Aktiviti itu diminati kerana ia dapat membina semangat kerjasama dan berpasukan yang tinggi selain memberi keseronokan serta cabaran untuk melepasi jeram atau arus sungai yang deras.

Salah seorang peserta, Maliki Mat Jusoh, 35, berkata, aktiviti itu sesuai untuk individu berjiwa kental dan meminati sukan lasak.

“Ini kerana aktiviti ini memerlukan keberanian untuk bermain dengan air dan jeram yang berbahaya,” kata Maliki yang mengikuti program berakit arus deras di Sungai Slim, Ulu Slim, Perak baru-baru ini.

Seramai 30 orang peserta mengikuti program anjuran Summit Attack Resources (SAR) itu.

Penganjur aktiviti, Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa, 36, berkata, SAR sering mengendalikan aktiviti itu terutamanya pada hujung minggu dan cuti umum.

“Selain di Sungai Slim, Ulu Slim, Perak, aktiviti ini turut diadakan di Sungai Selangor, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

“Kawasan ini dipilih kerana ia berdekatan dengan Kuala Lumpur di samping cabaran yang lebih mengujakan.

Taklimat keselamatan

“Aktiviti berakit sejauh hampir enam kilometer ini mampu disempurnakan dalam tempoh tiga hingga empat jam, ia bergantung kepada arus sungai dan jumlah peserta serta bot yang digunakan,” katanya.

Mohd. Fakhrul Munir berkata, sebelum memulakan kayuhan, setiap peserta akan diberi taklimat keselamatan oleh jurupandu yang berpengalaman dan bertauliah.

Ia bagi memastikan keselamatan peserta terjamin dan bersedia untuk bertindak sekiranya menyelusuri arus deras atau sebagainya.

Peserta juga dibekalkan dengan peralatan persendirian seperti jaket keselamatan, topi serta pendayung sebagai langkah keselamatan.

Seorang lagi peserta, Siti Sarah Abd. Karim 28, berkata, dia berasa teruja kerana dapat melakukan aktiviti lasak itu setelah berehat panjang sejak melahirkan anak.

“Walaupun saya terjatuh ke dalam sungai dan hanyut dibawa arus deras, saya dapat mengawal diri dengan baik kerana mendapat tunjuk ajar daripada jurupandu semasa taklimat.

“Ini amat membantu dan saya sangat seronok serta berpuas hati dengan penganjuran program ini,” katanya.

Selain aktiviti berakit arus deras, SAR turut aktif dan berpengalaman luas mengendalikan sukan-sukan lasak yang lain seperti mendaki gunung di dalam dan luar negara, sukan terjun payung, paragliding dan selam skuba

Ini kerana, aktiviti tersebut mendapat permintaan yang menggalakkan daripada individu yang sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dan sukakan cabaran.