Baju hujan membaluti tubuh, kamera disimpan kemas dalam beg berzip dan kami menggagahkan diri untuk berjalan kaki di sepanjang jalan Old Downtown Havana semata-mata mahu ke kawasan pelancongan terkenal di Cuba iaitu Malecon.

Sekali imbas, Malecon tidak ubah seperti kota noda dengan kupu-kupu malam di jalanan. Ia seperti yang digambarkan dalam kebanyakan filem Hollywood, namun bayangan ketara itu tidak menjejaskan eksplorasi sehari suntuk kami.

Pengalaman menjejakkan kaki di Cuba, merasai sendiri suasana persekitaran rakyat yang berbahasa Sepanyol dan memahami cebisan sejarah di negara itu pada tahun lalu masih segar dalam ingatan.

Begitupun, kami berasa sedikit terkilan kerana terpaksa meninggalkan Cuba tanpa menjelajah lebih banyak kawasan di Pulau Caribbean yang terkenal dengan keindahan.

Berpandukan papan tanda arah, kami berjalan kaki selama 20 minit melalui kawasan kejiranan dan deretan kedai sebelum tiba ke Old Havana.

Bangunan yang dibina pada 1950-an itu diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Tapak Warisan Sejarah. Dahulunya, Old Havana hanya dicemari lakaran seni grafiti di dinding jalan-jalan, timbunan sampah dan runtuhan bangunan.

Kereta lama



Deretan kereta antik 1950-an diletakkan di bahu jalan di Havana,

Selain itu, eksplorasi pelancong menelusuri sejarah di Cuba ibarat tidak lengkap tanpa mengamati cenderamata yang boleh didapati di kebanyakan kedai kecil di sana.

Bukan itu sahaja, pelancong juga tidak melepaskan peluang bergambar bersama kereta lama era 1950-an yang masih banyak diletakkan di bahu jalan.

Jalan-jalan di Old Havana penuh dengan sejarah yang tersendiri sehingga memukau pelancong.

Kami meneruskan eksplorasi menuju ke Malecon, Havana iaitu tebing panjang melengkung di sepanjang pesisiran pantai yang turut dipengaruhi elemen budaya Cuba.

Kami juga sempat meluangkan masa untuk duduk dan menikmati keindahan itu sambil menyaksikan keletah wanita tempatan bermain sesama mereka sambil mengenakan pakaian renang tanpa menghiraukan kehadiran pelancong.

Saya turut terpikat dengan adegan pasangan warga emas yang berpegangan tangan sambil memerhatikan ke arah pantai Key West, Florida, Amerika Syarikat (AS) yang terletak 166 kilometer di utara Cuba.

Walaupun kedudukan AS dan Cuba tidak jauh, aspek politik, budaya, bahasa dan makanan adalah jauh berbeza. Saya dapat lihat perbezaan itu dengan jelas pada setiap langkah menyusuri tebing Malecon.

Namun, keasyikan melihat pasangan warga emas itu terganggu seketika setelah muncul seorang lelaki Cuba mengumpul tin-tin dari tong sampah di pinggir jalan.

Ketenangan



Lukisan grafiti di sepanjang jalan di Havana menggamit perhatian pelancong.

Tindakan lelaki itu mencuit perhatian saya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perihal pengutip sampah tersebut, namun persoalan itu hanya terbuku dalam hati tanpa diutarakan kepadanya.

Biarpun Cuba merupakan antara pulau yang paling padat dengan penduduk di Pulau Caribbean iaitu populasi seramai 11 juta penduduk, angka pengunjung di Malecon berkurang pada setiap bulan Februari ekoran cuaca sejuk dan hujan.

Pengalaman melawati Malecon sangat memberi kesan dalam ingatan saya dan keterujaan itu dapat disatukan secara global serta semula jadi.

Setiap pengunjung pasti tidak mahu ketinggalan menikmati ketenangan hasil tiupan angin sejuk, pantai yang luas terbentang dan keindahan ruang terbuka di Cuba.

Namun, di sebalik keindahan itu, terdapat kisah dalam setiap ukiran senyuman penduduk Kota Lama Cuba dan Malecon yang sangat berbeza serta menarik untuk diteroka.