Panorama kejadian pelangi di kawasan air terjun setinggi 50 meter itu sangat mempesonakan.

Berbekalkan sinaran mentari pagi, cahaya yang terbias melalui air terjun itu akan menghasilkan pelangi yang pelbagai bentuk.

Namun, pelangi di kawasan air terjun itu hanya terbentuk pada waktu pagi iaitu sekitar pukul 8 hingga 11 pagi.

Tidak mahu melepaskan peluang melihat keindahan ciptaan tuhan itu, Mohd. Ali Maghpur Muhammad, 31, dan rakan-rakannya bergerak dari ibu kota Kuala Lumpur ke Air Terjun Pelangi baru-baru ini.

Mohd. Ali Maghpur berkata, mereka menuju ke air terjun itu dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

“Kami mula bergerak dari Kuala Lumpur pada pukul 12 tengah malam dan sampai ke Pekan Sungai Lembing sekitar jam 5 pagi.

“Setelah berehat sebentar, kami mula bergerak ke lokasi tapak perkhemahan iaitu di Lubuk Beruk sekitar pukul 8 pagi.

“Perjalanan untuk ke lokasi itu agak sukar dan kami perlu melalui laluan offroad dengan mendaki bukit serta melintasi anak sungai.

“Perjalanan itu mengambil masa sekitar satu jam setengah,” katanya.

Setelah sampai ke Lubuk Beruk, dia dan rakan-rakannya mula memasang khemah serta menyediakan makanan tengah hari kerana mereka akan bermalam di lokasi itu sebelum menuju ke Air Terjun Pelangi pada keesokan harinya.

Pada waktu petang, mereka melakukan aktiviti menerokai Gua Cermin.

Perjalanan untuk ke Gua Cermin mengambil masa hampir satu jam dengan berjalan kaki merentasi laluan di tepi sungai.

Air pasang

“Ketika kami berjalan menuju ke Gua Cermin, trek laluan hampir hilang. Mungkin tidak ramai orang yang tidak ke lokasi ini.

“Mungkin mereka tidak tahu tentang tempat ni. Di Gua Cermin, terdapat air terjun dengan pusaran yang dalam dan mempunyai banyak ikan tengas di dalam lubuk air terjun ini.

“Namun, kami tidak dapat memasuki gua kerana air sedang pasang sehingga pintu masuk gua ditenggelami air,” jelas Mohd. Ali Maghpur.

Pada keesokan harinya, dia bersama rakan-rakan yang lain memulakan perjalanan menuju ke kawasan Air Terjun Pelangi.

Perjalanan dari tempat perkhemahan ke kawasan air terjun itu mengambil masa sekitar 45 minit.

Dalam perjalanan, Mohd. Ali Maghpur bertembung dengan sekumpulan pengunjung lain yang datang ke lokasi itu dengan menggunakan kenderaan yang disediakan penduduk Sungai Lembing.

Dengan bayaran RM30 seorang, pengunjung boleh ke kawasan air terjun itu dari pekan Sungai Lembing dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda yang disediakan.

“Apabila kami sampai di air terjun, matahari sedang memancar terik dan kami dapat melihat pelangi yang terbentuk di depan mata kami. Sangat indah fenomena yang berlaku.

“Di depan air terjun itu juga, kami dapat merasai titisan kecil air yang jatuh bertaburan,” jelasnya.