Dia berasa sangat teruja apabila melihat gambar-gambar binatang yang hidup pada zaman ais di pintu masuk utama pameran seluas 2,400 meter persegi.

Dalam cahaya lampu kemerah-merahan yang samar-samar, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Bukit Nenas 1, Kuala Lumpur itu dipimpin oleh gurunya untuk menyaksikan pameran tersebut.

Nur Izzatul Dayana dan rakan-rakan teruja kerana pameran itu menampilkan visual binatang-binatang yang seakan-akan hidup.

“Ini merupakan kali pertama saya berkunjung ke sini. Pada pendapat saya, pameran ini sangat menarik kerana menampilkan semula haiwan-haiwan yang sudah pupus seperti dinosaur, tenggiling gergasi serta badak berbulu.

“Lagipun, kami baru sahaja habis perlawanan hoki peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia di Perak tiga hari lalu. Jadi, guru bawa kami untuk hilangkan penat dan bergembira di sini,” katanya.

Pameran yang diadakan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan kerjasama Matic serta Creative Alliance Sdn. Bhd., itu dianjurkan bermula dari 13 Mei hingga 31 Disember ini.

Pengunjung berpeluang menyaksikan lebih 20 dinosaur yang menggunakan sistem animatronik iaitu gabungan kejuruteraan mekatronik untuk merealisasi gerakan dinosaur seperti kepala, leher, kerdipan mata serta jeliran lidah.

Tarikan utama

Haiwan-haiwan itu dibahagikan kepada empat bahagian bagi setiap negara pada zaman prasejarah iaitu Amerika, Eropah, Australia dan New Zealand.

Tambah Nur Izzatul Dayana, haiwan yang menjadi tarikan utamanya ialah caelodonta yang turut dikenali sebagai badak sumbu berbulu.

Berkongsi cerita yang diperoleh daripada pameran itu, Nur Izzatul Dayana memberitahu, badak sumbu tersebut mempunyai bulu yang lebat kerana hidup pada zaman ais.

“Menariknya, haiwan ini boleh hidup sepanjang tempoh Plionece sehingga awal tempoh Holoce pada zaman ais Quatenery lebih daripada 2.5 juta tahun lalu.

“Saya berasa sangat beruntung kerana dapat berkunjung ke sini. Ilmu yang diperoleh tidak terdapat di sekolah,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Ice Age Alive, Adam Abdullah berkata, pameran tersebut membawa pengunjung melewati kehidupan sebenar spesies megafauna yang hidup pada zaman ais apabila kesemua model haiwan adalah bersaiz sebenar dengan dihiasi tumbuhan mirip prasejarah.

Malah, pengunjung juga boleh melihat haiwan animatronik yang menggerakkan badan, mata, lidah dan suara sebagaimana kehidupan asalnya yang berlaku berjuta-juta tahun lalu.

Antara model haiwan yang dipamerkan adalah dinosaur, gajah mamot, burung dodo, kucing purba, harimau bergigi saber dan rusa gergasi.

“Kami berharap pameran ini dapat memberi manfaat kepada orang ramai terutamanya kanak-kanak. Ia menyediakan platform untuk mempelajari mata pelajaran Sejarah serta Sains tidak formal.

“Bagi saya, kanak-kanak pasti teruja menyaksikan haiwan yang bergerak dengan mata berkedip dan menghasilkan bunyi tersendiri selain dapat mengenali corak kehidupan haiwan bersaiz besar yang pernah mendominasi bumi suatu masa dahulu,” ujarnya.

Imaginasi

Menurut Adam, terdapat penerangan ringkas mengenai habitat, tabiat kehidupan dan corak pemakanan bagi setiap spesies yang dipamerkan.

Katanya, daripada informasi itu, ia membolehkan pengunjung meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai kewujudan haiwan zaman purba itu selain memperoleh keseronokan dan hiburan.

Adam menjelaskan, haiwan seperti dinosaur mempunyai peminat yang tersendiri.

“Mereka pasti membayangkan untuk melihat haiwan ini secara berdepan, menyentuh dan merakam gambar.

“Sehubungan itu, pameran ini dapat merealisasikan imaginasi mereka untuk mengenali secara lebih dekat haiwan yang jarang dipamerkan di negara ini,” ujarnya.

Menyentuh tentang harga tiket, Adam berkata, bayaran masuk ke pameran Ice Age Alive sangat berpatutan iaitu RM19.50 untuk kanak-kanak dan RM29.50 bagi dewasa.

Malah, diskaun turut diberikan jika pengunjung membeli pakej keluarga iaitu RM85.50 bagi dua kanak-kanak dan dua orang dewasa.

Pengunjung boleh bermain dengan sepuas-puasnya tanpa meletakkan had masa.

Pada masa yang sama, Adam berkata, beberapa aktiviti sampingan turut diadakan seperti meluncur ais, kraf tangan zaman ais, menggali fosil, tayangan video dokumentari dan permainan interaktif bagi menambah keseronokan pengunjung.

Sementara itu, seorang pengunjung, Syakila Mohamed Yusof, 34, berkata, pada awalnya dia membayangkan bahawa pameran Ice Age Alive adalah sebuah filem animasi yang menjadi tontonan kanak-kanak itu.

“Namun, sebaik sahaja sampai di sini, rupa-rupanya ia adalah satu pameran yang unik dan sangat menarik, sekali gus memberikan kepuasan pada saya dan pelajar.

“Jika orang dewasa turut teruja, saya yakin pelajar-pelajar ini pasti lebih gembira terutamanya dengan harga tiket berbaloi,” katanya.

Syakila menambah, dia turut berpuas hati dengan layanan mesra dan baik petugas pada pameran itu. Selain memberikan informasi, mereka turut membantu pengunjung yang kehilangan arah.

Selain itu, Syakila memberitahu, para pengunjung juga dapat merasai suasana yang kondusif sambil bersantai bersama ahli keluarga.

Ini kerana kebanyakan aktiviti yang diadakan sangat mesra pengguna khususnya golongan kanak-kanak.