Taman rekreasi merupakan lokasi popular tidak kira bagi mereka yang sudah berkeluarga atau masih bujang untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti bersenam dan berkelah.

Salah satu taman yang menjadi tarikan utama warga kota di Kuala Lumpur ialah Taman Metropolitan Kepong.

Apatah lagi taman itu tidak begitu jauh dari pusat ibu kota Kuala Lumpur.

Terletak di Jalan Lingkaran Tengah 2, Kepong Metropolitan Lake-garden, Kuala Lumpur, taman itu merupakan yang terbesar di ibu negara dengan keluasan sekitar 90 hektar.

Maka tidak hairanlah jika Taman Metropolitan Kepong menjadi tempat riadah popular dalam kalangan warga kota dan penduduk sekitar seperti Selayang dan Batu Caves.

Pada hari Sabtu dan Ahad, taman tersebut dipenuhi pengunjung yang bersantai bersama-sama keluarga, berkelah atau bermain layang-layang.

Menurut salah seorang pengunjung, Siti Herdawati Hamidun, 36, taman tersebut menjadi lokasi wajib baginya dan keluarga untuk bersantai serta bermain bersama anak-anak.

“Kami sangat seronok datang ke sini kerana fasilitinya yang lengkap seperti trek joging, trek berbasikal, taman permainan kanak-kanak, padang bola sepak, kawasan bersenam dan sebuah padang yang sesuai untuk bermain layang-layang.

“Anak-anak suka datang ke sini terutamanya untuk berbasikal dan bermain layang-layang. Secara tidak langsung, mereka juga boleh bersenam,” katanya ketika ditemui Horizon baru-baru ini.

Selain bersenam dan berkelah, Siti memberitahu, dia juga ada melihat beberapa keluarga yang mengambil peluang beriadah sambil menyambut hari lahir anak-anak mereka di taman tersebut.

Bagi ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, aktiviti di luar rumah seperti itu sangat penting untuk membentuk keyakinan diri anak-anak serta membantu dalam perkembangan fizikal dan mental mereka.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung setia Taman Metropolitan Kepong, Muhammad Rauf Barus Hisham, 26, berkata, sudah menjadi rutinnya pada setiap hujung minggu untuk beriadah dan berjoging di taman tersebut.

“Tempat ini sangat meriah dengan kehadiran orang ramai selain turut dikelilingi landskap yang cantik membuatkan saya berasa seronok untuk beriadah di sini.

Gambar perkahwinan

“Apatah lagi apabila melihat keletah kanak-kanak yang riang gembira telah menghidupkan suasana di sini,” tutur anak sulung daripada dua beradik itu.

Muhammad Rauf yang juga merupakan jurugambar bebas mengakui turut melakukan penggambaran perkahwinan di taman tersebut.

Dia yang berasal dari Klang Selangor itu memberitahu, keindahan landskap yang berdekatan tasik dan pokok-pokok di kawasan sekitar menjadikan taman itu sebagai lokasi popular untuk sesi bergambar pasangan pengantin baharu.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Taman Metropolitan Kepong, Razali Alias berkata, terdapat 55 buah gerai yang menjual pelbagai barangan di situ seperti alat permainan, belon buih, layang-layang dan makanan.

Di samping itu, terdapat juga gerai yang menawarkan khidmat sewa seperti basikal, skuter, kereta kawalan untuk-kanak dan kasut roda bermula pukul 7 pagi hingga 7 malam.

“Kesemua peniaga di sini berlesen dan berdaftar dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,” jelasnya yang berasal dari Jerantut, Pahang itu.