Namun Mohamad Shah Afindi Ismail, 29, memilih untuk ke Menara Alor Setar yang terletak kira-kira 15 kilometer (km) dari rumahnya seawal pukul 7 pagi.

Kunjungannya ke Menara Alor Setar yang terletak di pusat bandar raya Alor Setar, Kedah pada pagi itu turut ditemani oleh isteri dan anaknya.

Tujuan dia sekeluarga ke lokasi tersebut adalah untuk menyertai larian amal mendaki anak tangga iaitu Charity Towerthon.

Acara Charity Towerthon anjuran pelajar semester lima Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat dari Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Alor Setar.

Menurut Shah Afindi, antara sebab dia ingin menyertai larian itu adalah untuk mencabar keupayaan dirinya.

“Saya sebelum ini sering menyertai acara larian maraton. Ini merupakan kali pertama saya menyertai acara towerthon.

“Bagi saya ia merupakan pengalaman baharu dan ternyata memerlukan stamina yang tinggi untuk menyertai acara sebegini,”jelasnya.

Acara yang berlangsung pada pukul 8 pagi itu disertai lebih daripada 100 peserta dan ia bermula di pekarangan menara.

Para peserta dikehendaki berlari sejauh 1.4 kilometer (km) terlebih sebelum mula mendaki sebanyak 467 anak tangga untuk sampai ke atas puncak menara.

Shah Afindi menjelaskan, bukan mudah untuk berlari menaiki anak tangga kerana dan ia memerlukan kekuatan kaki yang kuat.

“Apa yang mencabar ialah kami perlu berlari sejauh 1.4km terlebih dahulu. Bayangkan, tenaga sudah dihabiskan di situ sebelum mendaki anak tangga ia begitu mencabar mental dan fizikal.

“Ada dalam kalangan peserta yang mengalami kekejangan kaki ketika berlari menaiki anak tangga untuk ke puncak menara kerana tidak cukup latihan,” katanya yang mengusahakan sebuah bengkel membaiki penghawa dingin kereta di Alor Setar, Kedah.

Ruang tangga yang sempit menyukarkan para peserta untuk memotong antara satu sama lain ketika berlari menaiki anak tangga.

Ditambah pula suhunya yang agak panas menyukarkan para peserta.

Shah Afindi menjelaskan, walaupun tumpuannya lebih terarah kepada larian maraton atau separa maraton, namun dia lebih puas menyertai pertandingan larian anak tangga kerana ia memerlukan kekuatan minda dan stamina yang tinggi.

“Laluan maraton biasanya agak rata dan landai, tetapi larian menara memerlukan setiap peserta meniti ratusan anak tangga sebelum sampai ke puncak.

 

Stamina

“Lagipun, larian ini memerlukan strategi sama ada untuk memecut atau mengekalkan rentak larian. Pada masa sama, ia mendedahkan pelari kepada risiko kecederaan jika tersilap langkah,” katanya yang berhasrat untuk menyertai lagi program sedemikian jika dianjurkan kelak.

Tambahnya, sebagai persediaan untuk menyertai acara tersebut dia juga membuat latihan seminggu awal.

Dia berlari menaiki tangga di sebuah bangunan kosong bagi membolehkan staminanya sentiasa berada pada tahap terbaik.

Dalam pada itu, bagi seorang lagi peserta iaitu Nurfarhanis Abdul Rahman, 19, menjelaskan, dia tertarik untuk mencuba larian anak tangga kerana cabarannya yang berbeza.

Tegasnya, tiada ungkapan dapat menggambarkan kepuasannya sebaik sahaja berjaya menawan puncak menara tersebut dalam masa hampir 40 minit.

“Saya rasa teruja kerana berjaya mencabar diri untuk melakukannya bersama peserta lain menawan puncak menara dengan menaiki anak tangga.

“Program seumpama ini merupakan satu bentuk riadah yang dapat membentuk masyarakat supaya mengamalkan gaya hidup sihat,” jelas pelajar semester kedua Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis itu.

Nurfarhanis yang mengambil jurusan perkhidmatan makanan halal menjelaskan, dia menyertai program tersebut bersama tiga rakannya yang lain.

Silaturrahim

Jelasnya, dia mengetahui tentang penganjuran program tersebut melalui laman sosial Instagram.

“Ini merupakan kali pertama saya menyertai acara larian menaiki tangga ini.

“Saya tidak melakukan sebarang latihan atau persiapan untuk menyertai program ini dan bersyukur dapat menyempurnakannya tanpa sebarang masalah,” katanya.

Dalam pada itu, Nurfarhanis memaklumkan, dengan menyertai acara tersebut ia menjadi permulaan yang baik bagi dia dan peserta lain untuk meningkatkan kekuatan serta stamina diri.

“Aktiviti riadah seperti ini adalah sesuatu yang amat baik untuk kesihatan kerana ia dapat menyihatkan tubuh badan,” tegasnya.

Melalui aktiviti sedemikian, ia sedikit sebanyak dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Peserta yang menyertai larian ini terdiri daripada mereka yang masih muda dan saya yakin melalui aktiviti seperti ini, ia menjadi satu platform untuk kami berkenalan antara satu sama lain” katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa promosi Charity Towerthon Nurul Nabiha Anuar, 21, berkata, penganjuran program sedemikian adalah bagi memenuhi salah satu subjek wajib pengurusan acara mereka pada semester lima.

Jelasnya, idea untuk menganjurkan program sedemikian selepas berlangsungnya acara KL Tower International Towerthon Challenge di Menara Kuala Lumpur yang berlangsung pada Mei tahun lalu.

“Setelah menyenarai pendek beberapa tempat di Alor Setar, kami bersetuju untuk memilih Menara Alor Setar.

“Kami percaya bahawa Menara Alor Setar adalah salah sebuah lokasi yang paling popular di kalangan pelancong luar. Oleh itu dalam usaha memberi peluang kepada penduduk setempat untuk bersama menaiki menara ini kami menganjurkan program ini,” kata pelajar jurusan pengurusan dan teknologi pejabat itu.

Selain itu, matlamat lain penganjuran program ini adalah untuk membina hubungan dua hala antara pelajar KPTM Alor Setar dan masyarakat umum.

Menurut Nurul Nabiha, melalui yuran pendaftaran program tersebut sebanyak RM25 seorang, orang ramai juga berpeluang menyalurkan derma kepada golongan yang memerlukan

Sebanyak RM5 akan ditolak daripada yuran penyertaan untuk disalurkan kepada Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (Person).

“Kami percaya orang ramai akan lebih teruja untuk menyertai acara ini kerana ia menjurus kepada hal-hal kebajikan,” tegas Nurul Nabiha.