Walaupun telah diberi penerangan dan sedikit latihan oleh jurulatih menyelam, rasa gementar itu tetap hadir tatkala dia ingin turun di kedalaman sekitar hampir lapan meter di dasar laut.

“Saya cuba bertenang dan meyakinkan diri bahawa saya boleh melakukannya,” kata Muhammad Affirul Akmal ketika mengikuti rakan-rakannya menyelam skuba di Pulau Perhentian, Terengganu baru-baru ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Shahbandaraya di Klang, Selangor itu pada mulanya ragu-ragu untuk melakukan aktiviti discover scuba diving (DSD).

Namun, setelah diyakinkan oleh rakan-rakan yang lain bahawa dia boleh melakukannya, Muhammad Affirul Akmal memberanikan diri untuk mencuba.

“Pada awalnya, saya berasa kekok untuk bernafas di dalam air menggunakan bantuan oksigen. Tekak saya terasa kering.

“Namun, lama kelamaan saya berasa selesa untuk menyelam ke dasar laut,” jelasnya.

Sambil dibantu jurulatih menyelam, Muhammad Affirul Akmal dibawa untuk meneroka dasar laut berhampiran Teluk Keke di Pulau Perhentian.

“Melihat sendiri khazanah dasar laut dan menyelam di samping ikan menghadirkan suatu perasaan yang sukar untuk diungkap dengan kata-kata.

“Setelah menyertai aktiviti DSD ini, saya memperoleh keyakinan untuk mendapatkan lesen menyelam. Ini kerana saya boleh menerokai dasar laut yang lebih dalam selepas ini,” jelasnya.

DSD merupakan satu aktiviti yang memberi peluang kepada individu di luar sana mencuba aktiviti menyelam.

Pengalaman

Tanpa perlu mengambil lesen menyelam, mereka juga boleh melakukan aktiviti tersebut. Mereka boleh menyelam pada kedalaman tidak melebihi 12 meter.

Dalam pada itu, Ishom Noor Mohammad Noor, 36, berkata, dia menyertai aktiviti DSD di Pulau Perhentian kerana terpengaruh dengan ajakan rakan-rakannya.

Jelasnya, ada rakan-rakannya itu telah memiliki lesen menyelam dan sering melakukan aktiviti tersebut.

“Mereka ada menunjukkan gambar ketika berada di dasar laut semasa menyelam dan ia menarik perhatian saya.

“Secara kebetulan, mereka berkunjung ke Pulau Perhentian untuk menyelam dan saya mengambil keputusan menyertai mereka,” jelas Penolong Pegawai Tadbir itu.

Dalam pada itu, Ishom Noor menjelaskan, ia adalah pengalaman pertamanya menyelam di dasar laut.

“Pada awalnya, saya berasa sedikit panik tetapi hasil bantuan jurulatih dan penyelam berpengalaman lain, saya dapat mengawal situasi itu.

“Walaupun hanya menyertai aktiviti DSD, kami juga diajar beberapa kemahiran lain ketika menyelam seperti mencuci topeng muka di dasar laut,” jelasnya.

Ishom Noor berkata, aktiviti DSD memberi pendedahan kepada individu yang mahu berjinak-jinak dengan dunia menyelam skuba.

Dia sendiri mempunyai keinginan untuk mengambil lesen menyelam setelah melakukan aktiviti tersebut.

Risiko

“Apabila berada di dasar laut, hati saya bertukar gembira. Saya dapat melihat banyak hidupan marin yang tidak pernah ditemui sebelum ini. Ia hanya boleh ditemui apabila kita menyelam.

“Walaupun ada rasa gementar kerana pertama kali cuba menyelam, perasaan itu hilang apabila kita dapat melihat panorama indah di dasar laut,” katanya.

Terdapat banyak hidupan laut boleh ditemui di dasar laut Pulau Perhentian seperti pelbagai spesies ikan serta terumbu karang.

Tidak dapat dinafikan, aktiviti menyelam kini semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda yang mahu menguji adrenalin diri.

Bagaimanapun, aktiviti menyelam skuba itu turut mempunyai risiko yang tersendiri.

Jurulatih menyelam skuba, Nazrul Azha Abu Hassan, 37, berkata, individu yang berminat dengan aktiviti itu boleh menyertai DSD terlebih dahulu.

Jelasnya, melalui DSD ini, mereka boleh mengetahui sama ada betul-betul bersedia untuk ke peringkat yang lebih lanjut.

“Peserta akan didedahkan terlebih dahulu tentang kegunaan setiap kelengkapan menyelam skuba seperti tangki oksigen, jaket kawalan imbangan badan atau bouyoncy control device (BCD), topeng muka dan sirip kaki.

““Selepas itu, mereka akan didedahkan dengan beberapa kemahiran menyelam terlebih dahulu di kawasan cetek sebelum dibawa menyelam di kawasan yang lebih dalam.

“Kedalaman maksimum untuk DSD ialah 12 meter dan mereka akan ditemani oleh jurulatih berkelayakan serta berpengalaman,” katanya.

Kebiasaannya, mereka yang melakukan DSD akan menyelam antara 30 hingga 45 minit di dalam dasar laut.

Tambahnya, DSD mudah untuk dilakukan kerana apa yang penting seseorang itu haruslah tenang serta tidak panik ketika berada di dasar laut.

Bagi individu yang mempunyai keyakinan untuk menyelam, mereka boleh ke peringkat seterusnya dengan mengambil lesen menyelam laut terbuka (open water).

Pada peringkat itu, mereka akan didedahkan dengan teori serta praktikal yang lebih lanjut mengenai aktiviti menyelam.

Setelah mendapat lesen, mereka disarankan menyelam pada kedalaman 18 meter.

Dalam pada itu, Nazrul Azha berkata, Pulau Perhentian merupakan antara lokasi terbaik bagi mereka di luar sana untuk menyelam skuba.

Sementara itu, seorang pelancong Poland, Robert Wojcicki, 47, berkata, Pulau Perhentian antara lokasi menyelam yang mempunyai panorama dasar laut yang menarik.

“Pulau ini bukan hanya mempunyai pantai yang memutih dan air yang jernih tetapi lokasi menyelam juga begitu menakjubkan.

“Banyak hidupan laut yang boleh dijumpai di lokasi-lokasi menyelam yang terdapat di Pulau Perhentian,” kata Wojcicki.

Tambahnya, layanan mesra yang diberikan oleh pengendali-pengendali pusat menyelam di pulau itu juga amat memuaskan.