Bangunan tersebut adalah Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau turut digelar Masjid Beijing. Disebabkan keunikan serta kecantikan seni binanya, ia menggamit ramai pengunjung serta pelancong untuk singgah ke situ.

Bentuk bumbungnya yang melengkung ke atas seakan-akan tokong begitu mencuri tumpuan.

Keindahan seni bina masjid itu turut mencuri tumpuan seorang pengunjung dari Terengganu, Zawawi Mohamed, 51, yang telah beberapa kali bertandang ke situ bagi menunaikan solat secara berjemaah.

“Saya mesti akan singgah ke sini apabila menghantar anak yang mengikuti pengajian pondok di Pusat Tahfiz Haji Lah Banggol Kulim, Pasir Mas.

“Seni binanya yang unik membuatkan saya berasa tenang untuk beribadat di sini. Saya percaya ia juga menjadi tumpuan dalam sektor pelancongan khususnya di negeri Kelantan dan Malaysia amnya,” ujarnya ketika ditemui Horizon di masjid tersebut baru-baru ini.

Menceritakan keunikan masjid itu, imamnya, Muhsin Abdullah, 36, berkata, reka bentuk Masjid Beijing itu menyerupai Masjid Niujie di Beijing, China yang dipercayai ber­usia lebih daripada 1,000 tahun.

Katanya, komponen terbesar masjid dua tingkat itu di tingkat atasnya adalah ruang sembahyang utama di tingkat atasnya boleh menampung 2,000 jemaah pada satu-satu masa.

“Sementara itu, di tingkat bawah pula terdapat sebuah ruang sokongan untuk kemudahan awam seperti dewan serba guna, dewan makan, klinik dan perpustakaan masjid. Selain itu, ia mempunyai empat pintu masuk ke dalam bangunan masjid untuk keselesaan jemaah,” ujarnya.

Terbuka

Muhsin yang menjadi imam hampir sembilan tahun di masjid berkenaan memberitahu, pelancong-pelancong luar dari Thailand atau yang mahu ke negara jiran itu serta mualaf Cina Muslim juga sering singgah ke masjid ini apabila melalui negeri Kelantan.

“Kita sentiasa terbuka untuk menerima kedatangan pelancong dengan memberikan penerangan mengenai masjid ini,” katanya.

Tambahnya, masjid turut dilengkapi satu ruang khas bagi penganjuran pelbagai aktiviti sampingan berbentuk sosial dan ekonomi, selain ba­ngunan tambahannya yang menempatkan sebuah kelas tadika dan kelas agama yang memuatkan 30 pelajar.

Menurutnya, pihak masjid turut menjemput imam dari negara China untuk mengimamkan solat tarawih di masjid ini.

“Kita mempunyai kelas tahfiz, tajwid dan al-Quran bagi memberikan pendidikan berbentuk keagamaan kepada generasi muda selain tazkirah yang diadakan pada setiap hari selepas solat fardu Zuhur dan Maghrib.

“Sepanjang bulan Ramadan, pelbagai aktiviti dijalankan termasuk majlis berbuka puasa, majlis tadarus dan khatam al- Quran serta solat tarawih,” katanya.

Tambahnya, pihak masjid juga mewujudkan kelab memanah serta ruang untuk aktiviti memanah yang terbuka kepada kanak-kanak seawal usia enam tahun. Selain itu, ia turut membuka keahlian kepada golongan wa­nita.

“Pada setiap sesi memanah, para pemanah akan mendapat tunjuk ajar tenaga pe­ngajar berpengalaman daripada Kelab Memanah Sunnah Kelantan,” terangnya.

Kerjasama

Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur (TIC) Kota Bharu, Hafiz Hazin berkata, masjid itu mampu diketengahkan sebagai salah satu produk pelancongan di negeri Kelantan.

“Ia bukan sahaja dapat menarik pengunjung Islam bahkan bukan Islam yang datang ke sini untuk melihat seni binanya yang indah.

“Kita juga membuka kaunter di pejabat Kota Bharu kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat lanjut serta khidmat nasihat sebelum mengadakan lawatan ke masjid ini,” jelasnya.

Pihaknya juga berhasrat untuk bekerjasama lebih erat dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dalam mempromosikan masjid itu.