta mengenai cara menguruskan perjalanan dari Srinagar ke Khardung La,” terangnya.

Menurut Raja Susrina, pihaknya mengambil masa selama hampir empat bulan untuk merancang dan menguruskan keperluan sebelum bertolak ke Kashmir, India.

Dia memaklumkan, pihaknya memilih untuk tidak mengambil sebarang pakej, kenderaan sokongan dan pengiring disebabkan kos yang terlalu tinggi iaitu boleh mencecah RM5,000 seorang peserta (tidak termasuk tiket kapal terbang dan visa).

“Kami mendapatkan maklumat perjalanan sendiri daripada media sosial dan internet serta berjumpa dengan beberapa penunggang motosikal solo yang telah sampai ke Himalaya.

“Kami mengatur perjalanan sendiri tanpa sebarang pemandu arah. Jadi, cabaran yang dihadapi lebih menarik dan ia akan menjadi memori indah kepada para peserta,” ujarnya.

Setiap peserta program TRHR 2019 perlu mengeluarkan RM3,000 yang merangkumi kos tiket kapal terbang, hotel, visa dan sewa motosikal.

Pada masa sama, jenama barang kelengkapan motosikal terkemuka, Givi menaja pakaian dan beg kepada peserta program TRHR 2019.

Terjatuh

Menurut Raja Susrina, dia menganggap ekspedisi tersebut sebagai berjaya kerana para peserta dapat melengkapkan perjalanan mengikut masa yang telah ditetapkan.

Ujarnya, meskipun para peserta terpaksa menempuhi pelbagai rintangan mencabar, namun mereka berjaya mengharunginya dengan tenang dan sabar.

Bagi Mohd. Al-Muzzir Marlias, 34, dia terpaksa mengharungi cabaran lebih hebat berbanding para peserta TRHR 2019 yang lain.

Tegasnya, sepanjang perjalanan dia terpaksa menunggang motosikal bersama pembonceng sekali gus membuatkan risiko berlaku kemalangan dan kerosakan lebih tinggi.

“Sepanjang perjalanan saya membonceng isteri, Raja Susrina. Pernah sekali ketika mendaki laluan off road berbukit, motosikal saya terbalik selepas terjatuh ke dalam lopak.

“Alhamdulillah, tiada ada apa yang berlaku kepada kami berdua, cuma bateri motosikal tercabut dan foot peg bengkok,” ujarnya.

Mohd. Al-Muzzir yang berasal dari ibu negara menambah, ekspedisi TRHR 2019 betul-betul menguji ketahanan mental dan fizikal.

Katanya, mereka bukan saja diuji dengan faktor cuaca, malah dihambat dengan masa dan orang di sekeliling yang sentiasa menunggu peluang untuk mengambil kesempatan.

“Merancang untuk menunggang di Himalaya ini, mental kena sentiasa kuat kerana orang sekeliling sentiasa memandang rendah dan memperlekehkan anda.

“Ada juga yang gemar mengambil kesempatan untuk menipu anda. Namun, itulah uniknya menunggang di sini berbanding kawasan lain di dunia,” terangnya.