Kedua-dua pulau itu terletak dalam Taman Negara Komodo. Pulau itu boleh diakses melalui perkhidmatan sewa bot di bandar pelabuhan Labuan Bajo di Pulau Flores.

Perjalanan menggunakan bot laju mengambil masa sekitar dua jam. Tempat persinggahan kami yang pertama adalah di Pulau Komodo.

Pulau itu adalah habitat kepada biawak komodo yang digelar sebagai naga. Biawak komodo (Varanus komodoensis) atau kerap disebut komodo adalah biawak terbesar di dunia.

Panjangnya mencapai tiga meter dengan berat antara 70 hingga 150 kilogram.

Pulau Komodo dan Pulau Rinca merupakan satu-satunya kawasan yang memberi peluang kepada pelawat melihat biawak komodo di habitat asalnya.

Kunjungan ke pulau tersebut cukup istimewa kerana pengunjung dapat melihat haiwan yang jarang ditemui dan terancam itu.

Saat pertama kali menjejakkan kaki di Pulau Komodo, penulis berasa agak janggal disebabkan atmosfera yang menakutkan.

Walaupun pulau itu terletak di salah satu lokasi yang paling menakjubkan di dunia, Taman Negara Komodo kelihatan tidak ubah seperti padang jarak padang terkukur.

Filem seram

Suasana kering dan berdebu dengan pokok-pokok mati akibat cuaca panas boleh dilihat di mana-mana sahaja. Ia diburukkan lagi dengan lambakan kawanan burung gagak yang berterbangan.

Suasana itu tidak ubah seperti dalam filem seram. Adakah kami takut? Kami sebenarnya tidak takut, sebaliknya berasa cemas.

Lebih-lebih lagi apabila pertama kali melihat anak komodo melintasi jalan secara perlahan-lahan. Walaupun 100 meter jauhnya, perasaan gementar tetap ada.

Dalam benak fikiran, saya sentiasa berfikir, pulau itu ‘diperintah’ oleh komodo dan kami hanya pelawat yang diberi kebenaran seketika untuk melawat.

Kami akhirnya tiba di kem penginapan dan disambut oleh para petugas renjer di pulau itu. Kami diberikan pengenalan ringkas mengenai aktiviti di situ.

Salah satu perkara yang ditekankan oleh renjer kepada kami sewaktu berada di pulau tersebut adalah sentiasa berada dalam kumpulan.

Selesai taklimat, kami bergerak menuju ke salah satu trek untuk meneroka habitat biawak komodo dengan ditemani dua renjer.

Setiap seorang daripada kami diberikan sebatang kayu panjang untuk mempertahankan diri apabila diserang biawak komodo.

Sebelum ini, seorang pelancong telah diserang komodo. Menurut cerita daripada renjer itu, pelancong malang tersebut gagal berjalan bersama kumpulan selepas berhenti seketika untuk mengikat tali kasut.

Selepas itu, renjer memulakan pencarian sebelum menemui kasut dan kamera mangsa. Badannya masih gagal ditemui sehingga hari ini.

Justeru, penting untuk sentiasa berada dalam kumpulan dan berwaspada dengan sifat agresif haiwan reptilia itu.

Di Pulau Komodo, para pelawat sebolehnya ingin melihat aktiviti biawak gergasi itu, namun kami hanya dapat melihat makanannya iaitu babi liar dan rusa.

Walaupun agak kecewa, saya tetap berpuas hati dan gembira kerana dapat melihat habitat haiwan itu secara dekat.

Salah satu cara untuk melihat komodo dalam pemandangan yang cantik adalah dengan berjalan mendaki puncak bukit.

Hari kian gelap, kami beransur pulang ke kem. Sebaik tiba di kem, kami dikejutkan dengan seekor komodo besar di sebelah dapur kem.

Kami semua berasa sangat gembira sebelum merakamkan kelibatnya. Dalam ketakutan itu, kami dapati terdapat seekor lagi komodo di sebelah kanan dapur tersebut.

Kemudian, salah seorang daripada kami menunjukkan seekor lagi komodo di situ. Rupa-rupanya haiwan tersebut datang ke lokasi itu secara berkumpulan.

Loceng amaran dibunyikan. Namun, kami secara berhati-hati terus merakam gambar haiwan zaman dinosaur itu.

Kebanyakan biawak komodo terpaksa tinggal dalam cuaca panas. Jadi, mereka gemar mencari kawasan lebih sejuk seperti tapak perkhemahan.

Disebabkan itu, biawak komodo tidak mempedulikan kehadiran kami di sekeliling mereka. Ini memberi peluang yang lebih baik untuk merakamkan aksi haiwan itu.

Makan hidup-hidup

Keesokannya, kami meneruskan perjalanan ke Pulau Rinca iaitu salah satu habitat biawak komodo. Di sana, penulis mempelajari beberapa fakta menarik mengenai komodo.

Selain komodo, Pulau Rinca turut dihuni burung gagak, monyet dan buaya.

Namun, siapa yang peduli dengan buaya sekiranya anda berpotensi dimakan oleh komodo?

Kami mempelajari beberapa perkara menarik mengenai komodo. Salah satunya ialah mangsa mereka dimakan secara keseluruhan secara hidup-hidup.

Tempoh pencernaan komodo sangat panjang sehingga menyukarkan renjer mengesan jenis makanannya.

Selepas mengetahui fakta itu, pandangan penulis mula terarah kepada najis komodo yang terdapat di pulau tersebut.

Semua orang tahu bahawa biawak komodo beracun. Ia tidak perlu bersusah payah membunuh anda kerana bakteria pada mulutnya sudah cukup untuk berbuat demikian.

Orang yang terkena racun komodo akan jatuh sakit sebelum mati secara perlahan-lahan.

Bakteria itu terbentuk dari semasa ke semasa. Justeru, anak komodo juga boleh membunuh tanpa perlu mencapai usia tiga atau empat tahun.

Salah seorang renjer memberitahu penulis bahawa anak komodo juga gemar memanjat tingkap sebelum masuk ke dalam rumah.

Bayangkan, jika anda bangun pagi dan seekor komodo berada di atas badan. Jadi, pulau itu amat tidak sesuai didiami oleh manusia.

Ketika menyelusuri Pulau Rinca, kami berpeluang melihat sarang komodo sambil seekor komodo betina menyembunyikan telurnya.

Sarang komodo terletak di dalam lubang tanah yang digali. Menariknya, beberapa lubang kosong turut dibina sebagai umpan kepada pemangsa.

Selepas penat menjelajah, kami kembali ke bot dalam keadaan selamat tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak ingini.

Peluang melihat biawak komodo di habitat semula jadi adalah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.