Berkonsepkan teater yang diadakan di atas sebuah kapal yang agak besar yang dibina khas di Jalan Parameswara, Kompleks Sejarah Bandar Hilir, tempat ini ternyata memberikan suatu kelainan kepada pengunjung.

Di atas replika kapal yang diberi nama Bahtera Merdeka inilah diadakan teater tentang Panglima Awang dan Putri, Parameswara dan Puteri Hang Li Po. Teater ini mendapat respons yang menggalakkan daripada pengunjung.

Kini, Melaka Alive turut mempunyai tarikan terbaharu iaitu The Pirate Adventure. Jika teater dipersembahkan di atas kapal, The Pirate Adventure ini dibuat di dalam kapal.

Ini bermakna pengunjung akan memasuki perut kapal untuk menikmati suasana sebenar pengembaraan lanun.

Menurut Pengarah Urusan Nuevo Attraction & Destination Sdn. Bhd., Kenny Ngoi Si Cheng, The Pirate Adventure menampilkan pengalaman luar biasa untuk para pelancong merasai dan menelusuri kehidupan lanun suatu ketika dahulu.

Katanya, ia merupakan projek pameran interaktif yang mengandungi pelbagai elemen kejutan dan kesan khas bagi menghidupkan suasana pengembaraan lanun.

“Pengunjung akan menemui pelbagai jalan cerita tentang kehidupan lanun di setiap sudut yang pastinya memberi keterujaan dan kejutan dengan suasana yang mencemaskan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Banda Hilir, Melaka baru-baru ini.

Kejutan

Tambahnya lagi, pengunjung akan dibawa masuk dalam satu barisan dan berjalan dari satu hentian ke hentian yang lain yang setiap satunya memberi kejutan dan menampilkan hiasan menarik.

“Hiasan dan barangan yang diletakkan di setiap hentian kelihatan hidup dengan seorang lanun bertindak selaku pemandu pelancong yang membawa rombongan meneroka hentian terbabit.

“Di penghujung pengembaraan, pengunjung berpeluang menonton tayangan video tentang pelayaran lanun membelah samudera dengan bunyi efek khas dan lampu menggamitkan lagi suasana.

“Selain itu, pengunjung dibenar merakam gambar dengan memakai kostum lanun dan membeli cenderamata di kedai The Pirate Adventure selepas tamat pengembaraan,” ujarnya.

Berbicara soal harga tiket, Kenny Ngoi menjelaskan, tiket masuk bagi dewasa berharga RM23, manakala untuk kanak-kanak pula yang berumur empat hingga 12 tahun dan warga emas 60 tahun ke atas hanya perlu membayar RM17.

“Jangan lupa bawa kad pengenalan atau MyKad. Hal ini kerana terdapat diskaun yang akan diberi kepada pengunjung yang menunjukkan MyKad sewaktu membeli tiket di kaunter tiket yang terletak di pintu masuk Melaka Alive.

“Untuk mengelakkan beratur panjang, anda boleh juga mendapatkan tiket secara online dengan melayari www.melakaalive.com.my selain berpeluang mendapat diskaun dengan potongan 20 peratus daripada harga asal,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai tarikan Melaka Alive itu sendiri, Kenny Ngoi memberitahu, tempat berkenaan membuatkan bandar yang kaya dengan sejarah itu dapat diakses oleh orang ramai tanpa mengira umur dan latar belakang.

“Bandar ini mempunyai potensi yang besar dalam bidang pelancongan, terdapat banyak sejarah dan penduduk di sini adalah berbilang budaya yang memberi keunikan tersendiri.

“Oleh itu, kami mahu memainkan peranan untuk meraikan sejarah ini seterusnya memajukan ekonomi tempatan” ujarnya.

Jika anda ke Melaka terutama ke Bandar Hilir, The Pirate Adventure ini harus anda singgah. Alami sendiri keterujaan anda melalui perut kapal yang gelap dan menakutkan dengan kejutan-kejutan yang tidak anda sangka.