Dengan perjalanan yang hanya memakan masa tidak sampai 30 minit, dia berasa rugi jika tidak menggunakan peluang itu untuk ke taman tema tersebut.

Kunjungannya ke lokasi tarikan itu bukanlah kali pertama kerana sejak zaman belajar di Universiti Utara Malaysia, Sintok dahulu lagi terutamanya ketika cuti semester, dia sudah sering ke rumah rakannya itu dan seterusnya ke taman tema tersebut.

“Saya sememangnya suka datang ke LWOT kerana setiap kali ke sini, pasti ada tarikan baharu yang menanti pengunjung.

“Kehadiran saya kali ini juga sangat bertuah kerana berkesempatan melihat perasmian aktiviti baharu yang akan disajikan kepada pengunjung sempena perayaan Tahun Baru Cina nanti,” katanya ketika ditemui Horizon baru-baru ini.

Katanya, paling ditunggu-tunggu ialah persembahan tarian singa dan naga dengan pergerakan yang lincah menari sambil melompat membuatkannya teruja.

“Kunjungan kali ini juga nampak berbeza apabila kita boleh lihat keseluruhan kawasan taman tema ini dihiasi dengan hiasan bersempena sambutan Tahun Baru Cina. Di pintu masuk sahaja pengunjung sudah dapat menyaksikan beberapa replika syiling emas besar digantung,” ujarnya.

Setiap kali tibanya musim perayaan, LWOT pastinya akan membawakan tema berbeza sebagai salah satu daya tarikan utama ke taman tema tersebut.

Tarian singa

Bersempena dengan Tahun Baru Cina yang bakal tiba tidak lama lagi, ia mengetengahkan tema Crazy Rich iaitu sebagai simbolik sebuah lokasi yang akan memberikan kegembiraan dan kemakmuran kepada setiap pengunjung.

Pengunjung LWOT juga disajikan dengan pelbagai aktiviti dan persembahan yang dibawa khusus bersempena musim perayaan tersebut bermula dari 5 hingga 19 Februari akan datang.

Pengurus Besar LWOT, Nurul Nuzairi Mohd. Azahari berkata, tema Crazy Rich pada kali ini dipilih kerana Tahun Baru Cina merupakan perayaan yang kaya dengan tradisi selaras dengan lokasi taman tema ini yang terletak di Ipoh iaitu salah satu bandar paling bersejarah di Malaysia yang kaya dengan warisan budaya.

“Kami berharap pengunjung daripada pelbagai peringkat umur dan usia akan datang mengunjungi LWOT dan menjadikannya sebagai pilihan destinasi bagi meraikan perayaan ini bersama-sama yang tersayang sambil dikelilingi alam semula jadi serta banjaran batu kapur berusia lebih 400 juta tahun.

“LWOT sering mengetengahkan tema bagi setiap musim perayaan untuk menarik pengunjung datang bersama keluarga melawat taman tema ini sekali gus dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan serta meraikan bersama kaum lain di sini,” katanya.

Antara tarikan yang akan dibawakan buat pengunjung ialah seni ramalan melalui program Crazy Fortune Teller, persembahan Golden Dragon dan bermain permainan Sweetest Stack.

Dalam pada itu, kehadiran pengunjung ke taman tema tersebut akan disambut oleh maskot God of Prosperity. Pengunjung juga dapat menyaksikan persembahan tradisional tarian singa oleh pasukan akrobatik dan tarian naga yang dihiasi dengan lampu LED berwarna-warni.

Cabutan bertuah

Selain itu, pengunjung juga boleh merasai keenakan hidangan tradisional Lou Sang yang sememangnya sinonim dengan perayaan tersebut.

Bagi pengunjung yang berbelanja sebanyak RM30 di LWOT pula, mereka berpeluang untuk menyertai cabutan bertuah yang diadakan pada setiap hari dan antara hadiah yang ditawarkan ialah set barangan kemas tajaan Poh Kong.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Nurshahfikah Mustapa, 25, berkata, dia dan empat lagi rakannya tidak kisah terpaksa melalui perjalanan sejauh hampir 227 kilometer yang mengambil masa dua jam bagi memastikan mereka dapat bermain di taman tema itu sepuas-puasnya.

“Kami telah merancang untuk ke LWOT sejak bulan lepas lagi kerana terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di sini seperti mandi-manda, rekreasi, bermain permainan, rumah hantu dan sebagainya.

“Kami berhasrat untuk datang lagi ke sini semasa perayaan Tahun Baru Cina nanti kerana dimaklumkan terdapat aktiviti khusus akan dilakukan dan turut mempunyai tawaran diskaun yang diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya.