Bagaimanapun, tren yang dinaiki tidak sama dengan tren biasa. Ia dikenali sebagai Shinkansen atau tren berkelajuan tinggi yang turut dikenali sebagai bullet train versi Jepun.

Sebaik sahaja sampai di stesen bas yang terletak berhadapan pintu masuk utara Stesen Kereta Api Kyoto, berdepan jalan Karasuma, rasa teruja begitu jelas terasa.

Seni bina bangunan stesen kereta api yang diperbuat daripada kaca dan logam itu sangat terserlah dan kelihatan baharu, sama seperti kebanyakan bangunan lain di Jepun. Ini menggambarkan budaya penyelenggaraan dan penjagaan kebersihan yang baik di negara itu.

Dalam bangunan, keadaan agak sesak dengan penumpang kerana stesen itu bersambung dengan pusat beli-belah serta pelbagai kemudahan lain.

Stesen itu menjadi hentian bagi tren-tren daripada pelbagai laluan termasuk Nara Line, Kyoto Line, JR Sagano Line, Hokuriku Line, Kinokuni Line, Biwako Line, Kosei Line, Tokaido/Chuo Line dan tren berkelajuan tinggi Tokaido Shinkansen dari Shin Osaka ke Tokyo.

Stesen Kyoto juga bersambung dengan jaringan kereta api bawah tanah di bahagian Timur melalui laluan bawah tanah.

Penulis berada di Jepun pada akhir Februari sehingga awal Mac lalu untuk lawatan kerja anjuran Malaysia Nuclear Power Cooperation (MNPC) dengan kerjasama JAIF International Cooperation Centre (JICC) Jepun.

Pegawai JAIF Hiroki Takimoto yang mengiringi kumpulan kami telah terlebih dahulu telah menempah tiket perjalanan sehala Tokaido Shinkansen dari Kyoto ke Tokyo bernilai Yen 13,080 (kira-kira RM472) bagi setiap orang.

Memandangkan kumpulan kami sampai agak awal, kami berpeluang melihat beberapa buah Shinkansen di stesen itu.

Tren-tren Shinkansen yang panjang, berwarna putih dan kepalanya mirip bentuk kepala ular menggamit perhatian kami semasa tiba dan berlepas di stesen itu.

Bebas kemalangan

Ruang dalam tren agak luas dengan susunan tempat duduk 3+2 untuk kelas standard. Laluannya lebar, rak simpanan bagasi pada bahagian atas serta ruang letak kaki yang luas dan selesa.

Penulis yang memilih tempat duduk di tepi tingkap agak terkejut apabila mendapati tidak ada tali pinggang keledar untuk penumpang.

Namun, penulis menaiki tren laju tanpa tali pinggang keledar. Sebenarnya tidak perlu pun tali pinggang. Shinkansen beroperasi berdasarkan ciri-ciri Crash Avoidance iaitu bebas daripada sebarang kemungkinan berlaku kemalangan.

Percaya atau tidak, rekod menunjukkan tidak pernah berlaku sebarang kecelakaan yang meragut nyawa sejak ia mula beroperasi 53 tahun lalu.

Tambahan pula, Shinkansen bergerak menggunakan landasan khusus dengan kelajuan maksimum 320 kilometer sejam (km/j), sama dengan tren berkelajuan tinggi TGV di Peranchis dan ICE di Jerman.

Purata kelewatan yang dicatatkan oleh Central Japan Railway Company (JR Central) pada 2014 untuk Shinkansen adalah 54 saat. Begitulah cekapnya perkhidmatan kereta api di Jepun.

Penulis menaiki tren dari siri N700 yang mempunyai kelajuan maksimum 285 km/j dan berhenti di dua buah stesen iaitu Nagoya serta Shin Yokohama dalam perjalanan selama dua jam ke Tokyo.

Persinggahan di stesen-stesen itu membolehkan para penumpang bertukar ke tren Shinkansen lain untuk menyambung perjalanan ke destinasi pilihan di seluruh Jepun.

Perjalanan bukan sahaja sangat lancar dan selesa tetapi menghidangkan pemandangan yang mendamaikan ketika melalui beberapa buah bandar serta kawasan desa Jepun dengan panorama menarik.

Pemandangan di luar tingkap yang silih berganti dengan cepat dapat memberi gambaran akan kelajuan tren itu.

Terdapat papan maklumat elektronik di setiap gerabak yang menunjukkan stesen seterusnya, waktu dan suhu yang mencecah serendah 4 darjah Celsius.

Tempat duduk serta bahagian dalam gerabak kelihatan baharu dan bersih. Malah, tandasnya serba moden dan bersih, begitu juga bilik perokok.

Suasana dalam tren senyap daripada gangguan bunyi, gegaran dan kekasaran (NVH) yang sangat minimum, seperti ERL di Malaysia yang menyambungkan ibu negara dengan KLIA1 dan KLIA2 di Sepang.

Destinasi

Para penumpang yang kebanyakannya penduduk tempatan masing-masing membisu melayan perasaan, terlalu senyap bak kata orang jika pin terjatuh pun boleh didengari.

Bagaimanapun, keheningan itu berderai apabila kumpulan kami yang duduk di sebelah kiri bertukar riuh sebentar.

Ini berlaku ketika Gunung Fuji dengan puncaknya yang dilitupi salji muncul dari tingkap tren, sehinggakan penulis dan rakan-rakan terpukau melihat pemandangan indah itu.

Perjalanan itu berakhir di stesen Shinagawa di Tokyo.

Bagi saya, perjalanan dengan Shinkansen itu amat mengujakan serta penuh kenangan.

Walaupun tiket perjalanan itu agak mahal, saya tidak keberatan untuk menaiki tren itu sekali lagi.

Shinkansen adalah sistem rel berkelajuan tinggi yang pertama dibangunkan oleh sekumpulan jurutera tren Jepun dan mula beroperasi pada 1964 antara Tokyo dan Osaka.

Tren berkelajuan tinggi itu mempunyai rangkaian landasan menjangkaui 2,700 kilometer merentasi seluruh Jepun dan masih terus menambah lagi laluannya.

Shinkansen dilengkapi dengan teknologi tahan gegaran bumi di Jepun dan setakat ini berjaya mengharungi pelbagai skala gegaran yang pernah berlaku di negara itu.
– Bernama