Sambil membaca penerangan di kaunter tersebut, sesekali Muhammad Izwan Ramlan, 25, menjengahkan kepalanya untuk melihat apakah yang sedang dilakukan oleh pengunjung-pengunjung di dalam taman rekreasi tersebut.

“Saya sukakan permainan yang berbentuk nyata kerana lebih seronok dan teruja sambil dapat bergaul bersama kawan-kawan karib.

“Permainan di MyBestBox adalah sangat menarik kerana kebanyakannya perlu dimainkan secara berkumpulan dan bentuk persaingan yang sihat. Ada kalanya keletah kawan-kawan yang bermain sambil mempamerkan aksi pelik cukup menghiburkan saya,” katanya yang merupakan kakitangan swasta di ibu kota.

Ujar anak muda kelahiran Rawang, Selangor itu, kedatangannya bersama tiga lagi rakan ke situ dilakukan selepas terbaca mengenainya di laman sosial.

“Rata-rata mereka menyarankan orang ramai untuk berkunjung ke situ kerana terdapat beberapa bentuk permainan yang berbeza jika dibandingkan dengan taman rekreasi yang lain.

Berkumpulan

“Antara yang menjadi kesukaan ialah permainan Crazy Kart iaitu pengunjung diberikan peluang memandu Go-Kart sambil melakukan aksi drift. Bagi yang pertama kali mencuba, pasti akan melanggar dinding-dinding yang disusun dengan timbunan tayar,” katanya ceria.

Bagi mereka yang mencari lokasi menarik untuk melakukan pelbagai aktiviti di ibu kota, tarikan terbaharu di pusat beli-belah itu pastinya menjadi salah satu yang wajib dikunjungi.

Mula dibuka 19 November tahun lalu, MyBestBox boleh dikatakan antara taman aktiviti terbesar dengan keluasan 1,114.8 meter persegi yang menawarkan permainan pelbagai bentuk dan sesuai bagi semua peringkat usia.

Menurut Pengurus Pemasaran MyBestBox, Christine Chin, platform hiburan tersebut merupakan sebuah produk yang berasal dari Hong Kong dan Malaysia menjadi lokasi kedua pembukaannya.

“Bagi menambahkan kemeriahan, MyBestBox banyak menyediakan permainan berbentuk pertandingan dan perlu dimainkan secara berkumpulan.

“Lebih ramai, lebih seronok. Dengan konsep tersebut, MyBestBox bukan sahaja menjadi lokasi untuk menghabiskan masa bersama kawan-kawan tetapi menjadi medan untuk mengeratkan hubungan antara seisi keluarga,” ujarnya.

Curahan air

Mempunyai lebih 40 permainan, MyBestBox turut menawarkan beberapa permainan yang sememangnya akan menjadi tumpuan sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke situ.

Bermula di bahagian awal, pengunjung akan disajikan dengan The Dry Pool iaitu satu ruang berbentuk kolam yang dipenuhi dengan bebola jernih sambil di tengah-tengahnya terdapat sebuah pentas kecil.

Bagi permainan tersebut, pengunjung akan disuruh duduk di atas pentas kecil tersebut sambil melakukan aksi tolak-menolak sehingga salah seorang terkeluar dan tenggelam di dalam timbunan bebola jernih tersebut.

Seterusnya pengunjung akan dibawa ke kawasan VS Hall di mana ruang itu menyajikan beberapa permainan berbentuk pertandingan berpasukan.

Antara permainan yang menjadi pilihan ialah Rain Biking iaitu satu bilik yang diletakkan enam buah basikal. Pemain perlu mengayuh basikal selaju yang mungkin bagi mengisi air di dalam takungan yang terletak betul-betul di atas kepala mereka.

Bagi kumpulan yang lambat dan tewas, mereka akan dihujani dengan curahan air yang pastinya menyejukkan dan membuatkan mereka kebasahan.

Pengunjung juga boleh mencuba permainan lain seperti Spinning Charade, Pillow Wrestling, Crazy Soccer, Ball Frenzy, Ballon Wars, Bungee Ball dan banyak lagi.

Dengan keupayaan untuk menampung kira-kira 300 pengunjung pada satu masa, MyBestBox sememangnya menjadi lokasi tepat untuk berhibur di bandar raya Kuala Lumpur.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Nurul Asmidar Abu Bakar, 26, mengakui, MyBestBox merupakan lokasi tepatnya baginya untuk menghilang kepenatan dan kebosanan.