Jika ada kelapangan masa, dia akan memancing di kolam-kolam ikan di sekitar kawasan Ayer Hitam, Kedah.

Memancing sudah sebati dalam dirinya sejak remaja lagi dan kini walaupun sudah berkahwin dan memiliki tiga cahaya mata dia masih meneruskan hobi itu.

“Bagi saya memancing ini memberi kepuasan dan ketenangan yang tersendiri.

“Saya rasa seronok bila memancing terutamanya ketika tali pancing disambar ikan,” katanya.

Tambahnya, selain kolam dia juga sering memancing bersama rakan-rakannya di laut.

Namun baru-baru ini, Hasbullah telah membawa bersama anak dan isterinya untuk pergi memancing di Rockbund Fishing Chalet (Rockbund) yang terletak di Pulau Marina, Lumut, Perak.

“Selalunya apabila saya keluar memancing anak-anak dan isteri akan ditinggalkan di rumah.

“Ada masanya anak-anak ada menyuarakan hasrat untuk ikut saya pergi memancing. Saya mendapati orang ramai membawa keluarga memancing di Rockbund, jadi saya merasakan ada baiknya saya membuat perkara yang sama,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Rockbund merupakan satu lokasi yang ideal untuk memancing dan beriadah bersama keluarga.

Tidak dapat dinafikan memancing menjadi satu aktiviti riadah yang popular dalam kalangan masyarakat negara ini.

Namun kebiasaannya kaki-kaki pancing ini akan meninggalkan keluarga untuk melakukan aktiviti tersebut.

Bagi memberi peluang untuk mereka melakukan aktiviti tersebut bersama keluarga mendorong Pemilik Rockbund, Timothy Ding Ju Ming membuka calet tersebut.

Rockbund menawarkan penginapan serta kemudahan yang lengkap untuk kaki pancing.

Mula dibuka pada penghujung tahun 2015, calet tersebut menjadi lokasi yang ideal untuk kaki pancing bersantai dan meluangkan masa bersama keluarga tersayang.

Ju Ming menjelaskan, calet itu dibina berhadapan dengan laut dan ia amat sesuai untuk mereka yang sukakan aktiviti memancing.

Penginapan

“Rockbund dilengkapi dengan 21 buah calet yang berkonsepkan kabin dan ia dicat dengan warna-warna yang berlainan seperti biru, kuning dan merah.

“Calet ini dibahagikan kepada dua jenis penginapan iaitu Superior dan Standard. Kedua-dua bilik ini sama dari segi saiz dan kemudahan. Bezanya, Superior dilengkapi televisyen dan ruang depan yang besar,” jelasnya.

Tambahnya, di setiap hadapan calet terdapat ruang yang luas untuk pengunjung bersantai atau melakukan aktiviti barbeku pada waktu malam.

Selain itu, Rockbund turut menyediakan kemudahan basikal untuk pengunjung bersiar-siar di kawasan sekitar.

Selain itu, pengunjung boleh mendapatkan peralatan untuk barbeku jika ingin berbuat demikian.

Bagi kaki pancing, calet itu juga turut menyediakan lebih 10 pelantar bagi memudahkan pengunjung untuk memancing.

Setiap pelantar boleh memuatkan antara enam hingga lapan pemancing.

Tempahan awal

Lampu juga disediakan di setiap pelantar bagi membolehkan pemancing memancing pada waktu malam.

Rockbund terletak di bahagian teluk dan ikan-ikan yang ada di kawasan itu termasuklah siakap, kerapu, jenahak dan pari.

Bagi menarik kedatangan ikan, tukun tiruan turut diletakkan di dasar laut berhampiran calet itu.

Sementara itu, Ju Ming menjelaskan, calet tersebut juga dilengkapi kafe yang dibuka pada pukul 4 petang hingga 1 pagi.

Kafeteria itu menawarkan pelbagai hidangan sama ada tempatan atau Barat untuk para pengunjung.

“Bagi pengunjung yang mendapat ikan dan mahukan ia dimasak, kafeteria ini boleh tolong memasak hasil tangkapan tersebut,” katanya.

Setiap hujung minggu Rockbund akan dikunjungi kaki-kaki pancing.

“Bagi mereka yang ingin datang ke Rockbund saya nasihatkan agar mereka melakukan tempahan awal bagi memudahkan urusan,” jelas Ju Ming.

Dalam pada itu, Ju Ming berkata, Rockbund terletak berhampiran dengan jeti untuk ke Pulau Pangkor.

Jelasnya, bagi ahli keluarga yang tidak menggemari aktiviti memancing mereka boleh memilih untuk pergi berjalan-jalan di pulau tersebut.

“Perkhidmatan feri untuk ke Pulau Pangkor beroperasi hingga malam dan selepas mengunjungi pulau tersebut mereka boleh kembali untuk menginap di Rockbund,” tuturnya.

Seorang pengunjung, Muhammad Mirza Mohd. Nazari, 25, berkata, Rockbund merupakan satu calet yang sesuai untuk mereka yang menggemari aktiviti memancing sambil bersantai bersama keluarga.

Jelasnya, jika membawa keluarga bersama untuk memancing di tengah laut mungkin sukar sekiranya mereka tidak menggemari aktiviti sedemikian.

“Namun di sini bagi yang gemar memancing mereka boleh memancing. Bagi mereka yang tidak gemar memancing mungkin boleh bersantai dan melakukan aktiviti-aktiviti lain di sini.

“Bagi saya Rockbund ini menjadi satu lokasi yang baik untuk mengadakan perhimpunan hari keluarga dan sebagainya. Ini kerana calet ini dilengkapi dengan kemudahan yang lengkap,” katanya.

Muhammad Mirza berkata, pemancing juga boleh memancing di pelantar di hadapan bilik.

“Anak-anak bebas untuk berlari di hadapan bilik kerana terdapat ruang yang luas untuk mereka bermain,” jelasnya.

Rockbund Fishing Chalet yang terletak di Pulau Marina, Lumut Perak menawarkan lokasi memancing mesra keluarga.