Misi kami ke Enrekang adalah untuk menawan puncak kelima tertinggi di Indonesia iaitu Rante Mario, Gunung Latimojong.

Ekspedisi Terengganu de’Latimojong yang dianjurkan oleh Pertubuhan Karyawan Kreatif Darul Iman ini disertai seramai 15 pengamal media.

Ekspedisi ini turut disertai oleh beberapa agensi kerajaan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Menteri Besar Terengganu serta Kelab Eksplorasi Jerangau Barat.

Perjalanan bermula dengan menaiki pesawat dari Kuala Lumpur menuju bandar Makassar yang mengambil masa selama tiga setengah jam.

Selepas tiba di sana, kami meneruskan perjalanan dengan menaiki lori selama empat jam dari bandar ke daerah Enrekang.

Sepanjang perjalanan, kami terpaksa berhimpit-himpit dalam sebuah lori bersama beg galas.

Ketika di Enrekang, kami memilih bermalam di Desa Karangan yang menjadi titik mula pendakian ke Gunung Latimojong.

Pada keesokan harinya, penulis bersama para pendaki lain memulakan pendakian selepas Subuh.

Berbahaya

Sepanjang 22 jam pendakian, kami terpaksa mengharungi pelbagai cabaran yang berbahaya dan memenatkan.

Cabaran pendakian bermula dari Pos Satu di Desa Karangan apabila peserta diuji dengan laluan yang sempit.

Bagi mengharungi laluan itu, para peserta memerlukan kekuatan tangan dan kaki untuk meniti tepi lereng bukit.

Pendaki juga terpaksa menahan cuaca pergunungan yang tidak menentu seperti hujan lebat, suhu mencecah 4 darjah Celsius serta angin kencang.

Bagaimanapun, keletihan menempuh cabaran tersebut sedikit terubat apabila disajikan dengan pemandangan indah sepanjang laluan.

Salah satu panorama yang berjaya mencuri tumpuan penulis dan rakan pendaki lain ialah hutan lumut.

Kami juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar di situ sebagai kenangan. Selepas hampir 10 jam mendaki, kami tiba di Pos Lima iaitu pada ketinggian 2,500 meter.

Disebabkan hari sudah hampir gelap, kami memilih untuk bermalam di situ sebelum meneruskan perjalanan pada keesokan harinya.

Seawal pukul 6 pagi, kami terus mendaki ke puncak. Berkat kesungguhan ditunjukkan, kesemua 12 peserta berjaya tiba di puncak Gunung Latimojong kira-kira pukul 12 tengah hari.

Kami sempat merakamkan detik manis berada di puncak dengan berkain batik serta memakai terendak sebagai simbolik warisan Melayu Nusantara.

Selepas berjaya menawan puncak setinggi 3,478 meter itu, kami turun kembali ke Desa Karangan.

Perkampungan tanah tinggi Desa Karangan merupakan penempatan turun-temurun nenek moyang mereka sejak ratusan tahun dahulu.

Aktiviti kebajikan

Kawasan tersebut menempatkan kira-kira 100 buah rumah dengan bilangan penduduk mencecah 500 orang. Rata-rata penduduk di situ merupakan suku Duri yang bekerja sebagai pemetik biji kopi, berkebun dan mencari hasil hutan.

Sepanjang berada di desa itu, kami menjalankan aktiviti kebajikan dengan menghulurkan sumbangan kepada 50 penduduk miskin.

Kami menghulurkan bantuan 30 kampit beras, wang tunai dan makanan ringan kepada penduduk serta menyampaikan cenderamata kepada Kepala Dusun Desa Karangan, Pak Sinu.

Penulis juga berpeluang menyantuni golongan memerlukan dan beramah mesra bersama penduduk kampung.

Kebanyakan mereka berasa amat terharu apabila pertama kali menerima sumbangan sedemikian.

Pengalaman mendaki Gunung Latimojong dan menyantuni Desa Karangan ternyata meninggalkan kesan mendalam kepada penulis.

Jika diberi kesempatan, penulis ingin kembali ke sini pada suatu hari nanti.